28Februari2021

Agenda Daily

Bukan saranan kerajaan, panel SPRM yang putuskan buka fail Azmin

azmin-resah513KEMASKINI : Timbalan Presiden PKR, Azmin Ali tak perlulah guna skrip lama salahkan UMNO atau tuduh jadi mangsa politik apabila Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) buka balik fail siasatan pemilikan harta dan wang berjuta ringgit.

Semua itu tak ada kaitan dengan UMNO atau politik asalkan Azmin percaya pada prinsip berani kerana benar, takut kerana salah.

Memang Ahli Parlimen Gombak itu boleh kata apa saja nak lepaskan tengkuk termasuk hentam SPRM namun realitinya keputusan SPRM siasat semula kes beliau 17 tahun lalu atas desakan pelbagai pihak.

Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin yang mengulas perkara itu menjelaskan, kerajaan tidak menyarankan apa-apa kepada SPRM berhubung kes Azmin itu.

“Dia boleh kata apa saja. Itu (buka semula kes) tanggungjawab SPRM.Mereka punya keputusan. Mereka badan Bebas dan boleh buka fail kes sesiapapun saja yang terbabit,” katanya pada sidang media di SMK Taman Melawati, Khamis.

Menurut Muhyiddin, ini bukan soal politik tetapi diputuskan dan diumum oleh Panel Penilai SPRM.

Katanya, SPRM juga mungkin respon pihak tertentu yang minta supaya fail itu dibuka semula dan itu tugas kuasa badan itu.

Oleh itu, Azmin kena hadapilah kes itu secara gentleman.

Jangan sedap mulut kata kes itu dibuka semula sebab nak PRU 13.

Barangkali  penduduk Gombak dan Dewan Undangan Negeri Bukit Antarabangsa Selangor  boleh menilai tindak tanduk Azmin ini dan membuat penghakiman dalam PRU akan datang seperti diminta beliau.
7/6/2012 - OLEH ROSLAN BIAN


Azmin Ali: berani kerana benar,takut kerana salah

Melihat pada gambar semasa sidang akhbar di ibupejabat PKR dekat Petaling Jaya, Rabu,jelas terpancar macam orang yang resah pada raut wajah Azmin Ali.

Ada ketikanya Timbalan Presiden PKR ini merenung tajam jauh entah kemana.

Apakah beliau sedang mencari ilham untuk 'bersilat' nak berjawab dengan SPRM  nanti bila dipanggil untuk memberi keterangan mengenai dakwaan pemilikan harta dan wang bertimbun.

Sidang akhbar berkenaan diadakan untuk tujuan lain.Namun lumrah kerana isu panas SPRM akan buka balik fail kes dakwaan memiliki kekayaan yang jauh dari kemampuannya semasa jadi Setiausaha Sulit kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim ,Timbalan Perdana Menteri dulu,maka minat para wartawan yang hadir  tentu lebih pada dirinya.

Lojik akal berkata kalau Azmin merasa dirinya tidak bersalah,beliau tidak harus merasa bimbang langsung untuk tidur nyenak dibuai mimpi indah.

Berani kerana benar,takut kerana salah...tak begitu?

Kalau Azmin ada 10 sen dan dapat membuktikan beliau cuma ada 10 sen sahaja beliau tidak perlu ambil kisah sekalipun segunung dakwaan yang dilemparkan.

Isunya di sini dengan gaji rasmi sekitar RM3,000 sebulan macam mana adiknya Ummi Haflida Ali boleh tunjuk sebilangan resit pembelian saham dan sebagainya yang dakwaanya mencecah RM 30 juta.

Ini termasuk dakwaan pemilikan oleh isterinya Shamsidar Taharin yang berstatus suri rumah.

Itu baru apa yang didakwa oleh Ummi Hafilda belum lagi pihak-pihak lain.

Hairan kenapa Azmin perlu mempertikaikan kredibiliti SPRM membuka balik kesnya dengan alasan ia sudah berlalu 17 tahun lampau.

Dakwanya beliau menjadi mangsa pertuduhan politik kerana PRU13 sudah hampir.

Azmin juga membandingkan kesnya dengan Datuk Seri Shahrizat Jalil yang sudah dilepaskan oleh SPRM kerana didapati tidak terlibat dalam urusan membuat keputusan pemberian pinjaman kepada NFC.

Ada yang berkata Timbalan Presiden PKR tidak sedar tindak tanduknya itu dengan sendirinya telah mencetuskan rasa curiga dimata orangramai.

Menurut mereka beliau sepatutnya bawa bersabar mengalu-alukan siasatan SPRM supaya kebenaran muktamad diketahui.

Bagi mereka ini sudah menjadi rentak pembangkang kalau bab orang lain cepat-cepat suruh siasat tetapi terkena batang hidung sendiri terus menikus.

Lebih melucukan Ahli Parlimen Gombak dan Ahli Dewan Undangan Negeri Bukit Antarabangsa Selangor ini menyerahkan kepada rakyat menilai tindakan SPRM buka balik failnya selepas 17 tahun.

"Kami akan serahkan pada rakyat untuk membuat penghakiman dalam PRU akan datang," katanya.

Ramai yang kedengaran berkata wah senang hidup kalau begitu.

Soalnya kenapa soal kalau betul kamu kaut harta bertimbun senang-senang hendak main sentimen buat kenyataan politik serahkan kepada rakyat menilainya.

Sejauh mana rakyat boleh menilai wang ringgit dan harta bertimbun yang mungkin tersorok disebalik segala macam akaun yang dilindungi oleh akta kerahsiaan bank.

Kalau begitu senang sahaja selepas ini mana-mana pembesar dan tokoh politik yang menghadapi dakwaan boleh main pukul cakap serah kepada rakyat untuk menilainya.

Itu bunyi macam cakap orang nak pelepas tengkok.

Soalnya siapa yang akan menyiasat dan menentukan kamu bersalah atau tidak.

Dalam bab harta bertimbun yang tidak diketahui mana asal usulnya tentulah kerja SPRM untuk siasat.

Samada dakwaan itu 17 tahun atau 100 tahun lalu...kalau Azmin tahu pasti dalam poketnya hanya ada 10 sen beliau tidak harus gundah gulana merenung jauh semasa sidang akhbar.

Kalau tidak salah tetap tidak salah.

Lainlah kalau beliau tengah dok meraba nak bahagi,campur dan daraf  macama mana adiknya,Ummi Haflida boleh ada resit sampai RM30 juta.

Ummi Haflida sendiri tahu kalau beliau kelentong, hal ini akan terjawab bila SPRM buat siasatan rapi nanti.

Bab duit ini bukan susah untuk dikesan.

Azmin adalah lulusan metamatik dari sebuah universiti di Amerika Syarikat.Beliau tentu tahu nak kira dengan betul.

Kalau rasa kurang yakin,bila-bila masa beliau boleh minta bantuan dari Pengarah Strategi PKR ,Rafizi Ramli yang merupakan seorang akauntan bertauliah.

Mereka boleh bakar lilin tengah malam untuk sama-sama menghitung.

Sebelum tuduh SPRM sengaja nak cari pasal dengannya Azmin perlu terlebih dahulu 'lihat kiri kanan' memastikan samaada RM30 juta yang didakwa Ummi Hafilda atau RM10 juta ke atau berapa sekalipun...ia mesti selari dengan pendapatannya RM3,000.

Bila perkiraan sebenar keluar nanti hasil siasatan SPRM,Azmin tidak perlu susah payah buat kenyataan.....ini kerana waktu itu rakyat sendiri tahu menilainya siapa benar siapa kelentong.-7/6/2012




Azmin patut buat kenduri kesyukuran SPRM buka balik fail siasatan kesnya....

Pengarah Strategi PKR, Rafizi Ramli mungkin buat-buat bodoh ketika mempersoalkan keputusan Panel Penilaian Operasi Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mengarahkan agensi itu buka balik fail kes dakwaan Timbalan Presiden PKR, Azmin Ali memiliki wang ringgit dan harta yang diluar kemampuannya.

Sebagai pemegang jawatan yang bertanggongjawab merangka segala bentuk strategi agar partinya menang dan terus menang...reaksinya itu bukanlah luarbiasa.Beliau tentu tahu akibatnya jika orang nombor dua parti itu sangkut dalam kes ini.

Sebab itu Rafizi dengan lancang mendakwa keputusan SPRM membuka siasatan terhadap Azmin benar-benar mendedahkan wajah sebenar SPRM.

Beliau dan bos-bos PKR lain mungkin boleh temberang orang kampong semasa ceramah-ceramah politik nanti kononnya kes ini dibuka semula kerana pilihanraya sudah hampir.

Besar kemungkinan mereka tidak akan terangkan apa itu Penal Penilian Operasi SPRM,siapa ahli penal itu dan bidang tugasnya.

Jika kita membuka laman web SPRM dibawah maklumat korprat dan bab Lembaga Penasihat/Jawatankuasa Penal segalanya tertera dengan jelas.

Dari situ kita akan mendapat maklumat bahawa penal ini dianggotai oleh lapan orang yang bukan pegawai SPRM sepenuh masa tetapi terdiri dari personaliti ' orang luar' yang ada kredibiliti dalam masyarakat.

Sembilan bidang tugas mereka digariskan ialah :

1.    Menerima dan mendapatkan penjelasan berhubung perangkaan Kertas Siasatan yang dibuka oleh Suruhanjaya;

2.    Menerima dan meneliti laporan daripada Suruhanjaya berhubung Kertas Siasatan yang mana tempoh siasatan melebihi tempoh 12 bulan;

3.    Menerima laporan daripada Suruhanjaya berhubung semua kes di mana Orang Yang Ditangkap yang dilepaskan dengan jaminan oleh Suruhanjaya melebihi 6 bulan;

4.    Menerima dan meneliti laporan daripada Suruhanjaya berhubung keputusan-keputusan Kertas Siasatan yang telah diperoleh dari Pendakwa Raya;

5.    Menerima dan meneliti laporan daripada Suruhanjaya berhubung Kertas Siasatan yang dikemukakan kepada Pendakwa Raya dan tidak mendapat apa-apa keputusan selepas tempoh melebihi 6 bulan ke atas;

6.    Memberi pendapat berhubung tindakan-tindakan ke atas kes-kes yang diputuskan untuk tidak dituduh;

7.    Menasihati dan membantu Suruhanjaya ke arah keberkesanan operasi siasatan Suruhanjaya;

8.    Meneliti, mengkaji dan memperakukan kepada Lembaga Penasihat Pencegahan Rasuah berhubung cadangan untuk meningkatkan keberkesanan operasi siasatan Suruhanjaya; dan

9.    Mengemukakan laporan tahunan dan ulasan PPO kepada Y.A.B. Perdana Menteri berhubung dengan perjalanan operasi siasatan Suruhanjaya.

Selain Penal itu ada empat lagi Lembaga Penasihat dan Jawatankuasa yang bebas yang berfungsi memastikan ada check and balance dalam SPRM agar ia  bergerak ikut landasan yang ditetapkan.

Maka dakwaan Rafizi itu secara langsung mempersoalkan kebijaksanaan Tan Sri Datuk Dr. Hadenan bin Abdul Jalil selaku  Pengerusi dan tujuh anggota penal itu yakni  Tan Sri Dato’ Cecil Abraham , Datuk Dr. Hamzah bin Kassim , Dato’ Zamani bin Abdul Ghani , Datin Aminah binti Pit Abdul Rahman , Profesor Dr. Syed Noh Syed Ahmad ,Tuan Nik Mohd Hasyudeen bin Yusoff  dan  Walter Sandosam .

Elok rasanya beliau perjelaskan kepada orangramai latar belakang mereka ini terlebih dahulu sebelum main sedap mulut mendakwa " keputusan SPRM membuka siasatan terhadap Azmin benar-benar mendedahkan wajah sebenar SPRM."

Rafizi juga perlu memberi taklimat tentang lembaga penasihat dan jawatankuasa penal SPRM yang lain.Begitu juga tentang keanggotaannya dan bidang tugas mereka agar ia jelas sejelasnya.

Hairan juga kenapa beliau tidak mempersoalkan keputusan penal penilaian itu tutup kes Ahli Dewan Undangan Negeri PKR Sri Muda Mat Suhaimi Shafiei dan Ahli Dewan Undangan Negeri  Batu Caves, Amirudin Shari, yang disiasat berhubung isu penyelewengan pasir di Selangor.

Sebaliknya beliau mengunakan ayat " sungguhpun rata-rata rakyat Malaysia sudah menjangkakan bahawa SPRM akan melepaskan ( Datuk Seri) Shahrizat (Jalil) dari tuduhan rasuah bersabit NFC".

Bijak...memang bijak beliau mengatur ayat politik itu.Kalau tidak putarnya begitu beliau wajar dibuang kerja sebagai Pengarah Strategi PKR.

Rafizi mungkin rasa dirinya kini sudah naik taraf sebagai  crimebuster bila berjaya bongkar kes NFC dan Shahrizat terpelanting dari jawatan Menteri.

Sebagai parti yang kononnya mendabik dada menagungkan ketelusan,anti-rasuah dan segalanya yang baik-baik di muka bumi ini  beliau sepatutnya mengambil sikap berlapang dada dan membiarkan siasatan keatas Azmin berjalan mengikut proses.

Sekurang-kurangnya ia akan dapat menghakis sikit kebaculan PKR selama ini untuk meminta siasatan terbuka terhadap isu dakwaan video seks 99.9 peratus tulin yang dikaitkan dengan Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Kalau nak kira takut apa...ini kerana kredibiliti mahkamah Malaysia sudah terbukti dengan pembebasan Anwar dari kes liwat Saiful Bukhari Azlan semata-mata atas faktor teknikal sahaja.

Isu dakwaan mengenai pemilikan wang ringgit dan harta Azmin bukan sesuatu yang baru.

Selain kalangan bekas aktivis PKR yang mendakwa tahu banyak tentang itu,adik Azmin, Ummi Hafilda sudah berbuih mulut bercakap mengenai 'kekayaan luar biasa' abang dan kakak iparnya Shamsidar Taharin.

Terbaru Rabu,beliau memberi sidang akhbar lengkap dengan resit pembelian saham segala macam.

Siapa yang tidak hairan kalau seseorang yang berjawatan Setiausaha Sulit Timbalan Perdana Menteri bergaji rasmi sekitar RM3,000 sebulan boleh ada kekayaan sekitar RM30 juta.

Resit dan bukti yang ditunjuk oleh Umni Hafilda itu sudah cukup untuk mencetuskan kecurigaan tentang pemilikan wang ringgit dan harta Azmin yang didakwa jauh dari kemampuan sebagai pegawai bergaji sebanyak itu.

Sekarang siapa yang nak jawab ?

Rafizi adalah seorang akauntan bertauliah.Mungkin beliau boleh bantu susun atur akaun peribadi Azmin agar dakwaan pemilikan RM30 juta itu selari dengan pendapatannya.

Sebelum SPRM bertanya,elok sangat beliau terlebih dahulu korek dari Azmin dari mana beliau dapat duit sebanyak itu untuk membeli saham atas nama dirinya dan atas nama Shamsidar.

Jika dalam kes NFC beliau berani langgar BAFIA,yakin peraturan yang ditetapkan oleh Bank Negara dalam soal kerahsiaan akaun bank...maka beliau tidak perlu bimbang untuk selongkar akaun bank Azmin pula.

Mana tahu kalau-kalau beliau boleh cari jalan ' bersihkannya'.

Azmin sendiri elok sangat berpegang kepada cogan kata berani kena benar...takut kerana salah.

Ada pemerhati yang kata beliau sepatutnya buat kenduri kesyukuran kerana SPRM akan buka balik fail kesnya.

Sekurang-kurangnya once and for all satu kepastian muktamad dapat dibuat keatas dakwaan yang sudah lama berlegar ini.

Jika ditakdirnya SPRM nanti dapati kes dakwaan ini tidak boleh jalan atau beliau dibebaskan oleh mahkamah jika kes dibicarakkan,sekurang-kurangnya adiknya Ummi Hafilda tidak boleh lagi menghantui hidupnya seperti sekarang.

Kenyataan bahawa BPR yakni nama SRM dulu sudah tutup kesnya tidak boleh dijadikan kata pemutus dirinya sudah OK.

Bukankah sudah ada peraturan dalam mana-mana kes jika ada bukti baru muncul,ia boleh dibuka semula.

Azmin juga perlu tahu feedback  bahawa semakin ramai melihat penafian kosong baik beliau maupun Anwar sebagai ' bahan lawak'.

Sebabnya terbentang di depan mata.Sukar untuk menyalahkan mereka yang merasa begitu lebih-lebih lagi setelah melihat bagaimana keduanya main selamba menafikan video yang baru-baru ini terang-terang tunjuk mereka saling signal sebelum rempuhan ke Dataran Merdeka waktu demo Bersih 3.0.

Kalau sudah terang lagi bersuluh begitu boleh nafi...apa lagi yang boleh menghairankan.

Kedua mereka kini seolah hidup diawang-awangnya sentiasa merasakan orang tidak akan percaya langsung apasekalipun dakwaan terhadap mereka.

Ini belum lagi masuk bab video seks Anwar dan CCTV beliau naik turun lif apartmen lokasi aksi itu.

Tolak sebelah penyokong taksub dan rakan parti pakatan yang sengaja mahu butakan mata dan pekakkan telinga...mereka harus terima hakikat ramai lagi dikalangan 28 juta penduduk negara ini yang celik dan ada akal.

Tindakan mengejut seorang peserta Bersih 3.0 yang sergah Anwar dalam sidang akhbar di pejabat PKR sehari selepas perhimpunan yang kecoh itu adalah bukti rasa muak itu.

Itu baru satu suara yang berani tampil secara berdepan dengannya.Mereka lain yang senyap tidak semestinya tidak menyimpan perasaan sama merasa ' kena main' dengan tindak tanduk mereka hijack perhimpunan itu untuk cetuskan kekecohan.

Azmin tentu tahu kata-kata Inggeris yang berbunyi : you can fool some people sometime...buat you cannot fool all the people all the time. -1/6/2012





SPRM buka balik fail siasatan kes Azmin Ali....

Panel Penilai Operasi Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) meminta SPRM membuka kembali kes membabitkan Timbalan Presiden PKR, Azmin Ali.

Pengerusi penal itu Tan Sri Dr. Hadenan Abdul Jalil memberitahu satu sidang akhbar arahan supaya kertas siasatan kes tersebut diteliti semula oleh SPRM dikeluarkan hari ini (Khamis).

Kertas siasatan itu disambung semula berdasarkan maklumat tambahan yang terbaru dan ia disiasat untuk memastikan kebenaran dakwaan itu," katanya

Beliau berkata mereka yang terbabit dalam siasatan itu termasuk bekas Timbalan Perdana Menteri dan kini Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim akan dipanggil untuk diambil keterangan bagi membantu siasatan.

Katanya cabaran utama untuk menyiasat kes berkenaan adalah mencari bukti kukuh kerana kes berlaku pada 1995 dan telah agak lama.

Hadenan berkata siasatan terhadap Azmin akan mengambil masa lama selain cabaran menentukan apakah seksyen yang bersesuaian untuk disiasat pada masa kini kerana terdapat perbezaan peruntukan undang-undang.

"Pada ketika ini adalah salah bagi penjawat awam yang memiliki aset melebihi pendapatan dan diragui punca hasilnya mengikut Seksyen 36 Akta Pencegahan Rasuah 2009," katanya.

Beliau bagaimanapun berkata kes itu berlaku pada 1995 dan pada ketika itu undang-undang terpakai adalah mengikut Akta Pencegahan Rasuah 1961 yang tidak mempunyai peruntukan undang-undang sekarang.

Beliau berkata mengikut undang-undang 1961, kesalahan seperti itu hanya memperuntukkan tindakan tatatertib oleh jabatan.

Hadenan berkata bagaimanapun panel penilaian mendapati adalah wajar satu siasatan dijalankan bagi memastikan kebenaran dalam dakwaan itu.

Katanya SPRM juga akan memanggil bekas Ketua Pengarah SPRM pada ketika itu, Shafee Yahaya manakala pegawai penyiasat kes tersebut telah meninggal dunia.

Sebelum ini, blogger Raja Petra Raja Kamaruddin meendakwa bahawa Datuk Seri Anwar Ibrahim pernah mengarahkan agensi itu agar kes rasuah jutaan ringgit membabitkan beliau ditutup.

Arahan itu dikatakan diberikan 17 tahun lalu ketika Anwar menjadi Timbalan Perdana Menteri. Ketika itu agensi itu dikenali sebagai Badan Pencegah Rasuah (BPR).

Sementara itu, Pengarah Siasatan SPRM Mustafar Ali yang turut hadir dalam sidang media tersebut tidak menolak akan memanggil Azmin dan Anwar jika keterangan dari mereka dikehendaki.

Semalam, Azmin berkata, beliau telah memberi kerjasama kepada BPR dan siasatan telah dijalankan terhadapnya ketika itu.-31/5/2012






Dakwaan RPK: SPRM buat laporan polis, bermesyuarat Khamis ini


KEMASKINI Jeng je jeng... nampaknya SPRM tidak duduk diam berhubung dakwaan terbaru Raja Petra Kamarudin (RPK) yang melibatkan agensi tersebut.

Menurut Pengarah Siasatan SPRM, Datuk Mustafar Ali, Panel Penilai Operasi SPRM akan bermesyuarat Khamis ini, bagi membincangkan dakwaan Datuk Seri Anwar Ibrahim mengarahkan siasatan kes rasuah terhadap Mohamed Azmin dihentikan pada 1995.
 
Katanya lagi, ahli panel itu akan membincangkan dakwaan Pengarang portal Malaysia Today itu kerana jika benar siasatan akan dilakukan.
 
“Siasatan jenayah tidak ada tempoh masa walaupun kes itu sudah berlalu,” katanya dipetik Berita Harian.
 
Katanya, SPRM juga sudah membuat laporan polis berhubung dakwaan itu terutama mengenai pendedahan dokumen rahsia berkenaan, petang semalam di Balai Polis Putrajaya.
 
“Sebarang maklumat lanjut berkaitan kes ini akan diketahui selepas kami membentangkan laporan kepada Panel Penilai Operasi, Khamis ini,” katanya.
 
Raja Petra mendakwa Anwar mengarahkan Badan Pencegah Rasuah (BPR) ketika itu supaya tidak mengenakan tindakan lanjut (NFA) ke atas Mohamed Azmin dan menghapuskan fail siasatan walaupun mempunyai segala bukti untuk menahan dan mendakwa beliau atas kesalahan berkenaan.-29/5/2012
 

--------------------------------------------------------------------------------

Panas... Ni jenuh Azmin nak jawab...
 
Apa macam orang PKR, penulis pujaan mereka Raja Petra Kamarudin bikin panas lagi pada Selasa apabila mendakwa memiliki dokumen sulit BPR (sekarang dikenali SPRM) berkaitan dengan dakwaan salah guna kuasa membabitkan timbalan presiden PKR Azmin Ali.
 
Blogger yang satu ketika dulu cukup terkenal dengan cerita-cerita sensasi itu kerap menjadi rujukan pembangkang khususnya PKR apabila ada pendedahan membabitkan pemimpin UMNO dan Barisan Nasional.
 
Selalunya, apa saja tulisan Raja Petra, penyokong pembangkang terima bulat-bulat tanpa usul periksa, apa macam kali ini...
 
Dalam tulisan terbaru bertajuk "MACC 'Deep Throat' comes out of the closet" Raja Petra yang tinggal di luar negara menulis dan menunjukkan dokumen-dokumen siasatan BPR terhadap Azmin pada tahun 1995, semasa beliau menjadi setiausaha sulit kepada TPM ketika itu Datuk Seri Anwar Ibrahim.
 
Raja Petra dedahkan perkara tersebut dalam blognya Malaysia Today pada Selasa bahawa  beliau diberi pelbagai fail dan dokumen oleh seorang pegawai BPR yang sudah bersara baru-baru ini.
 
Menurutnya, fail tersebut menunjukkan dakwaan pelbagai transaksi saham, hartanah dan kenderaan bernilai jutaan ringgit hasil siasatan BPR 17 tahun lepas.
 
Jelas beliau, fail yang tebal dengan beratus-ratus dokumen yang mengandungi cukup bukti untuk mendakwa Azmin, bagaimanapun dakwanya, telah diklasifikasikan sebagai "tiada tindakan lanjut" atas arahan Anwar.
 
Antara dakwaan di dalam tulisan tersebut adalah Azmin dikatakan menerima elaun bulanan iaitu sebanyak RM15, 000 daripada taikun Tan Sri Vincent Tan.
 
Manakala dokumen siasatan yang disiarkan biarpun mempunyai cop rahsia itu juga termasuk dakwaan Ahli Parlimen Gombak itu memiliki saham, rumah dan kereta yang berjumlah kira-kira RM1.5 juta dengan hampir RM10 juta dalam bentuk wang tunai.
 
"Semua urus niaga ini telah disahkan dan diperakui oleh bank-bank yang berkenaan, sebagaimana yang ditunjukkan dalam lampiran," katanya, merujuk kepada dokumen-dokumen BPR yang disiarkan di Malaysia Today.
Mewah aset
 
Dokumen-dokumen tersebut menunjukkan aset yang dimiliki oleh Azmin dan isterinya tidak sepadan dengan pendapatan Azmin sebagai pegawai dibawah gred D41 yang menerima gaji sebanyak RM2,400 sebulan.
 
Antara aset yang didakwa milik Azmin, antara lain, adalah kereta jenis BMW 325i, Proton Wira 1,6 Xli, Proton Satria 1,6 Xli. A Proton Perdana 2.0 SE, 1000 lot saham Hicom dan rumah seluas 8500 kaki persegi di No 23, Jalan 1/4D Bukit Mas, Taman Melawati bernilai RM210,000.
 
Siasatan juga menunjukkan Azmin memiliki sebuah banglo dua tingkat di Setapak yang berharga RM284,118 dengan dengan bayaran deposit sebanyak RM14,181 dan ansuran bulanan sebanyak RM3,3760,75.
 
Pegawai yang mendedahkan dokumen tersebut kepada Raja Petra memberitahu BPR telah diarahkan menghentikan siasatan walaupun ada bukti jelas bagi mengaitkan Azmin dengan tuduhan rasuah.-29/5/2012





PERINGATAN: AgendaDaily tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.
AgendaDaily.com adalah sebuah portal surat khabar elektronik yang menyalurkan maklumat terus ke skrin komputer anda dalam bentuk berita, analisis berita, laporan khas, fokus, komentar, wawancara dan segala macam yang ingin diketahui mengenai berbagai-bagai perkembangan hal ehwal semasa negara dan juga luar negara.

Kami mempunyai 733  tetamu dalam talian