25Mei2020

Agenda Daily

Ini tawaran balas UMNO kepada Dr Mahathir dan ahli PPBM….

Setiausaha Agung UMNO Tan Sri Annuar Musa telah melakar satu kenyataan yang menarik sebagai membalas gesaan Tun Dr Mahathir Mohamad agar ahli UMNO menyertai Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) kerana mendakwa ‘ UMNO sudah tiada’ apabila tergelincir dari matlamat asal perjuangan.
 
Ini termasuk membuat tawaran balas iaitu menjemput Perdana Menteri dan ahli PPBM untuk menyertai UMNO.
 
Sambil menegaskan ‘Yes we are down but certainly not out’,Annuar berkata ahli UMNO redha hilang pemimpinnya, namun mereka tidak menukar parti.
 
Ini katanya kerana ahli UMNO berpegang kuat pada ajaran Dr Mahathir sendiri semasa memimpin parti dulu agar mereka jangan berpecah, jangan tinggalkan parti, jangan sokong atau tunduk kepada DAP dan sebagainya.
 
Serentak dengan itu beliau yakin perjuangan orang Melayu dan umat Islam serta rakyat Malaysia di bawah Dr Mahathir akan menjadi lebih stabil, kuat dan berkesan apabila diperkasakan melalui wadah parti UMNO dan bukannya PPBM.
 
Annuar membuat kenyataan itu ekoran gesaan bekas Presiden UMNO itu yang kini Pengerusi PPBM dalam program Bicara Minda.
 
BERIKUT KENYATAAN PENUH TAN SRI ANNUAR MUSA: 
 
Semalam YAB Tun Dr Mahathir Mohamad membuat gesaan supaya ahli UMNO menyertai PPBM.
 
Satu pelawaan yang mungkin jujur saya kira, terutama dengan situasi cemas PPBM sekarang.
 
Namun Tun tentunya faham, ahli UMNO adalah orang Melayu yang amat setia dengan partinya.
 
Inilah yang Tun tarbiyyah kepada kita.
 
Yang sering bermasaalah dalam UMNO adalah pemimpinnya, yang bertukar parti adalah pemimpinnya, yang berebut kuasa adalah pemimpinnya, yang rasuah adalah pemimpinnya, dan diseret ke mahkamah adalah pemimpinnya.
 
Justeru ahli UMNO redha hilang pemimpinnya, namun mereka tidak menukar partinya.
 
UMNO punya 3.6 juta ahli, 22,000 cawangan di 191 bahagian.
 
UMNO parti yang cukup berperaturan dan berdisiplin.
 
Mesyuarat UMNO dengan hampir 200,000 perwakilan berjalan aman, tiada tumbuk menumbuk, tiada kerusi berterbangan dan FRU tidak perlu dipanggil campur tangan.
 
Politik wang sudah dihapuskan dan kini politik wang menjadi amalan parti lain yang berhijrah dari UMNO.
 
Amat sukar bagi ahli UMNO untuk menyertai PPBM.
 
Misalnya ahli UMNO di Negeri Sembilan, tentu sukar kerana PPBM di sana terpaksa dibubarkan.
 
Begitu juga di negeri-negeri lain di mana PPBM sangat lemah, terlalu kecil dan tiada sambutan daripada rakyat.
 
Di kawasan- kawasan itu, PPBM ditolak oleh rakyat dan kalah dlm PRU yang lalu.
 
Kini, setelah banyak janji semasa PRU telah tidak tertunai, sudah pasti pengaruh PPBM semakin merosot lagi.
 
Sangatlah merbahaya bagi ahli UMNO menyertai PPBM kerana PPBM tanpa Tun menjadi PM nanti, bakal lebih terhimpit lagi.
 
Presiden PPBM juga tersangat uzur walau kita mendoakan kesihatannya pulih.
 
Apabila Datuk Seri Anwar Ibrahim (DSAI) mengambil alih pentadbiran negara, dan Tun sudah tiada lagi, PPBM bakal bermasalah lebih parah lagi.
 
Justeru, walaupun lamaran dan pelawaan Tun kelihatan menggiurkan, terutama bagi Wakil Rakyat dan pemimpin yg kemaruk untuk mendapat kedudukan bersama dalam kerajaan, ia tidak menarik bagi majoriti ahli UMNO.
 
Sebaliknya, UMNO  yang barangkali harus membuat tawaran balas iaitu menjemput Tun dan ahli PPBM untuk menyertai UMNO.
 
Sesungguhnya  amat ramai ahli UMNO, termasuk saya sendiri, amat sayang dan menghormati Tun dengan hati yang tulus ikhlas.
 
Kita berjuang bersama puluhan tahun, rebah berkali-kali membela Tun dan UMNO.
 
Tinggal lagi kita berpegang kuat pada ajaran Tun sendiri supaya kita jangan berpecah, kita jangan tinggalkan parti, kita jangan sokong atau tunduk kepada DAP dan sebagainya.
 
Perjuangan orang Melayu dan umat Islam serta rakyat Malaysia di bawah Tun akan menjadi lebih stabil, kuat dan berkesan apabila Tun diperkasakan melalui wadah parti UMNO dan bukannya PPBM.
 
In sya Allah, UMNO itu tidak akan mati.
 
Yes we are down but certainly not out.
 
Ini kerana UMNO bertapak di dalam roh dan sanubari orang Melayu.
 
Apa yang buruk, kita perbaiki bersama, in sya Allah. 
 
Umat Melayu dan Islam akan lebih bersyukur kiranya ini terjadi.
 
Sirih pulang ke gagang, belut pulang ke lumpur.
 
Amin Ya Rabbul Alamin.
 
-- Tan Sri Annuar Musa 
Setiausaha Agung UMNO Malaysia.
 
24/10/2018
 
 
PERINGATAN: AgendaDaily tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.
AgendaDaily.com adalah sebuah portal surat khabar elektronik yang menyalurkan maklumat terus ke skrin komputer anda dalam bentuk berita, analisis berita, laporan khas, fokus, komentar, wawancara dan segala macam yang ingin diketahui mengenai berbagai-bagai perkembangan hal ehwal semasa negara dan juga luar negara.

Kami mempunyai 568  tetamu dalam talian