05Julai2020

Agenda Daily

Artikel

Apa sebenarnya Kamilia...jangan ada sokong bawa rebah!

kamiliapc513Ketika ada segelintir pihak termasuk media menjangkakan Datuk Kamilia Ibrahim tidak hadir pada perhimpunan Wanita UMNO bersama Perdana Menteri di PWTC, petang Jumaat, Naib Ketua Wanita itu muncul sekaligus menepis segala spekulasi kononnya beliau sudah terlajak kata apabila meminta Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil melepaskan jawatan ketua
pergerakan itu.

Andai kata beliau tidak hadir tambahan pula sudah dipanggil bersemuka Datuk Seri Najib Tun Razak, Timbalan Presiden UMNO Tan Sri Muhyiddin Yassin, Setiausaha Agung, Datuk Seri Tengku Adnan Mansor malah turut disertai Shahrizat pada sebelah pagi, alamat Kamilia sudah tentu berpatah arang dalam isu tersebut.

Duduk di barisan depan bersama anggota Exco pergerakan tersebut, Kamilia tenang mendengar luahan Ketuanya itu yang terpalit isu NFCorp dan Shahrizat secara sukarela akan melepaskan jawatan menteri Kabinet, 8 April ini.

Jika tidak terkesan apa dituturkan Shahrizat, Kamilia pasti dengan lapang dada mendengar pesanan Najib supaya semua pihak bekerjasama dengan Shahrizat bagi memastikan UMNO dan BN menang dalam pilihan raya umum selain jawatan Ketua dipilih anggota parti.

Sebab itu, Kamilia bukan sahaja muncul di perhimpunan itu, malah ketika sidang media Najib selepas itu, beliau berdiri di belakang Shahrizat bersama barisan Exco.

Beliau juga tidak menolak mengadakan sidang media selepas Najib beredar walaupun tahu, pasti banyak ‘soalan panas’ akan menyusuk telinganya ekoran desakan terhadap Shahrizat tersebut.

Kamilia tenang menjawab soalan tetapi di kalangan beberapa Exco yang bersama beliau nampak macam ada yang tidak kena.

Asalnya macam mereka beria-ia hendak bercakap dengan media sebelum Kamilia bersedia mengadakan sidang berkenaan.

Ramai petugas media melihat ‘pelik’ situasi itu malah satu ketika Kamilia terpaksa menegur  seorang  exco terbabit– meminta beliau yang menjawab soalan dalam erti kata lain- jangan mencelah atau menyibuk.

kamalia2xx

Melihat keadaan itu, pasti wajar ditanya kepada Kamilia...apa sebenarnya Kamilia?

Mungkin ada menyangka saranan Kamilia itu kerana beliau berpendapat jika Shahrizat berundur, maka Kamilia akan jadi pemangku Ketua Wanita UMNO, sekaligus boleh menjamin jawatan menteri.

Namun jangan lupa, Kamilia pernah bersatu ketika pemilihan ketua pergerakan tersebut dengan menyatakan sokongan kepada Shahrizat serta berlawan arus dengan Tun Rafidah Aziz.

Memang, ada masa kawan boleh jadi musuh tetapi Kamilia pasti sudah membaca baik buruk apabila beliau menyatakan gesaan supaya Shahrizat berundur berdasarkan maklumat dari akar umbi.

Bagaimanapun,  melihat gelagat-gelagat beberapa Exco yang lebih ‘sudu dari kuah’ dalam sidang media  Kamilia, timbul persoalan apakah mereka ini main peranan sehingga Kamalia menentang Shahrizat?

Jika betul, Kamilia perlu sedar kerana mungkin ada kumpulan Exco yang ‘sokong bawa rebah’.

Mereka tahu sehebat mana politik Kamilia bersama Rafidah dan Shahrizat.

Bagi mereka Kamalia tidak layak, malah mereka mungkin ada calon lain untuk ditonjolkan selepas Kamilia ‘malu’ dengan apa berlaku sekarang.

Inilah Kamilia perlu sedar kerana ada pemburu pintar gunakan satu peluru tapi dua musuh yang tumbang.

Namun, sikap berani Kamilia berdepan semua ini ketika ada ahli pergerakan Wanita hampir histeria menyatakan sokongan terhadap Shahrizat dan menghentamnya,

Kamilia masih mampu berdepan media dan mengakui sebagai Naib Ketua Wanita, beliau akan meneruskan kepimpinan kepada wanita di semua
peringkat.

Pastinya, ini khabar malang buat pembangkang yang mungkin tidak dapat ‘spin’ cerita bagi menggambarkan Wanita UMNO sudah berpecah.

Wanita UMNO tunjukkan mereka matang berpolitik. Bukannya dengan menarik rambut atau baling kerusi tetapi sinonim dengan warna seragam merah dan putih, wanita UMNO buktikan mereka berani dan ikhlas.

Mereka berani menegur dan ikhlas terima teguran. - 23/3/2012- OLEH ROSLAN BIAN


Wanita UMNO beri Shahrizat 'nafas baru' petang ini

Perhatian hari ini bertumpu ke Dewan Merdeka,Pusat Dagangan Dunia Putra ( PWTC), Kuala Lumpur bila Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak bersemuka dengan perwakilan Wanita UMNO dari seluruh negara pada jam 3.00 petang .

Ini kerana perhimpunan tersebut dijangka akan menjadi medan Wanita UMNO memberi 'nafas baru' menyatakan sokongan tidak berbelah bagi kepada ketua mereka, Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil yang berdepan kontroversi isu  NFC yang melibatkan suaminya. Shahrizat kebelakangan ini ditembak depan belakang oleh pembangkang dalam cubaan mereka untuk mengaitkan beliau dengan isu berkenaan.

Sekalipun secara prinsipnya beliau tidak ada kaitan dengan  kontroversi berkenaan pembangkang nampak ini peluang untuk mencetuskan kekecohan dalam pergerakan itu yang menjadi tulang belakang dalam jentera kempen PRU13 Barisan Nasional.

Hipokrasi pembangkang dalam isu ini amat jelas bila mereka buat bodoh tidak usik langsung kedudukan Datuk Seri Wan Azizah Ismail selaku Presiden PKR pada ketika suaminya Datuk Seri Anwar Ibrahim melalui perbicaraan kes liwat dan sekarang ini masih diselubungi oleh dakwaan skandal video seks.

Shahrizat sebelum ini sudahpun mengumumkan akan melepaskan jawatan Menteri Pembangunan Wanita,Keluarga dan Masyarakat bila tempoh senator beliau tamat pada 8 April ini.

Namun terdapat usaha untuk jolok beliau melepaskan juga jawatan Ketua Wanita UMNO.

Keadaan menjadi agak hangat last minute bila timbalan Shahrizat dalam pergerakan itu, Datuk Kamilia Ibrahim membuat kenyataan terbuka mahu ketuanya melepaskan jawatan.

Kamilia dalam satu temubual dengan akhbar The Star Rabu terang-terangan meminta Shahrizat melepaskan jawatan kerana ‘menyusahkan’ parti.

Tindakan tersebut mengundang reaksi serta-merta ketua-ketua Wanita UMNO negeri yang mempersoalkan motif sebenar Kamilia.

Petang Khamis, Setiausaha Agung UMNO Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor dilaporkan berkata kenyataan Kamilia bersifat peribadi.

Sambil mempertahankan Shahrizat, Ku Nan berkata desakan supaya Shahrizat melepaskan jawatan sebagai Ketua Wanita Umno tidak perlu timbul.

"Beliau dipilih menjadi Ketua Wanita UMNO, jadi kenapa perkara seperti ini (desakan meletak jawatan) perlu timbul," ujarnya.

Beliau turut menjelaskan bahawa isu tersebut sepatutnya tidak timbul kerana keputusan sudah dibuat bahawa Shahrizat akan kekal sebagai Ketua Wanita sehingga penggal berikutnya.

Mengenai perhimpunan Wanita bersama Najib petang Jumaat di PWTC, Ku Nan berkata ia merupakan memperkukuhkan jentera dan persiapan menghadapi pilihanraya umum akan datang.

Sementara itu, Ketua Wanita Pahang, Johor, Sabah, Kedah, Kelantan dan Selangor masing-masing mengadakan sidang media mengatakan sokongan pada Shahrizat dan mempersoalkan kewajaran tindakan Kamilia.

Ketua Wanita Kelantan Datin Rahimah Mahamat dilaporkan berkata Kamilia tidak merasai sentimen akar-umbi apabila membuat kenyataan mahu Shahrizat berundur.

“Jika dia turun, dia akan melihat sebenar mana sokongan yang diterima oleh Shahrizat di peringkat akar umbi. Shahrizat sudah melakukan pengorbanan dengan meletak jawatan sebagai menteri walaupun isu tersebut tiada kaitan dengan kementeriannya,” kata beliau.

"Dekat dengan pilihan raya, Kamilia jangan buat hal. Jangan jejaskan keyakinan (rakyat) terhadap parti... Wanita perlu bekerja kuat untuk menangkan UMNO dan BN," tegas Ketua Wanita Melaka Datuk Rubiyah Ali.

Ketua Wanita UMNO Kedah Datuk Maznah Abdul Hamid pula membidas Kamilia yang katanya, sepatutnya merujuk kepada exco dan ketua wanita negeri terlebih dahulu sebelum mengeluarkan sebarang kenyataan khususnya berkaitan isu NFC.- 23/3/2012 -OLEH HELME HANAFI


Desakan agar Shahrizat lepas jawatan Ketua Wanita UMNO tak perlu timbul-Tengku Adnan

Setiausaha Agung UMNO Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor berkata desakan supaya Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil melepaskan jawatan sebagai Ketua Wanita Umno tidak perlu timbul.

"Beliau dipilih menjadi Ketua Wanita UMNO, jadi kenapa perkara seperti ini (desakan meletak jawatan) perlu timbul," katanya ketika dihubungi Bernama Khamis.

Beliau mengulas kenyataan Naib Ketua Wanita UMNO Datuk Kamilia Ibrahim ( laporan dalam akhbar The Star, Khamis) yang mendesak Shahrizat melepaskan jawatan itu "demi menjaga kredibiliti parti, pergerakan Wanita, Barisan Nasional dan kerajaan".

Tengku Adnan menyifatkan kenyataan Kamilia itu sebagai bersifat peribadi.

"Sepatutnya tidak perlu kenyataan sedemikian kerana perkara itu telah dibincangkan sebelum ini yang mana Datuk Seri Shahrizat akan terus menjadi Ketua Wanita hingga penggal akan datang," katanya.-22/3/2012




Apa cerita pertemuan PM dengan Wanita UMNO Jumaat ini ?

Pertemuan Datuk Seri Najib Tun Razak  dengan wakil Pergerakan Wanita UMNO dari seluruh negara di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) petang Jumaat ini dijangka akan dapat meleraikan beberapa isu mengenai kedudukan Datuk Seri Shahrizat Jalil yang terus menerus cuba dijolok oleh pembangkang. Bercakap dalam sidang akhbar di ibupejabat UMNO Isin untuk mengumumkan mengenai pertemuan penting itu,Setiausaha Agung UMNO Datuk Seri Tengku Adnan Mansor menegaskan pergerakan itu tetap utuh dan mantap sekalipun berdepan dengan serangan itu.

Sidang akhbar itu turut dihadiri oleh Penolong Setiausaha Wanita UMNO Datuk Rosni Sohar dan sebilangan Exco pergerakan itu.

Katanya tindak tanduk itu tidak menghairankan kerana pembangkang sangat berhajat untuk melemahkan pergerakan itu melalui apa cara sekalipun.

Menurut Tengku  Adnan pembangkang kini cuba sedaya upaya cuba mengambarkan apa saja salah UMNO sedangkan mereka sendiri ‘ hampas’.

Beliau menjelaskan semasa pertemuan di Dewan Merdeka PWTC nanti Perdana Menteri bukan sahaja dijangka menyentuh isu Shahrizat tetapi juga memberi penerangan mengenai pelbagai isu politik semasa.

Ditanya mengenai adanya satu dua suara dikalangan ahli pergerakan Wanita sendiri yang dilaporkan meminta Shahrizat letak jawatan Ketua Wanita UMNO,Tengku Adnan kata mereka tidak wajar menari ikut rentak pembangkang.

Beliau meminta seluruh ahli UMNO  berpadu dalam hal ini dan tidak ‘bercakap di luar’.

Setiausaha Agung UMNO itu mengingatkan pada hakikat bahawa Shahrizat cuma isteri kepada Pengerusi NFC sahaja.

Lagipun, Ketua Wanita adalah jawatan yang dipilih menerusi pemilihan dan ini berbeza dengan jawatan menteri dimana beliau dilantik.-19/3/2012 

kunan-wanita2

PERINGATAN: AgendaDaily tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.
AgendaDaily.com adalah sebuah portal surat khabar elektronik yang menyalurkan maklumat terus ke skrin komputer anda dalam bentuk berita, analisis berita, laporan khas, fokus, komentar, wawancara dan segala macam yang ingin diketahui mengenai berbagai-bagai perkembangan hal ehwal semasa negara dan juga luar negara.

Kami mempunyai 410  tetamu dalam talian