19November2019

Agenda Daily

Isteri bekas pemimpin Arqam dakwa Rasulullah, Imam Mahdi dan Abuya pimpin jemaah itu sekarang ini…

arq513INI kes berat dan sesat, yang perlu pihak berkuasa bertindak segera. Kisahnya… isteri pengasas Al Arqam Ashaari Muhammad, Khadijah Aam mendakwa suaminya tidak mati sebaliknya ghaib dan bergabung dengan Rasulullah SAW dan Imam Mahdi bagi mengerakkan aktiviti dan program kumpulan tersebut.

Menurut Khadijah atau dipanggil Bonda Ummu Jah, Ashaari atau lebih dikenali dengan nama Abuya yang meninggal dunia pada 13 Mei tahun lalu akibat jangkitan paru-paru tidak mati sebaliknya hanya ghaib sahaja dan akan menjelma semula “sedikit masa lagi”.
 
Lebih menggerunkan lagi, apabila isteri ketiga Ashaari itu mendakwa Rasulullah muncul dan berdialog, serta memberi arahan kepada beliau dalam bentuk CAHAYA.

Dakwaan itu terkandung dalam kenyataannya di klip video yang disiarkan di laman sosial youtube.com

Agendadaily menemui video di youtube itu secara tidak sengaja ketika sedang memeriksa fakta mengenai Kelab Taat Suami yang juga diketuai oleh Ummu Jah.

Naib Presiden kelab itu ialah Dr Rohaya Mohamad, isteri kepada Fakhrul Razi, anak sulung Abuya.
 
Kelab itu bikin heboh ‘satu Malaya’ kerana dakwa isteri patut jadi macam pelacur melayan lelaki melayan suami agar suami tidak mencari pelacur lain.
 
Beralik kepada kisah Ummu Jah, menurut beliau, sebelum Abuya pergi ke alam ghaib (mati), Abuya telah mengajar beliau cara-cara untuk berkomunikasi dengan Nabi Muhamad SAW.
 
“Caranya diberi salam kepada baginda Rasul macam dalam sembahyang, dalam tahiyyat ” Assalamualaika ya ayyuhannabiyyu “.

"Maka dengan izin Allah, Rasulullah hadir dalam bentuk cahaya. Jadi saya pun berdialog dengan hati ke hati dengannya, dan itu BUKAN SYAITAN!” katanya dalam temubual dalam video sepanjang 51 minit dan 33 saat itu yang dirakam di Mekah pada bulan Mac lalu.
 
ABUYA BERGABUNG DENGAN IMAM MAHDI DAN RASULULLAH
 
Menurut Ummu Jah, dari dialog dengan Rasulullah itulah “Saya difahamkan bermakna (Abuya) bergabung dengan Rasulullah dan Saiyidi (merujuk kepada Imam Mahdi),”.
 
Al Arqam adalah pertubuhan yang diasaskan oleh Ashaari pada 1968 sebelum diharamkan pada 1994 kerana fatwa para mufti yang beranggapan pegangan pertubuhan tersebut “Aurad Muhamadiyyah” menyongsang dari Islam.
 
Ashaari dan ramai pemimpin kanan Arqam ketika itu ditahan di bawah ISA sebelum dibebaskan dan menubuhkan pula Rufaqa Corporation yang turut diharamkan tidak lama kemudian. Kini pengikut Ashaari bernaung di bawah satu syarikat bernama Global Ikhwan Sdn Bhd.
 
Berbalik kepada wawancara Ummu Jah, beliau mendakwa Abuya pernah memberitahu ‘jemaah’ bahawa di belakang beliau Saiyidi dan di belakang Saiyidi, Rasulullah.
 
“Pemergian Abuya untuk bergabung adalah untuk menyerahkan jemaah ini kepada Nabi akhir zaman… belum ada pemimpin lain yang mampu melakukannya.
 
“Kata ada Nabi tapi tiada hubungan, kini Nabi akhir zaman sudah ditemui.
 
“Maka apa yang saya dapat itu semuanya dari Rasulullah,” kata beliau dalam rakaman yang dipengerusikan oleh anak sulung Ashaari, Fakhrur Razi dan ahli keluarga dan pemimpin ‘jemaah’.
 
UPACARA TARIK DUIT
 
Lebih menarik lagi, ada soalan dari hadirin mengenai amalan baru yang dibuat oleh ‘jemaah’ selepas Abuya ghaib iaitu ‘pencak’ dan TARIK DUIT.
 
Yang kata Ummu Jah, bukan perkara baru kerana Abuya pernah berpencak (perang yang paling hebat melawan hawa nafsu.) dan TARIK DUIT, cuma pada ketika Abuya hidup ia tidak mengizinkan amalan tersebut diamalkan.
 
Tidak dapat dipastikan, pencak dan tarik duit itu merujuk kepada program yang mana, cuma Ummu Jah mendakwa pernah ketika Abuya hidup, polis Cawangan Khas (SB) bertanya bagaimana Abuya dapat banyak duit,
 
“Jawab Abuya dari bank tuhan,” katanya.
 
Beliau turut menceritakan detik-detik ‘ghaib’ Abuya, yang katanya sudah koma dua tiga jam sebelum mati lagi.
 
“Saya pun sesaat lagi Abuya nak ghaib, saya berdialog dengan Abuya melalui hati, saya kata Abuya jangan pergi…
 
“Jadi besoknya (sehari lepas mati) saya diberitahu, kejadian ini namanya Abuya ghaib, dan saya disuruh beri kuliah 10 sebab kenapa Abuya ghaib belum mati lagi,”.

"Begitu, jadi perjuangan Abuya sekarang tentu semua orang-orang Abuya mengatakan Abuya sedang terus memimpin di alam ghaib," katanya.

Ummu Jah sebelum ini pernah menimbulkan kontroversi apabila menghalang kenduri tahlil kepada Ashaari sebaliknya menggantikan dengan konsert termasuk persembahan pentas bertajuk “Kalahkan nafsu, Abuya pulang”.
 
PEMBEBASAN MALAYSIA
 
Cuma kali ini lebih syok lagi, apabila Ummu Jah dakwa, Abuya akan membebaskan Malaysia dan akan menjelma balik dalam bentuk fizikal di Mekah dan Madinah (Harammain)
 
“Nanti bila terjadi Futuh Malaysia (pembebasan Malaysia) hasil kepimpinan ini Abuya dan gabungannya, barulah Abuya dapatkan Khurasan ((panggilan kepada Iran, Afghanistan, Turkmenistan, Uzbekistan dan Tajikistan :Pengarang) dan kembali dalam bentuk fizikal ke Harammain (Mekah dan Madinah)
 
Kini kata beliau, Abuya di alam ghaib, di Istana RSA (singkatan untuk Rasulullah, Saiyidi dan Abuya).
 
“Istana RSA ini rupa-rupanya pusat kegiatan Imam Mahdi dan Abuya, secara roh, dan akan muncul dalam bentuk fizikal sedikit masa lagi.
 
Menurutnya, Abuya pernah berkata, "Imam Mahdi tu, pusat pemerintahannya selain Malaysia ialah di Haramain, jadi inilah dia, ke arah itulah."

Kini Ummu Jah dipercayai berada di Jordan tetapi aktiviti dan program ‘jemaah’ mereka masih berlangsung di beberapa pusat kegiatan pertubuhan yang menggunakan nama Ikhwan Global Sdn Bhd seperti di Rawang.

Persoalanya kini, apakah Kelab Taat Suami yang beliau adalah presiden juga merupakan 'arahan' dari Rasulullah, Imam Mahdi dan Abuya, kerana beliau mendakwa, dirinya selalu berdialog dengan Rasullah (baca  Transkip wawancara eksklusif dengan Khadijah Aam @Bonda Ummu Jah) -11/6/2011
 
VIDEO PENUH http://www.youtube.com/watch?v=Fq7xiUGn4vc
 
CAPTION GAMBAR DI ATAS :  Imej yang disebarkan blog-blog pro al arqam yang mendakwa  tiga cahaya yang diyakini gabungan Rasulullah, Saiyidi dan Abuya ( RSA) semasa satu program jemaah Global Ikhwan Sdn Bhd di Subang, Indonesia dua jam perjalanan dari Bandung

-12/6/2011-OLEH HELME HANAFI


 

PERINGATAN: AgendaDaily tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.
AgendaDaily.com adalah sebuah portal surat khabar elektronik yang menyalurkan maklumat terus ke skrin komputer anda dalam bentuk berita, analisis berita, laporan khas, fokus, komentar, wawancara dan segala macam yang ingin diketahui mengenai berbagai-bagai perkembangan hal ehwal semasa negara dan juga luar negara.

Kami mempunyai 224  tetamu dalam talian