12November2019

Agenda Daily

Hampir mustahil untuk laksanakan ICERD - Tun Mahathir

 
Tun Dr Mahathir Mohamad berkata pelaksanaan Konvensyen Antarabangsa Mengenai Penghapusan Segala Bentuk Diskriminasi Kaum (ICERD) akan melibatkan pindaan Perlembagaan Persekutuan, dan perkara ini hampir mustahil untuk dilakukan.
 
Perdana menteri menegaskan majoriti dua pertiga anggota parlimen diperlukan untuk melaksanakan perkara itu.
 
Ini, katanya, hampir mustahil berikutan komposisi semasa anggota Dewan Rakyat daripada kerajaan dan reaksi yang ditunjukkan berhubung perkara itu daripada pihak pembangkang serta anggota kerajaan.
 
"Hanya dengan sokongan daripada pembangkang yang akan membolehkan kita mencapai majoriti dua pertiga, malah anggota kerajaan sebelum ini pun mungkin tidak menyokongnya. Jadi, saya berpendapat adalah hampir mustahil bagi kami untuk mencapai majoriti dua pertiga yang diperlukan (untuk meminda perlembagaan)," katanya.
 
Dr Mahathir bercakap kepada media Malaysia di akhir sidang kemuncak Kerjasama Ekonomi Asia Pasifik (APEC) 2018 di sini.
 
Dilaporkan sebelum ini bahawa Menteri Besar Kedah Datuk Seri Mukhriz Tun Mahathir dan Menteri Belia dan Sukan Syed Saddiq Syed Abdul Rahman menyuarakan bantahan berhubung ICERD, manakala parti pembangkang merancang untuk menganjurkan perhimpunan bersama bulan depan bagi menentang cadangan untuk meratifikasi konvensyen itu.
 
Dr Mahathir mengambil maklum bahawa ICERD adalah sensitif kepada kaum Melayu di Malaysia dan kerajaan tidak menolak pandangan yang disuarakan rakyat tentang perkara itu.
 
"Perkara ini sensitif kepada orang Melayu, kami memahaminya. Dalam ucapan di (perhimpunan agung) Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu, saya menyebut tentang kerumitan dalam pelaksanaan ICERD. Jadi, kami tidak menyatakan komitmen bahawa kami akan melakukannya,” katanya.
 
Semalam, Presiden UMNO Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata orang Melayu beragama Islam akan ‘mengamuk’ untuk membantah ikrar kerajaan Pakatan Harapan untuk meratifikasi ICERD.
 
Mengulas perkara itu, perdana menteri berkata: "Melainkan Zahid menimbulkan masalah, tidak akan timbul sebarang rusuhan (berhubung ICERD)."- 18/11/2018
PERINGATAN: AgendaDaily tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.
AgendaDaily.com adalah sebuah portal surat khabar elektronik yang menyalurkan maklumat terus ke skrin komputer anda dalam bentuk berita, analisis berita, laporan khas, fokus, komentar, wawancara dan segala macam yang ingin diketahui mengenai berbagai-bagai perkembangan hal ehwal semasa negara dan juga luar negara.

Kami mempunyai 227  tetamu dalam talian