15Ogos2020

Agenda Daily

Dakwaan 40 Ahli Parlimen UMNO nak lompat dedah pekong perang pengaruh PPBM-PKR...

Lojiknya orang mana yang sanggup melihat partinya yang tengah menikmati puncak kuasa terpaksa berputih mata undur kebelakang beri laluan kepada parti lain pula duduk diatas.
 
Ini politik bukan main pondok pondok.
 
Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) kini cuma ada 14 kerusi Parlimen termasuk Datuk Seri Mustapha Mohamad dari Jeli yang baru lompat.
 
Jawatan Perdana Menteri dipegang oleh Tun Dr Mahathir Mohamad yakni Pengerusi PPBM.
 
PKR pula ada 49 Ahli Parlimen yakni komponen terbesar dalam Pakatan Harapan.

Kedudukan parti itu diperkuat dengan kemasukan Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai Ahli Parlimen Port Dickson baru ini.
 
Beliau dijanjikan akan ambil alih jawatan Perdana Menteri dalam tempoh dua tahun atau lebih sikit dari tarikh PRU14 pada 9 Mei lalu.
 
Dengar cerita orang orang PPBM tengah merasa 'demam tak kebah' mengenangkan nasib parti kecil mereka menjelang peralihan kuasa nanti.

Lagipun al-kisahnya ramai ahli parti serpihan UMNO itu cuma selesa berada dalam Pakatan Harapan semasa Dr Mahathir pegang jawatan Perdana Menteri dan lain ceritanya bila Anwar ambilalih nanti.
 
Berdasarkan undi popular pada PRU14 UMNO yang asalnya dapat 54 kerusi Ahli Parlimen masih kekal parti paling berpengaruh yakni mendapat  2.555 juta (21.15%).
 
Ini diikuti DAP 42 kerusi dengan 2.103 juta undi (17.41%), PKR  49 kerusi 2.041 juta undi (16.89%) dan PAS  18 kerusi 2.018 juta undi (16.70%)
 
PPBM dengan 13 kerusi cuma 741,000 undi  (6.14%) yakni lebih sikit dari Amanah 11 kerusi 655,000 undi (5.42%).
 
Dari angka ini semua orang boleh menilai bagaimana PPBM cukup mengidam hendak melihat Ahli Parlimen UMNO lompat masuk parti mereka.
 
Bayangkan kesannya jika benar seperti digembar gembur oleh Penasihat Media Pejabat Perdana Menteri Datuk Kadir Jasin 40 Ahli Parlimen UMNO hendak kompat masuk PPBM.
 
Makanya dari asalnya 13 kerusi Parlimen jumlahnya akan meningkat mendadak jadi 53.

Ini bermakna secara automatik PPBM jadi perti komponen terbesar dalam Pakatan Harapan.
 
Kalau jumlah Ahli Parlimen sebanyak itu dengan kuasa mengundi lebih 3.2 juta (undi  Ahli Parlimen UMNO campur PPBM dapat) sudah tentu semua parti komponen lain dalam Pakatan Harapan kena sentiasa ‘ tabik hormat’ padanya.
 
Jadi apa naik hairan jika khabar angin mengenai kemungkinan Ahli Parlimen UMNO hendak  lompat menjadi lagu popular yang terus diputar dan diputar.
 
Malah Ketua Penerangan UMNO Datuk Shamsul Annuar Nasarah menyifatkan kenyataan Kadir Jasin yang juga Ahli Majlis Tertinggi PPBM bahawa 40 ahli Parlimen UMNO akan menyertai PPBM adalah usaha terdesak pimpinan parti berkenaan untuk menutup kekurangan mereka yang hanya ada 13 kerusi di Dewan Rakyat.
 
Dalam satu kenyataan Ahad,Ahli Parlimen UMNO kawasan Lenggong,Perak itu kata ini banyak dipersoalkan oleh rakan dalam Pakatan Harapan bagaimana sebuah parti yang jumlah ahli Parlimennya yang kecil boleh menerajui kerajaan.
 
“Saya percaya kenyataan penyertaan itu tidak benar dan hanya andaian Kadir Jasin. Selain bertujuan memecahbelahkan UMNO, ia juga untuk mengulangi impian dan harapan sebenar Tun Dr Mahathir Mohamad. Justeru saya berharap ahli UMNO tidak terpengaruh dengannya kerana saya yakin Ahli Parlimen UMNO tetap setia dengan parti.
 
“Bagaimanapun kenyataan Kadir Jasin saya sifatkan sebagai provokasi dan tidak masuk akal. Apa yang dinyatakannya juga sebagai suatu usaha beliau untuk menunjukkan kononnya PPBM sudah semakin kuat.,”katanya.
 
Beliau menilai hakikat sebenarnya kenyataan itu mengambarkan bahawa PPBM semakin gusar dengan kehadiran Anwar Ibrahim dalam Pakatan Harapan hingga Kadir Jasinterpaksa menyatakan 40 Ahli Parlimen UMNO akan meninggalkan UMNO menyertai PPBM.
 
Dalam pada itu Shamsul mendakwa kenyataan dari pimpinan PPBM ini juga jelas menunjukkan sudah ada persaingan dan perlumbaan membina pengaruh antara PPBM dan PKR termasuk parti lain dalam Kerajaan Pakatan Harapan. 
 
“Semua ini ekoran kehadiran Anwar Ibrahim.Sebab itu kenyataan Kadir Jasin adalah gambaran ada perancangan pimpinan PPBM mahu menyekat kemaraan Anwar Ibrahim untuk mengambilalih jawatan Perdana Menteri. Jadi Anwar Ibrahim harus berhati hati dalam perkara ini dan segeralah bertindak sebelum terlambat.
 
“Sudah tentu perancangan sebenar pucuk pimpinan tertinggi PPBM untuk terus berkuasa walaupun terpaksa mengikut arahan parti DAP,”katanya.- 28/10/2018
 
PERINGATAN: AgendaDaily tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.
AgendaDaily.com adalah sebuah portal surat khabar elektronik yang menyalurkan maklumat terus ke skrin komputer anda dalam bentuk berita, analisis berita, laporan khas, fokus, komentar, wawancara dan segala macam yang ingin diketahui mengenai berbagai-bagai perkembangan hal ehwal semasa negara dan juga luar negara.

Kami mempunyai 366  tetamu dalam talian