25September2020

Agenda Daily

Pendedahan Nasharudin...Zulkifli Nordin tunjuk bukti dalam Dewan Rakyat

zul-nashaKEMASKINI : Sidang Dewan Rakyat panas seketika petang Khamis bila Ahli Parlimen Bebas Kulim Bandar Bharu,Datuk Zulkifli Nordin tunjuk bukti untuk backing pendedahan bekas Timbalan Presiden PAS Nasharudin Mat Isa mengenai majlis doa anjuran DAP selepas pilihanraya negeri Sarawak.

Pada perbahasan Bajet 2013 itu beliau tunjuk gambar majlis berkenaan yang dakwanya dimana ada doa dibuat agar Kristian jadi agama rasmi dan Perdana Menteri dari orang Kristian.

 Suasana dalam dewan jadi panas bila sebilangan Ahli Parlimen  pembangkang cuba ganggu perbahasannya tetapi Zulkifli bertegas  meneruskan hujah  bagi menyanggah pemimpin DAP yang menafikan apa  didedahkan Nasharudin dalam seminar di Dewan Merdeka, PWTC, pada  Selasa.
 
Pemimpin DAP Sarawak mendakwa bacaan doa supaya Malaysia menjadi  negara Kristian dalam majlis makan malam anjuran parti itu tahun lalu  tidak benar, berniat jahat dan tidak bertanggungjawab.
 
Menurut Zulkifli, perkara itu memang berlaku malah didedahkan sendiri  ahli DAP, Razali Abdul Rahman yang juga membuat laporan polis  mendedahkan pembabitan paderi asing dalam politik negara ini.
 
“Majlis ini yang dinafikan (oleh DAP Sarawak), inilah pembohongan  DAP,” tegasnya.

 Zulkifli mendedahkan, majlis berlangsung pada 5 Mei 2011, dianjurkan  selepas pilihanraya negeri Sarawak di sebuah tempat di Pulau Pinang  bagi meraikan paderi dan pastor yang bantu DAP dalam pilihanraya itu.
 
“Datuk Speaker (Datuk Wan Junaidi Jaafar), cuba bayangkan kalau yang  terlibat itu imam masjid dan  bantu BN, mereka punyalah  memekak dan  melalak,” katanya.
 
Zulkifli berkata antara hadir ahli parlimen Jelutong, Adun-Adun dari  Sarawak serta kira-kira 30 paderi dan pastor dari Sarawak manakala  dari luar negara adalah United Kingdom dan Afrika Selatan.
 
Antara ucapan wakil rakyat DAP adalah berterima kasih kepad paderi dan  pastor serta gereja yang bantu DAP di Sarawak.
 
Katanya lagi, ada pastor akui bantu DAP dan mengutuk Ketua Menteri Sarawak.  “Mereka (DAP) kerjasama dengan paderi asing untuk jatuhkan kerajaan,”  ujar Zulkifli .
 
Malah turut didedahkan pengakuan seorang pastor yang katanya bertuah  dapat bantu DAP dan sanggup buka kaunter pendaftaran pengundi bagi  membantu DAP selain minta dibanyakkan aktiviti supaya BN tumbang.
 
Pastor daripada Afrika Selatan yang mengaku dijemput untuk pantau  pilihanraya negeri itu menyatakan kecewa kononnya penganut Kristian  dianiaya dalam isu Al-Kitab.
 
“Beliau minta dibuat sesuatu supaya Krtistian dikembangkan. Isu  kewangan tidak jadi masalah kerana gereja di Afrika akan bantu dan  hantar mubaligh sebar ajaran Krtistian,” dedah Zulkifli.
 
Menurut beliau lagi, dalam majlis itu beberapa pemimpin DAP dan pastor  berkumpul untuk angkat sumpah dengan buat bulatan serta letak tangan  dibahu sama sendiri manakala hadirin lain berdiri.
 
Katanya, seorang paderi  membaca doa dan ikrar yang bermaksud pastikan  Kristian jadi agama rasmi dan Perdana Menteri akan datang daripada  Kristian.
 
Ketika ini terdengar jeritan ahli parlimen pembangkang menganggu hujah  Zulkifli dengan mengatakan ianya sudah diluar perbahasan bajet.
 
Zukifli tidak menghiraukan gangguna itu dan menunjukkan gambar-gambar  majlis tersebut.
 
Terdengar pula ada ahli parlimen berkata, “nak tipu apa lagi” dan  Zulkifli mengulangnya.
 
Beliau menjelaskan, perkara itu dibangkitkan setelah banyak isu  pembabitan dana asing daripada luar termasuk George Soros dan  sebagainya didedahkan.|

Katanya, kini ada bukti pembabitan paderi asing secara terang-terang.
 
“Minta kerajaan siasat macam mana paderi ini boleh datang campur  tangan dalam politik negara dengan tujuan tumbangkan kerajaan guna gereja,” ujar beliau.
 
Melihat Zulkifli terus diganggu beberapa ahli parlimen pembangkang, Wan Junaidi menasihatikan ahli parlimen Bebas itu berhenti selain masa  diperuntukkan sudah mencukupi.
 
“Saya minta kerajaan siasat laporan polis dibuat Razali, bekas pegawai  (cawangan) khas  dan (siasat) paderi asing serta dalam negara kita  supaya kedaulatan negara tidak hancur akibat permainan kotor politik  pembangkang,” katanya.
 
Dalam sidang akhbar di lobi Parlimen sejurus itu, Zulkifli minta DAP  nafi apa yang didedahkannya di  Dewan Rakyat supaya tindakan sususan  dapat diambil.
 
Katanya,  ini boleh soal perkauman tetapi takut campur tangan paderi asing akan menjejaskan keselamatan negara.
 
Menjawab soalan, Zulkifli menegaskan, beliau tidak akan bercakap  perkara itu kalau tidak ada bukti.

“Ini Dewan Rakyat. Tak boleh cakap kosong,” katanya.|

Pada sidang media yang turut dihadiri ahli parlimen Bebas Bayan Baru Datuk Seri Zahrain Hashim, Zulkifli menyelar tindakan seorang  pemberita portal pembangkang yang menuduhnya takut mengulangi apa  dicakapkan dalam Dewan Rakyat.

“Tanya bos you, adakah I jenis orang yang takut,” katanya.

Sekarang tentu ramai nak tahu apa jawapan DAP ekoran pendedahan  Zulkifli dan pemimpin PAS terutama Khalid Samad yang turut berkempen  babitkan gereja ketika pilihanraya kecil Sibu tentu boleh bantu  pertahan penafian DAP itu.OLEH ROSLAN BIAN - 11/10/2012


Bos-bos PAS hala 'senapang gajah' ke arah Nasharuddin Mat Isa...

Seperti yang diduga muncung senapang gajah dari 'kawan-kawan seperjuangan sendiri' mula dihalakan ke arah bekas Timbalan Presiden PAS Nasharuddin Mat Isa berikutan kenyataannya berhubung perpaduan ummah di PWTC semalam.

Pada Rabu, di lobi Parlimen, beberapa pemimpin PAS (geng Erdogan) mula buat macam-macam kenyataan balun Ahli Parlimen Bachok itu. Yang paling lantang siapa lagi kalau bukan Khalid Samad, dalam sidang media di lobi Parlimen, Khalid tuduh Nasharuddin mengamalkan pendekatan politik murahan dengan menimbulkan isu khususnya menjelang Pilihanraya Umum ke 13. Katanya, "sebelum ini dia (Nasharudin) mengeluarkan kenyataan yang keahlian (dalam PR) sudah tak penting, ini sudah tak penting, kita tahu itu yang dia nak."

"Ini politik murahan. Kenapa baru sekarang nak keluarkan kenyataan, kita bekerja dengan DAP bukannya semalam, kenapa baru sekarang nak timbulkan isu.

"Bagi saya ini adalah tindakan yang direncanakan dan dirancang oleh Umno dengan tujuan nak timbulkan masalah dalam PR dan Pas,

Ahli Parlimen Shah Alam itu juga mendakwa Nasharuddin mengikut telunjuk "orang luar".

"Bagi saya tindakan direncana dan dirancang oleh orang luar PAS... Letak sajalah UMNO... (Untuk) timbulkan masalah dalam Pakatan dan PAS.

"PAS ada majlis syura dan apa-apa tindakan jika bercanggah dengan Islam majlis syura akan bersuara," katanya.

Nasharuddin dalam ucapan di Seminar Dakwah Nasional semalam menyeru perpaduan ummah dan pelik melihat perpaduan antara dua parti politik Melayu UMNO-PAS seolah-olah 'taboo' pada sesetengah pihak.

Nada yang sama juga diluahkan oleh Naib Presiden PAS Mahfuz omar yang mendakwa kenyataan Nasharudin telah "menyentuh dan mencabar" keputusan Majlis Syura apabila mendakwa parti itu kini mengutamakan kuasa dan meletakkan prinsip Islam di tempat kedua

Ahli Parlimen Pokok Sena ini berkata, sebagai sebuah parti politik, PAS memang memerlukan kuasa dan usaha ini diteruskan dari dahulu sehingga sekarang.

Katanya, aspek itu yang diputuskan oleh Majlis Syura selaku badan tertinggi membuat keputusan dalam Pas.

"Jadi, apabila Ustaz mempertikaikan pendirian parti, bermakna beliau telah menyentuh dan mencabar Majlis Syura sendiri," katanya.

Nasaruddin dalam ucapan selama 20 minit di Seminar Dakwah Islamiyyah Sebagai Tunggak Kekuatan Ummah itu mengingatkan pemimpin PAS agar jangan terlalu kejar kuasa hingga meminggirkan prinsip perjuangan.

Ahli Majlis Syura PAS berkata, dalam konteks politik hari ini, masalah perpecahan umat sering dilupakan sedangkan ia adalah masalah utama yang perlu diselesaikan terlebih dahulu.

Kata Nasharudin, beliau turut hairan mengapa usaha untuk membincangkan masalah umat Islam terutamanya melibatkan dua parti terbesar orang Melayu Islam iaitu parti Umno dan Pas sering dilihat 'taboo'.

"Jika umat Islam negara ini terus berpecah belah, apakah yang bakal terjadi kepada umat untuk lima, 10 atau 15 tahun lagi? Adakah umat Islam tergelincir?

"Adakah agama mengajar umatnya meletakkan ajaran Islam di tempat kedua semata-mata mahu mendapatkan kuasa?" katanya.

Sementara itu, Ketua Penerangan PAS, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man pulak nampak berlembut ketika mengulas kenyataan Nasharuddin semalam.

Pesuruhjaya PAS Pahang itu berkata komen Nasharuddin agar PAS tidak mengutamakan kuasa semata-mata sehingga sanggup meletakkan prinsip Islam di tempat kedua itu bukan sesuatu yang pelik.

"Saya tidak melihat kenyataan yang dikeluarkan oleh beliau (Nasharudin) sebagai sesuatu perkara yang pelik... apa yang diperkatakan adalah sebagai memperingati dasar perjuangan kita," katanya dipetik sebuah portal berita.

Sehubungan itu tegas beliau, untuk memerintah, kuasa yang diperoleh menerusi pilihan raya akan memberi jalan untuk melaksanakan dasar perjuangan PAS.

"Bagi pendapat saya, kuasa yang ada akan memberi kita jalan untuk memerintah," kata beliau yang juga Pesuruhjaya Pas Pahang.

Justeru, beliau turut tidak menafikan berbeza pendapat dengan orang lain juga sebagai perkara biasa.

"Saya memberikan contoh, dasar PAS tidak pernah berganjak, berbeza pendapat dengan parti lain akan terjadi," tambah beliau.

Akhir Ogos lalu, Jawatankuasa Kerja PAS Pusat menyerahkan isu Nasharudin yang meminta Pas keluar dari PR, berhubung isu hukum hudud, kepada Majlis Syura untuk membincangkannya.

Majlis Syura yang mengadakan mesyuarat awal bulan lalu dilaporkan tidak membincangkan kedudukan Nasharuddin itu.-10/10/2012



Nasharudin Mat Isa 'langgar tembok'...


seminar-02xx

Lokasinya ialah Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC).Tidak payah sebut panjang-panjang semua orang tahu itu adalah bangunan dimana terletaknya ibupejabat UMNO.
 
Petang Selasa suasana dingin dalam Dewan Merdeka 'jadi panas' bila bekas Timbalan Presiden PAS Nasharudin Mat Isa yang juga Ahli Parlimen Bachok,Kelantan naik ke pentas untuk menyampaikan kertaskerjanya pada hari akhir Seminar Dakwah Nasional di situ.
 
Perhatian lebih 1,000 peserta yang terdiri dari tokoh-tokoh agama,intelektual dan pemikir serta wartawan yang membuat liputan bertumpu kepadanya.
 
Beliau tidak membaca teks kertas kerjanya yang bertajuk " Dakwah Islamiyah Dalam Mendepani Kemelut Politik Semasa Malaysia' yang sudah diedarkan kepada para peserta sebelum itu.
 
Sebaliknya beliau berucap tanpa teks.Ucapannya dengan nada sedarhana tidak panjang.Cuma sekitar 20 minit sahaja.Namun ia boleh kata menjadi ' kemuncak' seminar dua hari anjuran Pertubuhan Muafakat Sejahtera Masyarakat Malaysia ( MUAFAKAT).
 
Isunya bukan soal seorang tokoh PAS berada lokasi - PWTC yang menjadi markas UMNO tetapi ledakan Nasharudin tentang perlunya umat Islam negara ini bersatu.

Tanpa berselindung - beliau menyuarakan rasa hairan mengapa usaha untuk membincangkan masalah umat Islam terutamanya melibatkan dua parti terbesar orang Melayu Islam iaitu parti UMNO dan PAS dilihat sebagai 'taboo' atau dalam bahasa mudahnya 'haram'.
 
Dari sudut politik Nasharudin dikira sudah langgar tembok menyuarakan semula pendirian dan pandangannya mengenai isu yang kontrovesial di kacamata PAS ini. 

seminar-03                                                                              
 
Ini kalau kita singkap balik kisah tahun 2009 bilamana Mursyidul Am PAS, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat 'meletop' memintanya meletakkan jawatan sebagai Timbalan Presiden PAS dan Ahli Parlimen Bachok jika masih meneruskan hasrat untuk menubuhkan kerajaan perpaduan UMNO-PAS.
 
Menteri Besar Kelantan itu yang diketahui umum menyimpan dendam kesumat terhadap UMNO langsung tidak dapat menerima idea yang diketengahkan oleh tokoh moderate PAS ini.
 
Tok Guru PAS itu sanggup tenggelam timbul dengan DAP sekalipun satu dunia tahu pendirian parti itu terhadap perjuangan asal PAS.
 
Meneliti kata-katanya pada seminar itu jelas Nasharudin nampaknya sudah set tidak pandang belakang dan sedia berdepan dengan risiko tindakan partinya.
 
"Adakah agama mengajar umatnya meletakkan ajaran Islam di tempat kedua semata-mata mahu mendapatkan kuasa?" kata yang dipercayai merujuk kepada sikap konservatif sesetengah pimpinan atasan  PAS dan golongan Anwarista parti itu yang membuka diri berdakap dengan DAP.
 
Beliau mengingatkan kemenangan Islam terletak di tangan umatnya sendiri tanpa bantuan dari bukan Islam.

seminar-peserta-03
 
Nasharudin mempersoalkan  dalam sejarah kemenangan umat Islam adakah ia pernah dibantu oleh orang bukan Islam.

"Saya pernah bertanya dua kali kepada seorang pemimpin Islam, adakah dalam sejarah kemenangan umat Islam, pernah dibantu oleh orang bukan Islam?
 
"Beliau menjawab kemenangan Islam dari dulu sampai bila-bila berada di tangan umat Islam sendiri sahaja," katanya.
 
Beliau juga bertanya "jika umat Islam negara ini terus berpecah belah, apakah yang bakal terjadi kepada umat untuk lima, 10 atau 15 tahun lagi?
 
Beliau mengingatkan agar tidak mengutamakan kuasa semata-mata sehinggakan sanggup meletakkan prinsip Islam di tempat kedua.
 
Katanya dalam konteks politik hari ini, masalah perpecahan umat sering dilupakan sedangkan ia adalah masalah utama yang perlu diselesaikan terlebih dahulu.
 
Beliau pergi lebih jauh lagi dengan mempersoalkan sama ada golongan bukan Islam kini berbaik dengan umat Islam "untuk kesenangan bersama dalam langkah percaturan politik singkat semata-mata untuk meraih sokongan di peti undi".
 
"Atau sememangnya benar bukan Islam kini insaf dan mula mengenali Islam yang maha adil dan benar-benar ingin mendokong cita-cita Islam yang diimani oleh majoriti umat Islam dalam konteks mengubah pemerintahan sedia ada ke arah sebuah pemerintahan baru yang bersama-sama mendukung jemaah Islam?,"
 
Katanya jika benar begitu,takdirnya dalam PRU13 nanti,kumpulan bukan Islam memenangi suara terbanyak dalam parlimen,apakah amalan Islam yang terlaksana dalam pelbagai institusi kini termasuk Mahkamah Syariah,Perbankan Islam,Majlis Agama Islam Negeri-negeri dapat dipertahankan malah diperbaiki atau ia dihapus secara perlahan-lahan.
 
"Kita amat bimbang jika berlaku keadaan habis madu sepah dibuang.Amat dukacita jika kita mengambil sikap terlalu kuat mengutamakan ikatan politik daripada menjaga agama dan mempertahankan agama Islam kita sendiri,"katanya.  
 
Serentak dengan itu Nasharudin secara terbuka di seminar itu menyifatkan tindakannya menghentam Karpal Singh menolak hajat PAS hendak tubuh negara Islam sebagai satu dakwah.
 
Tanpa mempedulikan Pengerusi DAP itu kata hendak saman,beliau dakwa Karpal adalah anti Islam bukan anti-Hudud .
 
Beliau menegaskan Karpal tidak berhak menentang perundangan yang ditetapkan Allah.

Bekas Timbalan Presiden PAS itu juga menyuarakan sokongannya pada pandangan Timbalan Musyridul Am PAS,Datuk Dr Haron Din yang hentam Datuk Seri Anwar Ibrahim kerana lancar buku seorang tokoh Islam liberal India yang tolak negara Islam di Kuala Lumpur baru-baru ini
 
Pada awal ucapannya Nasharudin telah mencuri perhatian para peserta bila mendakwa satu majlis kesyukuran  telah diadakan selepas pilihanraya negeri Sarawak dimana ada doa dibuat agar  Malaysia menjadi negara Kristian.
 
Beliau mengajak umat Islam bersatu untuk berdepan dengan strategi  yang dirancang oleh musuh Allah di negara ini.
 
Bercakap kepada wartawan selepas seminar itu Nasharudin berkata beliau tidak bimbang langsung risiko berdepan dengan tindakan dari PAS kerana bersuara begini.

"Pendirian saya jelas. Boleh kata semua tau pendirian saya. Saya tak takut nyatakan pendirian saya,"katanya.

Baginya soal ahli parti dan sebagainya adalah soal kedua kerana yang utama ialah agama Islam.-9/10/2012 - OLEH ROSLI ISMAIL




PERINGATAN: AgendaDaily tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.
AgendaDaily.com adalah sebuah portal surat khabar elektronik yang menyalurkan maklumat terus ke skrin komputer anda dalam bentuk berita, analisis berita, laporan khas, fokus, komentar, wawancara dan segala macam yang ingin diketahui mengenai berbagai-bagai perkembangan hal ehwal semasa negara dan juga luar negara.

Kami mempunyai 477  tetamu dalam talian