05April2020

Agenda Daily

Plot pengganas bunuh ADUN berjaya dibongkar...

jihad513Ada plot pengganas merancang bunuh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) di Sabah sebelum diberkas pihak polis baru-baru ini, dedah akhbar The Star yang menyiarkan laporan eksklusif muka depan pada Rabu.

Dengan memetik sumber polis, The Star melaporkan bahawa rancangan tersebut terbongkar selepas pemimpin kumpulan pengganas itu ditahan pihak berkuasa Indonesia yang kemudiannya mendedahkan kepada Malaysia.

Mereka juga merancang untuk menahan pegawai polis sebagai pertukaran untuk membebaskan rakan-rakan mereka yang ditahan sebelum ini.

Baru-baru ini polis mengesahkan penahanan 13 individu di Tawau Sabah menggunakan Akta Keselamatan Dalam Negeri ( ISA) selepas dikaitkan dengan aktiviti keganasan.

Tindakan tersebut dikritik hebat oleh pembangkang berikutan janji Perdana Menteri untuk menghapuskan ISA pada September lalu.

Sementara itu, Pengerusi MCA Sabah Datuk Edward Khoo berkata beliau kecewa dengan pembangkang yang dengan mudah melupakan bahawa dalam sejarah negara, Malaysia turut berdepan dan terpaksa menangani masalah kegiatan subversif serta pengganas.

"Sebagai penduduk Sabah, saya masih ingat bagaimana terkejut dan sedihnya saya ketika Pulau Sipadan, satu daripada lokasi terbaik dunia untuk menyelam, telah direntap ketenangannya dengan kasar pada 2000, apabila kumpulan Abu Sayyaf dari Filipina secara berani menculik pekerja resort dari Malaysia, penyelam serta pelancong asing," katanya dalam satu kenyataan Selasa.

Beliau berkata Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Hishamuddin Tun Hussein telah menjelaskan bahawa 13 individu yang ditahan di bawah ISA di Tawau baru-baru ini, ditangkap bersama senjata serta bahan letupan, dan penahanan itu hasil kerjasama antara Malaysia dan Indonesia.

Khoo berkata Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak telah mengotakan janjinya untuk mengambil langkah memansuhkan ISA serta mengumumkan bahawa akta itu akan diganti dengan dua undang-undang baru bagi memerangi keganasan.

"Di Amerika sekalipun, banduan yang disyaki mempunyai hubungan dengan Kumpulan Al Qaeda ditahan tanpa dibicarakan, manakala United Kingdom dan Australia turut mempunyai undang-undang antikeganasan mereka sendiri," katanya.-23/11/2011


BERITA SEBELUM INI

Penahanan tanpa perbicaraan perlu untuk perangi keganasan - Hishammuddin

Undang-undang baru yang akan menggantikan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) 1960 yang akan dimansuhkan tetap mengekalkan amalan penahanan tanpa perbicaraan, kata Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein.

Beliau berkata amalan itu perlu untuk memerangi kegiatan militan dan keganasan.

Bernama melaporkan beliau memberikan contoh beberapa negara yang menguatkuasakan amalan itu sebagai salah satu elemen untuk memerangi keganasan antaranya melalui Patriot Act di Amerika Syarikat dan Anti-Terrorism Act di United Kingdom dan Australia.

"Seperti Patriot Act di AS, seperti Anti-Terrorism Act di UK dan Australia, yang semuanya (negara itu) memperjuangkan hak asasi manusia, dan mereka sedar dalam berurusan dengan militan dan kegansaan, mereka perlu mempunyai akta sedemikian.

"Malahan terdapat beberapa rakyat Malaysia yang sedang ditahan di kem tahanan di Guatanamo tanpa perbicaraan selama beberapa tahun...kerana mereka telah ditahan oleh pihak berkuasa AS. Jadi jangan bersikap berat sebelah dan kita tidak mahu bersikap hipokrit dalam perkara ini," katanya.

Malaysia juga belajar daripada pengalaman negara-negara lain yang telah menghapuskan akta-akta sedemikian tanpa berfikir panjang dan akhirnya padah menimpa mereka, katanya kepada pemberita selepas menghadiri sambutan Hari Inovasi dan perhimpunan bulanan kementerian itu di Putrajaya, Isnin.

Hishammuddin berkata Barisan Nasional sebagai parti yang mentadbir negara tetap akan bertanggung jawab dan mematuhi segala undang-undang yang akan dilaksanakan kelak untuk kesejahteraan rakyat.

Pada 15 Sept lepas, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak pada perutusan khas Hari Malaysia mengumumkan ISA akan dimansuhkan dan dua undang-undang baru yang sesuai akan digubal bagi memelihara keamanan, kesejahteraan, kesentosaan serta kerukunan hidup rakyat dan negara.

Ditanya mengenai antara perkara baru yang akan dimasukkan dalam undang-undang baru itu, Hishammmuddin berkata ia termasuklah tempoh tahanan, notis kepada keluarga yang ditahan dan keperluan untuk membuat rayuan.

Beliau berpendapat perkara-perkara itu tidak sukar untuk dilaksanakan kerana proses pindaan ISA sudah dimulakan sejak dua tahun lepas. – 21/11/2011


BERITA SEBELUM INI

13 ditahan ISA di Tawau amat bahaya...senjata dan bahan letupan ditemui - Hishamuddin

Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein tetap mempertahankan tindakan menahan 13 orang di Tawau Isnin lalu di bawah ISA sekalipun dipertikaikan oleh  Suruhajaya Hak Asasi Malaysia (Suhakam) dan parti-parti pembangkang kerana didakwa tidak hormati semangat pengumuman kerajaan untuk mansuhkan ISA.

Serentak dengan itu beliau membidas Suhakam sebagai tidak bertanggungjawab mendesak pembebasan mereka tanpa mengetahui latar belakang dan faktanya.

Beliau menjelaskan kumpulan 13 individu terbabit termasuk enam warga asing "tidak takut mati" dan "mahu mati jihad" amat berbahaya bukan sahaja kepada rakyat Malaysia tetapi seluruh rantau Asia Tenggara.

Beiau  menyifatkan isu penahanan 13 individu terbabit sebagai "amat serius" dan berkata, pada ketika ini mereka sedang ditahan di pusat tahanan di Tawau.

Hishammuddin juga mendedahkan, operasi penahanan 13 individu yang dilaksanakan oleh unit khas anti keganasan polis turut menemui sejumlah besar senjata api dan bahan letupan.

Bercakap kepada wartawan  selepas menghadiri majlis pemimpin bersama rakyat di Felda Bukit Tongkat di Kluang  Sabtu,beliau menasihatkan pihak Suhakam supaya berjumpa dengannya terlebih dahulu di mana kementerian bersedia berkongsi maklumat tentang penahanan individu itu.

"Membuat kenyataan tanpa mengetahui latar belakang dan fakta, dan hendak membebaskan mereka yang cukup berbahaya itu adalah cukup tidak bertanggungjawab oleh Suhakam," katanya.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas kenyataan Pengerusi Suhakam Tan Sri Hasmy Agam yang menggesa Kementerian Dalam Negeri supaya membebaskan 13 individu yang ditahan itu.

Hasmy di dalam kenyataan itu melahirkan rasa terkejutnya tentang tindakan menahan 13 individu itu termasuk enam warga asing di bawah ISA dan menyatakan ia bertentangan dengan hasrat kerajaan untuk memansuhkan akta terbabit.

Menurutnya, Suhakam mahu kesemua mereka itu di hadapkan ke perbicaraan terbuka dan diwakili peguam.

Hishammuddin berkata, kenyataan Suhakam itu juga menimbulkan tanda tanya sama ada mereka benar-benar bertanggungjawab terhadap amanah yang diberikan oleh rakyat untuk memikul tugas mereka.

"Jikalau mereka betul cuba membebaskan (13 individu) tanpa soal siasat dan tanpa mengetahui fakta, biarlah rakyat yang menilainya sendiri ke mana arah Suhakam pada masa ini," katanya.

Katanya, isu mengenai penahanan 13 individu itu tidak harus dipolitikkan dan ini kerana ISA hanya spesifik digunakan untuk tujuan memerangi keganasan dan tidak untuk tujuan politik.

Menteri Dalam Negeri itu berkata, negara seperti Amerika Syarikat dan beberapa negara lain yang sering bercakap tentang hak asasi manusia juga mempunyai undang-undang menangani keganasan seperti Patriot Act dan Anti-Terrorism Act. -19/11/2011


 

PERINGATAN: AgendaDaily tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.
AgendaDaily.com adalah sebuah portal surat khabar elektronik yang menyalurkan maklumat terus ke skrin komputer anda dalam bentuk berita, analisis berita, laporan khas, fokus, komentar, wawancara dan segala macam yang ingin diketahui mengenai berbagai-bagai perkembangan hal ehwal semasa negara dan juga luar negara.

Kami mempunyai 267  tetamu dalam talian