26September2020

Agenda Daily

Ini kes lucu...Ahli Parlimen PKR buat sidang akhbar minta dijemput acara Perdana Menteri

zuraidahBarangkali ini satu sejarah di Parlimen.Cuba bayangkan ada ahli parlimen buat sidang akhbar semata-mata untuk minta dijemput hadiri majlis yang dihadiri oleh Perdana Menteri.

Paling menarik gelagat ini adalah aksi ahli parlimen PKR Ampang,Selangor Zuraida Kamaruddin yang juga Ketua Wanita PKR.

Pada mulanya, petugas media ingat Zuraida buat sidang akhbar di lobi parlimen pagi Rabu nak hentam kerajaan.

Rupa-rupanya hanya nak luahkan kecewa kerana belum terima jemputan program dihadiri Datuk Seri Najib Tun Razak di Masjid Taman Bukit Indah yang terletak dalam kawasan parlimennya.

Perdana Menteri dijadual melancarkan Yayasan Pembangunan Pondok 1Malaysia di masjid berkenaan petang Khamis.

Menurut Zuraida, beliau sambut baik pihak masjid benarkan Perdana Menteri mengadakan program di masjid tersebut.

“Saya ucapkan tahniah kepada ahli jawatankuasa masjid yang bersikap professional dan memaklumkan kepada saya berkenaan kedatangan Perdana Menteri ke kawasan parlimen diwakili saya,” ujarnya.

Beliau seterusnya berharap Najib juga bersikap professional dan mengikut protokol dengan menjemputnya  selaku ahli parlimen seperti disyaratkan jawatankuasa masjid ketika memberi laluan untuk menggunakan masjid tersebut.

“Sehingga hari ini saya belum menerima kad jemputan rasmi,” katanya.

Katanya, beliau merujuk kepada pejabat Perdana Menteri tetapi tiada jawapan diberikan.

“Oleh itu, saya berharap Perdana Menteri menerima baik kehadiran saya untuk sama-sama menyaksikan pelancaran yayasan itu tersebut,” katanya.

Menjawab soalan, Zuraida berkata, beliau tetap hadir majlis itu esok.

Selepas sidang akhbar itu  ada wartawan pakat gelak tengok gelagat Zuraida yang mungkin sudah bimbang selepas Najib menegaskan Barisan Nasional akan rampas semula Ampang.

Untuk rekod,Najib ialah tetamu di acara itu.

Sepatutnya Zuraida kena mohon dari penganjur majlis itu sendiri dan bukan dari pejabat Perdana Menteri.

Najib hanya hadir sebagai orang yang dijemput penganjur untuk lancar yayasan mereka.

Ia ibarat kalau rumah kenduri... apakah Perdana Menteri selaku tetamu hendak jemput orang lain datang sama.

Apakah Zuraida 'buat hal' ini hendak putar cerita kononnya Perdana Menteri cuba mengenepikannya sebagai Ahli Parlimen.

Sepatutnya Zuraida tahu adat resam dan urusan jemput menjemput ini dan tidak main semborono begini.

Untuk makluman Zuraida Yayasan Pondok 1 Malaysia ditubuhkan oleh badan bukan kerajaan (NGO).

Jadi tuanrumah majlis itu ialah NGO yang berkenaan.

Yayasan itu ditubuhkan bertujuan mengumpul seluruh warga pondok di negara ini di bawah satu entiti.
 
Selain itu, ia juga bertujuan memudahkan orang ramai mendapatkan maklumat mengenai aktiviti sekolah pondok di negara ini.

Penasihat kehormat yayasan itu ialah Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Senator Datuk Dr Mashitah Ibrahim.

Mashitah memberitahu Selasa pada majlis itu, Najib akan turut melancarkan logo, laman web dan direktori sekolah pondok di negara ini.
 
Seramai 2,000 pelajar, guru dan petugas 110 sekolah pondok di Malaysia akan turut hadir.
 
Beliau berkata Perdana Menteri juga dijadual menyampaikan anugerah "Tokoh Pondok 2012", "Pondok Contoh 2012" dan anugerah "Kasih Perdana Menteri 2012" pada majlis itu.-7/11/2012 - OLEH ROSLAN BIAN

PERINGATAN: AgendaDaily tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.
AgendaDaily.com adalah sebuah portal surat khabar elektronik yang menyalurkan maklumat terus ke skrin komputer anda dalam bentuk berita, analisis berita, laporan khas, fokus, komentar, wawancara dan segala macam yang ingin diketahui mengenai berbagai-bagai perkembangan hal ehwal semasa negara dan juga luar negara.

Kami mempunyai 373  tetamu dalam talian