18Jun2019

BN tolak Bajet PH...tiada ‘keajaiban’ untuk petani,nelayan dan pekebun - Zahid

Tidak ada sebarang keajaiban di dalam Bajet 2019 yang dibentangkan oleh Menteri Kewangan, Lim Guan Eng di Dewan Rakyat pada petang Jumaat.
 
Malah menurut Ketua Pembangkang, Datuk Seri Dr Zahid Hamidi, tidak ada peruntukan khusus untuk petani, nelayan dan juga pekebun-pekebun kecil terutama di saat harga komoditi sedang mengalami kejatuhan ketika ini. 
 
Ini jauh berbeza dengan kerajaan BN pada Bajet 2018 buat pertama kali dalam sejarah negara memberi peruntukan paling besar kepada pesawah, petani, peladang, nelayan, pekebun kecil, penternak dan penoreh getah, berjumlah RM6.5 bilion.
 
Selain itu sebanyak RM2.3 bilion diperuntukkan untuk bantuan dan insentif seperti baja serta input pengeluaran kepada pesawah, pekebun kecil getah dan nelayan.
 
Dalam pada itu, Zahid juga menyelar rancangan kerajaan PH cuba mengelirukan rakyat melalui pengurangan kos projek-projek besar.
 
“Dan kita lihat banyak projek-projek besar telah dikurangkan kosnya. Tetapi sebenarnya spesifikasi yang telah dikurangkan. Maka dalam perkara ini ianya bukanlah satu penjimatan.
 
“Begitu juga bagi meningkatkan hasil kerajaan, mereka bercadang untuk menjual aset-aset. Dan ini adalah merupakan satu tindakan ke belakang,” kata ahli Parlimen Bagan Datuk itu kepada media di lobi Parlimen.
 
Selain itu,  Zahid turut mendakwa wujud satu pihak yang sedang bersedia untuk membeli aset-aset tersebut.
 
“Dan kita lihat bahawa ada wang yang datang daripada luar negara yang dengarnya telah diletakkan di Labuan semata-mata untuk membeli aset-aset ini. Dan apabila harga saham terlalu rendah, maka ketika itulah individu tertentu cuba mengambil aset-aset berkenaan.
 
“Dan ini akan mengurangkan pegangan kerajaan di dalam syarikat berkaitan kerajaan (GLC),” katanya.
 
Pada keseluruhannya ujar Zahid, parti pembangkang menolak belanjawan yang dikemukakan itu.
 
Sebelum itu beliau yang juga Presiden UMNO menerusi twitter mempersoalkan samada Bajet 2019 yang dibentang kerajaan PH boleh dipercayai atau pun tidak.
 
Katanya semua pihak sedang menunggu dengan penuh debaran dan harapan tentang Bajet 2019.
 
“Persoalannya, sama ada bajet ini mampu dipercayai sedangkan manifesto  pun tidak  ditunaikan?. Rakyat sedang memerhati, “katanya.- 2/11/2018
 
PERINGATAN: AgendaDaily tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.
AgendaDaily.com adalah sebuah portal surat khabar elektronik yang menyalurkan maklumat terus ke skrin komputer anda dalam bentuk berita, analisis berita, laporan khas, fokus, komentar, wawancara dan segala macam yang ingin diketahui mengenai berbagai-bagai perkembangan hal ehwal semasa negara dan juga luar negara.

Kami mempunyai 405  tetamu dalam talian