25September2020

Agenda Daily

Seorang pengganas yang didakwa pagi tadi buka cerita depan hakim...

ld-tertuduhKEMASKINI Seorang daripada lapan tertuduh yang didakwa menjadi anggota pengganas yang menceroboh Sabah hari ini memberitahu Mahkamah Tinggi di sini bahawa dia disuruh dan diupah oleh seseorang yang tidak dinamakannya.

Hooland Kalbi yang bercakap dalam bahasa Bajau dari kandang tertuduh mendedahkan demikian pada prosiding pendakwaan terhadap lapan individu yang didakwa menjadi anggota kumpulan pengganas, dua daripadanya turut dituduh melancarkan perang terhadap Yang di-Pertuan Agong.

Kenyataan Hooland di hadapan Hakim Ravinthran diterjemah oleh jurubahasa mahkamah.

Hooland turut menyatakan bahawa dia bodoh kerana melakukannya.

Bernama melaporkan sejurus kenyataan Hooland diterjemah, Hakim Ravinthran meminta jurubahasa menjelaskan kepada tertuduh bahawa dia tidak perlu berkata demikian dan segala pengakuan akan dibuat selepas diwakili peguam pada 12 April nanti.

Ketika prosiding pagi ini, Hakim Ravinthran memberi peluang kepada setiap tertuduh untuk memberitahu mahkamah berhubung pertuduhan ke atas mereka dan jurubahasa perlu menjelaskan beban hukuman bagi setiap kesalahan.

Tertuduh juga diterangkan tentang pembelaan mereka yang perlu diwakili peguam kerana tuduhan ke atas mereka membabitkan hukuman berat iaitu gantung dan penjara seumur hidup, jika sabit kesalahan.

Lapan warga Filipina didakwa di Mahkamah Tinggi Tawau hari ini dan dua daripadanya bakal berdepan hukuman mati kerana dituduh melancarkan perang terhadap Yang di-Pertuan Agong.

Dua tertuduh itu bersama empat yang lain turut didakwa menjadi anggota kumpulan pengganas manakala dua lagi didakwa cuba melindungi pengganas.

Ini merupakan kali kedua tuduhan melancarkan perang terhadap Yang di-Pertuan Agung dikenakan di negara ini selepas insiden kumpulan pemberontak Al Maunah di Bukit Jenalik Sauk, Perak pada tahun 2000.

Sementara itu Timhar Hadir, yang juga didakwa atas kesalahan sama (menjadi anggota pengganas) memberitahu bahawa dia datang ke Malaysia pada Febuari lepas menggunakan pasport antarabangsa.

Bagaimanapun Hakim Ravinthran meminta dia tidak menyatakan selanjutnya sebelum berbincang dengan pihak peguam.

Seorang lagi tertuduh yang menghadapi tuduhan sama, Habil Suhaili merupakan tertuduh yang mengambil masa agak lama untuk memahami pertuduhan.

Dia yang kelihatan berusia lebih daripada 60 tahun tidak dipakaikan 'straight jacket' seperti tertuduh lain dan jurubahasa membacakan pertuduhan berulang kali dalam bahasa Suluk.

Habil sempat menyatakan bahawa dia tidak melakukannya namun hakim menjelaskan pengakuan itu tidak akan direkod.

Tertuduh pertama Atik Hussin Abu Bakar yang didakwa atas tuduhan melancarkan perang dan menjadi anggota pengganas hanya memohon penjelasan hukuman yang akan dihadapinya.

Atik Hussin yang berbahasa Bajau kelihatan bersahaja seperti tertuduh lain.

Empat tertuduh lagi, Lin Mad Salleh, Basad Manuel, Kadir Uyung dan Lating Tiong hanya menyatakan 'nothing to say' (tiada apa yang hendak dicakapkan).

Basad menghadapi dua pertuduhan yang sama seperti Atik Hussin manakala Lin hanya didakwa menjadi anggota pengganas dan Kadir serta Lating menghadapi tuduhan melindungi kumpulan pengganas.

Kesemua terduduh hanya menundukkan kepala ketika berada di kerusi sebelum dibawa ke kandang tertuduh untuk dibaca pertuduhan.

Kesemua mereka tidak dibenarkan jamin.

Sementara itu, wartawan dan jurugambar yang membuat liputan di Mahkamah Tinggi Tawau hari ini dikawal ketat oleh anggota polis lengkap bersenjata dan hanya seorang wartawan daripada setiap organisasi yang dibenar masuk.

Kesemua wartawan yang dibenar memasuki mahkamah pada pukul 9 pagi hanya dibolehkan membawa buku nota dan pen manakala semua alat komunikasi dan peralatan lain tidak dibenarkan.

Tiada wartawan asing hadir membuat liputan prosiding hari ini.

Lapan tertuduh yang ditutup bahagian kepala dibawa menaiki lori polis kira-kira 10.10 pagi.-21/3/2013


Peguam Negara ketuai pasukan pendakwaan kes lapan pengganas

Ini bukan kes main-main, tidak hairanlah, Peguam Negara, Tan Sri Abdul Gani Patail mengetuai pasukan pendakwaan bagi menggendalikan kes terhadap lapan pengganas Kiram yang dituduh melancarkan perang terhadap Yang Dipertuan Agong.

Semua yang didakwa semalam di Mahkamah Majistret Lahad Datu dan kes mereka disebut semula di Mahkamah Tinggi Tawau pagi tadi.

Mahkamah menetapkan 12 April untuk sebutan bagi mengetahui perkembangan perbincangan peguam negara untuk melantik peguam bagi tertuduh, sama ada dilantik oleh Majlis Peguam, kerajaan Filipina ataupun tertuduh sendiri.

Sebelum itu, Abdul Gani Patail tiba di Mahkamah Tinggi Tawau, menggendalikan kes tersebut. Beliau  dibantu Ketua Bahagian Perbicaraan dan Rayuan Datuk Nordin Hassan dan Timbalan Pendakwa Raya Mohd Dusuki Mokhtar, kedua-duanya dari Pejabat Peguam Negara, Putrajaya

Kesemua mereka didakwa melakukan keganasan dan melancar perang ke atas Yang di-Pertuan Agong yang didakwa di Mahkamah Majistret Lahad Datu semalam dipindahkan ke Mahkamah Tinggi Tawau pagi ini.

Pertuduhan dibacakan kepada seorang demi seorang dalam bahasa Bajau, Filipina dan Suluk oleh jurubahasa mahkamah di depan Hakim P Ravindran.

Masing-masing suspek yang diarahkan memakai jaket khas (straight jacket) diiringi ke kandang tertuduh untuk dibacakan pertuduhan.

Pertuduhan dibacakan kepada mereka, namun pengakuan masih belum direkodkan bagi menunggu kesemua tertuduh diwakili peguam.

Kesemua tertuduh tidak dibenarkan jaminan kerana pertuduhan ke atas mereka termasuk dalam kesalahan yang tidak boleh dijamin.

Tertuduh, Atib Husin Abu Bakar dan Basad H Manuel didakwa atas pertuduhan di bawah seksyen 121 (lancar perang) dan 130KA (jadi pengganas) kanun keseksaan .

Bagi tertuduh, Kadir Uyung dan Lating Tiong, mereka didakwa di bawah Seksyen 130(2)(k) kerana membantu serta memberikan perlindungan kepada pengganas.

Empat tertuduh lain iaitu Habil Suhaili, Tinhar Hadir, Holan Kalbi dan Lin Mat Salleh didakwa di bawah Seksyen 130 KA (ahli kumpulan pengganas).

Kesemua lapan tertuduh sebelum ini ditahan pasukan keselamatan di bawah Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (SOSMA) mengikut sosma dan pertuduhan mengikut kanun keseksaan.

Sementara itu,  Abdul Gani Patail memberitahu Hakim P Ravindran bahawa pihaknya akan memastikan supaya tertuduh diberi hak untuk diwakili peguam selaras dengan kehendak hak asasi manusia dan semangat kerjasama antara negara ASEAN..-21/3/20913 *gambarfail


8 suspek rakyat Filipina didakwa lancar perang terhadap Yang di-Pertuan Agong

Lapan lelaki suspek pengganas dari selatan Filipina Rabu didakwa di Mahkamah Majistret yang bersidang khas di Ibu Pejabat Polis Daerah Lahad Datu di Lahad Datu atas tuduhan keganasan dan melancarkan perang terhadap Yang di-Pertuan Agong.

Kesemua lelaki itu yang berusia lingkungan 17 hinggga 66 tahun, didakwa mengikut Seksyen 130KA Kanun Keseksaan kerana melancarkan keganasan, yang membawa hukuman penjara seumur hidup, dan Seksyen 121 kanun yang sama kerana melancarkan peperangan terhadap Yang di-Pertuan Agong yang membawa hukuman mati jika sabit kesalahan.

Tiada pengakuan direkodkan di hadapan Hakim Mahkamah Sesyen Amelati Parnell, yang bersidang sebagai Majistret.
 
Brnama melaporkan pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Mohd. Dusuki Mokhtar dan Timbalan Ketua Bahagian Pendakwaan (Polisi), Datuk Nordin Ahmad, kedua-duanya daripada Pejabat Peguam Negara, Putrajaya.

Mohd. Dusuki memberitahu pemberita, kes itu diperintahkan dipindahkan ke Mahkamah Tinggi Tawau.

Katanya, kesemua mereka disiasat mengikut Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012.

Yang turut hadir, Peguam Negara, Tan Sri Abdul Gani Patail.-20/3/2012

PERINGATAN: AgendaDaily tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.
AgendaDaily.com adalah sebuah portal surat khabar elektronik yang menyalurkan maklumat terus ke skrin komputer anda dalam bentuk berita, analisis berita, laporan khas, fokus, komentar, wawancara dan segala macam yang ingin diketahui mengenai berbagai-bagai perkembangan hal ehwal semasa negara dan juga luar negara.

Kami mempunyai 365  tetamu dalam talian