20April2019

BN bentang bajet alternatif menjelang Bajet 2019 kerajaan PH…cadang GST 3 %

Barisan Nasional (BN) pada Khamis membentangkan Inisiatif Ekonomi Rakyat yakni bajet alternatif menjelang pembentangan Bajet 2019 oleh kerajaan Pakatan Harapan (PH) esok Jumaat
 
Inisiatif yang berteraskan kepada ‘Merancakkan pembangunan, meningkatkan pengagihan, kalis masa depan’ itu dibentangkan oleh Ahli Parlimen Rembau, Khairy Jamaluddin dalam sidang akhbar di Parlimen, Khamis.

Khairy pegang portfolio Menteri Kewangan dalam kabinet bayangan BN selaku pembangkang.
 
Inisiatif tersebut mempunyai tiga teras utama iaitu merancakkan pembangunan, meningkatkan pengagihan dan kalis masa depan.
 
Menurut Khairy, dokumen yang dibentangkan itu adalah kesinambungan kepada kejayaan-kejayaan BN selama lebih daripada 60 tahun mentadbir negara dan perlu dibaca bersama manifesto Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14), belanjawan-belanjawan terdahulu dan juga Rancangan Malaysia ke-11 (RMK11).
 
“Inisiatif ekonomi rakyat adalah dokumen khas untuk 2019 yang perlu dibaca bersama manifesto BN PRU14 dan juga belanjawan-belanjawan terdahulu dan juga RMK11. Sebab ini adalah kesinambungan kejayaan terdahulu sepanjang lebih 60 tahun di bawah BN dan bukan hanya untuk menunjukkan dokumen ini lebih baik dari belanjawan asli tetapi dengan harapan-harapan ada idea yang boleh digunapakai oleh kerajaan hari ini.
 
“Ini antara cadangan-cadangan yang ada dalam dokumen ini. Seperti mana yang saya sebutkan tadi, cadangan-cadangan ini akan diperhalusi dengan lebih mendalam oleh setiap pembahas yang akan berbahas bagi BN bagi sesi belanjawan yang akan datang,” katanya.
 
Antara yang turut dikemukakan di dalam dokumen tersebut adalah mengenai keupayaan BN menjana hasil baharu negara melalui pengenalan beberapa cukai dan inisiatif baharu yang berpotensi memberi pulangan untuk pembangunan negara yang seimbang dan sejahtera.
 
Inisiatif-inisiatif tersebut adalah penstrukturan levi pekerja asing, caj remit, pengenalan semula cukai barang dan perkhidmatan (GST) pada kadar 3 peratus, cukai soda, cukai karbon, cukai beg plastik, cukai kekayaan dan cukai tobin.
 
Selain itu BN turut mencadangkan penstrukturan semula cukai pendapatan individu dengan pengenalan kategori pendapatan RM350,000 ke atas dan RM500,000 ke atas iaitu masing-masing pada kadar 30 peratus dan 32 peratus.
 
Dokumen yang dibentangkan itu turut menekankan kepada segmen urus tadbir dan ketelusan.
 
Antara yang dicadangkan dalam segmen tersebut adalah seperti berikut:
 
Menggubal Akta Dana Politik bagi memantau sumbangan dan perbelanjaan parti-parti politik di Malaysia
 
Pelantikan Ketua Jabatan agensi tertentu menerusi Jawatankuasa Parlimen
 
Meminda Akta Profesion Undang-Undang bagi menjamin dan meningkatkan kualiti pendidikan undang-undang di Malaysia, perkhidmatan firma guaman serta isu-isu lain berkaitan pengamal undang-undang.
 
Menuju ke arah Kerajaan Digital melalui penambahan aplikasi dalam talian demi membasmi rasuah dalam perkhidmatan awam.
 
Melaksanakan Pelan Transformasi PBT bagi meningkatkan kualiti perkhidmatan dan mewujudkan rancangan persekitaran hidup yang kondusif, mampan dan memberikan kesejahteraan kepada rakyat setempat.- 1/11/2018
 
 
PERINGATAN: AgendaDaily tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.
AgendaDaily.com adalah sebuah portal surat khabar elektronik yang menyalurkan maklumat terus ke skrin komputer anda dalam bentuk berita, analisis berita, laporan khas, fokus, komentar, wawancara dan segala macam yang ingin diketahui mengenai berbagai-bagai perkembangan hal ehwal semasa negara dan juga luar negara.

Kami mempunyai 736  tetamu dalam talian