20Julai2019

Apa punya mengarut ni…kos kendali Facebook Kementerian Pelancongan RM1.8 juta

Setelah hari pertama yang muram, Suasana di Dewan Rakyat pada Selasa jadi hangat sikit apabila Timbalan Menteri Pelancongan mengumumkan kos bina dan urus enam Facebook  untuk promosi Malaysia bernilai RM1.8 juta!


Timbalan Menteri Pelancongan, Datuk James Dawos Mamit berkata kontrak RM1.8 juta itu ditenderkan kepada syarikat, Impact Creations Sdn Bhd, untuk selama tiga tahun iaitu bermula 2011 hingga 2013.


Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan lisan yang dikemukakan oleh Ahli Parlimen Rasah, Loke Siew Fook dan Ahli Parlimen Tangga Batu, Idris Haron yang mahu kementerian berkenaan menyatakan justifikasi terhadap perbelanjaan RM1.8juta untuk penjenamaan menggunakan media sosial.


Ahli Parlimen Rembau, Khairy Jamaluddin, dalam soalan tambahannya bersetuju dengan Loke bahawa peruntukan RM1.8 juta itu adalah satu pembaziran dan tidak mencerminkan jumlah besar yang dibelanjakan.


Khairy yang ditemui di lobi parlimen selepas itu berkata, jumlah itu tidak masuk akal langsung. “Saya rasa saya ada lebih ramai pengikut dalam Facebook dan Twitter. Timbalan Menteri kata kos RM1.8 juta itu untuk buat rekabentuk dan sebagainya.


“Rekabentuk apa? It’s a template design. Selepas itu dia kata ada flash application dan boleh main game. Buat apa? Saya rasa tak ada siapa nak main game. Kalau dia belanja untuk pengiklanan, saya puji, tapi takkan kos pengiklanan sampai RM1.8 juta!”


Khairy berkata dia tidak berpuashati dengan jawapan Dawos kerana Timbalan itu tidak memberikan butiran perbelanjaan secara terperinci. “Kalau dia tak bagi breakdown, kita pun tak tahu. Kita tolak penjelasannya, terutama mengenai Facebook yang tak masuk akal langsung.


“Apabila saya letak pendapat saya dalam Facebook dan Twitter, saya dapat maklumbalas segera. Semuanya menyokong pendapat saya dan tidak seorangpun yang mempertikaikannya.


“Ini memang pembaziran. Saya rasa sesiapapun boleh buat benda ini. Pegawai kementerian pelancongan pun boleh buat secara percuma. Ataupun kementerian boleh bagi upah kepadamereka untuk buat dalam RM1 ribu atau RM2 ribu sahaja.


“Ini adalah contoh pembaziran yang jelas. Saya harap Menteri Kewangan kawal dan pantau perbelanjaan Kementerian Pelancongan. Ia tak efektif dan mengarut.”


Dalam perkembangan lain Khairy berharap semua bentuk pengiklanan yang dibuat oleh Kementerian Pelancongan haruslah menggambarkan wajah Malaysia dengan menitikberatkan penggunaan bahasa kebangsaan.


“Lihatlah di negara lain seperti Korea dan Tokyo, semua pengiklanan menggunakan bahasa mereka, kecuali di papan arah yang menggunakan bahasa Inggeris,” kata Khairy yang bersetuju bahawa pandangan di Bukit Bintang, terutamanya tidak melambangkan wajah Malaysia. – 14/6/2011.- OLEH NOOR HASILAH ISMAIL


 

PERINGATAN: AgendaDaily tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.
AgendaDaily.com adalah sebuah portal surat khabar elektronik yang menyalurkan maklumat terus ke skrin komputer anda dalam bentuk berita, analisis berita, laporan khas, fokus, komentar, wawancara dan segala macam yang ingin diketahui mengenai berbagai-bagai perkembangan hal ehwal semasa negara dan juga luar negara.

Kami mempunyai 312  tetamu dalam talian