05April2020

Agenda Daily

Hab Pendidikan Tinggi Pagoh bukan 'cerita bohong' - TPM

habxxxTan Sri Muhyiddin Yassin pada Jumaat menegaskan rancangan projek pembinaan Hab Pendidikan Tinggi Pagoh di sini yang bernilai hampir RM1 bilion bukan 'cerita kosong', sebaliknya akan memacu pembangunan di kawasan utara Johor.

Timbalan Perdana Menteri berkata fasa pertama pembangunan berkenaan akan dimulakan tahun depan yang sekali gus menyangkal cakap-cakap bahawa kerajaan berbohong mengenainya.

"Ini bukan cerita kosong... pasal ada orang beritahu saya papan tanda sudah naik lebih setahun tetapi projek masih belum dibina.

"Saya sebagai wakil rakyat tidak pernah bohong. Apabila kita buat sesuatu, kita akan laksanakannya," katanya ketika berucap pada majlis sambutan Deepavali Parlimen Pagoh, di Pagoh Jumaat.

Turut hadir isteri beliau Puan Sri Norainee Abdul Rahman, Anggota Dewan Undangan Negeri (Adun) Jorak Datuk Dr Shahruddin Md Salleh dan Adun Bukit Serampang Datuk Tahir Mohd Taat.

Bernama melaporkan Muhyiddin yang juga Menteri Pelajaran berkata kawasan pembangunan seluas 202 hektar yang bakal menempatkan tiga universiti, sebuah politeknik dan sekolah menengah itu akan mengimbangi pembangunan Johor selepas pembangunan di Johor selatan yang merangkumi Iskandar Malaysia serta hab minyak dan gas di Pengerang, Kota Tinggi.

Beliau berkata seluruh masyarakat Pagoh perlu berbangga dengan pembangunan tersebut kerana memudahkan anak mereka mendapat pendidikan terbaik tanpa perlu pergi jauh dari kawasan Pagoh untuk menimba ilmu.

Katanya Sime Darby selaku pemilik tanah sudah diberitahu supaya memulakan kerja pembinaan tahun depan sebelum universiti pertama di kawasan berkenaan dijangka dibuka pada tahun 2015.

"Inilah keistimewaan Pagoh. Ini bukan 'angkat bakul masuk sendiri'. Di selatan Johor sudah ada Iskandar Malaysia dan Rapid Petronas, jadi di utara Johor ini, yang terbaik ialah pembinaan hab pendidikan tinggi," katanya.

Sementara itu, Muhyiddin turut meminta semua masyarakat di kawasan berkenaan supaya melahirkan sokongan yang tidak berbelah bahagi terhadap kepimpinan Barisan Nasional demi memastikan kehidupan yang lebih terjamin.

Beliau menegaskan rakyat Pagoh perlu memahami dan yakin dengan perjuangan yang dibawa kerajaan supaya tidak ketinggalan berbanding kawasan lain di negara ini.

Muhyiddin turut memotong sebiji kek sempena sambutan Deepavali pada majlis itu yang diserikan dengan persembahan kebudayaan masyarakat India.- 23/11/2012

PERINGATAN: AgendaDaily tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.
AgendaDaily.com adalah sebuah portal surat khabar elektronik yang menyalurkan maklumat terus ke skrin komputer anda dalam bentuk berita, analisis berita, laporan khas, fokus, komentar, wawancara dan segala macam yang ingin diketahui mengenai berbagai-bagai perkembangan hal ehwal semasa negara dan juga luar negara.

Kami mempunyai 230  tetamu dalam talian