21April2019

Bantahan terhadap ICERD membara...aksi protes usung keranda depan Parlimen

Mana boleh…bantahan terhadap cubaan kerajaan Pakatan Harapan untuk meratifikasi Konvensyen Antarabangsa Mengenai Penghapusan Segala Bentuk Diskriminasi Kaum (ICERD) yang boleh gugat hak istimewa orang bumiputra makin membara.
 
Suasana di depan bangunan Parlimen pagi Rabu gamat dengan protes oleh gabungan NGO Melayu yang disertai sekitar lebih 300 orang termasuk aksi mengusung keranda.
 
Sebilangan pemimpin NGO telah berucap di situ.
 
Mereka juga membawa pelbagai sepanduk menolak ratifikasi konvensyen itu.
 
Satu memorandum bantahan juga diserahkan kepada wakil kerajaan sebagai manifestasi penolakan terhadap komitmen kerajaan mahu meratifikasi konvensyen antarabangsa itu.
 
Menteri Di Jabatan Perdana Menteri P. Waytha Moorthy pada 24 Oktober lalu berkata kerajaan komited untuk meratifikasi enam triti hak asasi manusia termasuk ICERD pada suku pertama 2019 selaras dengan manifesto Pakatan Harapan.
 
Bekas Ketua Hakim Negara, Tun Abdul Hamid Mohamad dalam satu kenyataan Selasa berpendapat langkah meratifikasi atau mengesahkan ICERD akan mengakibatkan berlakunya penghapusan kepada hak istimewa yang dimiliki orang Melayu serta anak-anak negeri Sabah dan Sarawak.
 
 
Beliau mendakwa kerajaan Pakatan Harapan tidak berterus terang berhubung tujuan ratifikasi dilakukan bagi mengelakkan berlakunya bantahan, sebaliknya mereka menuntut Malaysia mengesahkan konvensyen berkenaan.
 
“Apabila Malaysia mengesahkannya, Perkara 153 dan dasar yang bersifat diskriminasi kaum yang telah dipersetujui sebagai balasan kepada persetujuan orang Melayu memberi kerakyatan kepada orang bukan Melayu yang telah termaktub dalam Perlembagaan akan dimansuhkan.
 
“Untuk mengelak bantahan orang Melayu dan kaum bumiputera, mereka mengatakan bahawa pengesahan tidak akan melibatkan peruntukan Perkara 153. Itu tidak betul,” katanya.
 
Abdul Hamid mendakwa, alasan yang diberikan oleh kerajaan untuk memansuhkan Perkara 153 walaupun tidak pernah menyatakannya secara jelas adalah peruntukan tersebut menghalang kepada perpaduan dan pemansuhannya mampu merealisasikan usaha tersebut.
 
“Dalam kata-kata lain, hapuskan keistimewaan orang Melayu serta bumiputera dan berikan mereka hak yang sama, perpaduan akan wujud. Itu adalah hujah yang meleset. Ia adalah helah untuk memansuhkan Perkara 153. Semua pihak perlu sedar,” tegasnya.
 
Sementara itu dipercayai gara gara bantahan yang meluas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad nampak kendur sedikit dalam hal berkenaan.
 
Jawab soalan wartawan selepas satu majlis di Kuala Lumpur mengenai isu berkenaan beliau berkata kerajaan hanya akan meratifikasi ICERD selepas berbincang dengan semua kaum, kata perdana menteri.
 
Katanya beliau telah menyatakan sebelum ini bahawa meratifikasi konvensyen itu bukan tugas mudah kerana Malaysia adalah negara berbilang kaum.
 
"Kita akan tandatangan setelah kita runding dengan semua kaum di Malaysia. Disebut dalam ucapan saya perkara ini bukan mudah bagi Malaysia kerana di Malaysia terdapat pelbagai kaum.
 
"Masing-masing sensitif terhadap perkara-perkara tertentu," katanya.- 31/10/2018
 
 
 
PERINGATAN: AgendaDaily tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.
AgendaDaily.com adalah sebuah portal surat khabar elektronik yang menyalurkan maklumat terus ke skrin komputer anda dalam bentuk berita, analisis berita, laporan khas, fokus, komentar, wawancara dan segala macam yang ingin diketahui mengenai berbagai-bagai perkembangan hal ehwal semasa negara dan juga luar negara.

Kami mempunyai 433  tetamu dalam talian