14Disember2019

Agenda Daily

Bajet Pakatan Harapan tanpa harapan....- Khairy

Angka-angka besar yang diumumkan dalam Bajet 2019 kerajaan Pakatan Harapan (PH), bukan sahaja tidak memberi harapan, bahkan prinsipnya juga tidak memberi harapan.
 
Ia termasuk tiada harapan untuk merancakkan pembangunan, meningkatkan pengagihan kekayaan dan juga untuk menyediakan Malaysia yang kalis masa depan.
 
Sebaliknya menurut ahli Parlimen Rembau, Khairy Jamaluddin, Bajet 2019 yang dibentangkan kerajaan PH itu mempunyai empat prinsip utama iaitu ‘copy-paste’, ‘tukar nama atau rebranding’, ‘kesinambungan atau continuation’ dan ‘terlupa atau tidak lengkap’.
 
“Jika diteliti pembentangan Belanjawan 2019 tempoh hari, adalah disimpulkan bahawa kebanyakan program dan inisiatif yang dilaksanakan oleh Kerajaan PH merupakan kesinambungan daripada pentadbiran Barisan Nasional (BN) sebelum ini.
 
“Bahkan sebahagiannya, hanya dijenamakan semula untuk memadamkan legasi BN yang terbukti cemerlang. Terlalu banyak untuk disebut, it is going to be a long list, namun saya akan menyentuh beberapa perkara.
 
“Pertama, pencapaian Malaysia di dalam Laporan Ease Of Doing Business yang dikeluarkan oleh Bank Dunia bagi tahun 2019 yang telah menyaksikan kedudukan Malaysia melonjak dari tempat ke-24 kepada 15, merupakan penilaian sejak 2 Jun 2017 sehingga 1 Mei 2018.
 
“Ini menzahirkan bukti kejayaan dasar Barisan Nasional dalam memudah cara urusan perniagaan dan pelaburan asing ke Malaysia. Janganlah sampai lembu punya susu, sapi yang dapat nama,” katanya.
 
Bagi Bantuan Sara Hidup (BSH) yang diumumkan pula ujar Khairy, umum sedia maklum bahawa ia adalah penjenamaan semula Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) yang dimulakan oleh BN.
 
Namun begitu malangnya ujar beliau, jumlah yang diberikan telah berkurang di antara RM500 hingga RM1,000 sahaja.
 
“Dan jika sebelum ini pemimpin PH melabelkan BR1M sebagai ‘dedak’, kini BSH pula katanya adalah ‘dedak basah’.
 
“Subsidi untuk menstabilkan harga barangan keperluan asas sejumlah RM150 juta adalah program Kerajaan BN yang diteruskan oleh PH, bukannya sebuah dasar baharu.
 
“Demi kemaslahatan rakyat, BN sentiasa memperuntuk sejumlah peruntukan besar, misalnya RM3.9 bilion pada Bajet 2018 untuk subsidi barangan dan pengangkutan, termasuk gas memasak, tepung, minyak masak, subsidi elektrik dan tol.
 
“Bantuan ini pula disokong oleh program subsidi bersasar iaitu BR1M untuk membantu golongan B40,” katanya ketika membahaskan Bajet 2019 di Dewan Rakyat Isnin.
 
Menurut Khairy lagi, selain itu, program Apprenticeship dan Graduate Enhancement Programme For Employability (GENERATE) juga hanya kesinambungan terhadap program yang telah dilaksanakan dan dirancang oleh kerajaan terdahulu selain daripada Skim Latihan 1Malaysia (SL1M), MyApprenticeship dan MyInternship.
 
“Dana Wibawa TVET RM30 juta yang diumumkan juga bukan sesuatu yang baharu, BN bahkan lebih mengutamakan TVET ini dengan peruntukan jauh lebih besar, sebanyak RM4.9 bilion dalam Bajet 2018.
 
“Cadangan Bootcamp TVET Kebangsaan bagi melahirkan lepasan berkemahiran yang memenuhi kehendak pasaran kerja dalam tempoh yang cepat juga tersisir rapi dalam manifesto BN,” katanya lagi.
 
Selain itu tambah Khairy yang memegang portfolio kewangan kabinet bayangan BN, Skim Insurans Pekerjaan (SIP) juga adalah kesinambungan selepas BN menggubal undang-undang SIP pada 2017.
 
“Pendek kata, banyak penguman Belanjawan 2019 merupakan kesinambungan daripada BN, tidak banyak idea segar yang diberikan, itupun banyak yang dijenamakan semula, kononnya program Kerajaan PH,” katanya.
 
Di dalam perbahasannya, Khairy turut menempelak pemimpin PH yang sebelum memenangi pilihan raya lalu sering melaung-laungkan tentang tax reform kononnya mereka akan memperkenalkan sistem cukai progresif bagi mewujudkan keseimbangan dan pada masa yang sama mengagihkan kutipan tersebut kepada kumpulan rakyat yang memerlukan.
 
Namun begitu ujarnya, selepas PH menang dan menjadi kerajaan, mereka tidak menggunakan peluang ketika pembentangan belanjawan tempoh hari untuk melaksanakan tax reform seperti yang dilaungkan sebelum ini.
 
“Dahulu kamu kritik kami – “Oh dulu waktu kerajaan, BN tak buat”. Sekarang saya bertanya kembali – “Oh sekarang dah Kerajaan, kenapa tak buat? Di mana realiti dan solusi untuk golongan M40 dalam Belanjawan 2019? Ternyata kerajaan Pakatan Harapan hanya manis di bibir pandai bermain lidah,” katanya. –12/11/2018  Oleh AIDIL SYUKRI
 
PERINGATAN: AgendaDaily tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.
AgendaDaily.com adalah sebuah portal surat khabar elektronik yang menyalurkan maklumat terus ke skrin komputer anda dalam bentuk berita, analisis berita, laporan khas, fokus, komentar, wawancara dan segala macam yang ingin diketahui mengenai berbagai-bagai perkembangan hal ehwal semasa negara dan juga luar negara.

Kami mempunyai 349  tetamu dalam talian