20April2019

48 Ahli Parlimen UMNO tidak goyang…Zahid yakin semua kekal dalam parti

Kalau nak dengar spekulasi dan cerita kedai kopi yang disebar bunyi macam UMNO sudah nyawa ikan.Ini termasuk dakwaan konon ada lagi Ahli Parlimen UMNO yang akan keluar parti.Juga konon ada Ketua UMNO Bahagian yang akan turut serta segala macam.
 
Betulkah begitu?
 
Sebaliknya tengok sendiri suasana mesyuarat Majlis Tertinggi UMNO yang diadakan di ibupejabat parti di PWTC petang Jumaat.
 
Tiada gambaran UMNO berada dalam keadaan kelam kabut dan gawat.
 
Semua ahli badan tertinggi parti itu termasuk Presiden Datuk Seri Dr Zahid Hamidi dan timbalan Datuk Seri Mohamad Hassan nampak relaks dan steady sahaja.
 
Bercakap dalam sidang akhbar selepas mesyuarat berkenaan,Zahid antara lain telah mematikan spekulasi konon ramai lagi Ahli Parlimen UMNO nak lompat parti.
 
Katanya beliau yakin semua Ahli Parlimen UMNO yang kini tinggal 48 orang akan kekal dalam parti.
 
“Aset utama kita adalah ahli-ahli Parlimen dan kita harus memperkukuhkan perpaduan di kalangan kita. Kita yakin keseluruhan 48 ahli-ahli Parlimen tetap bersama-sama dengan kita dan sebarang keputusan dibuat secara bersama. 
 
“Mereka tidak mahu meninggalkan UMNO dan mahu terus bersama sebagai ahli Parlimen UMNO,” tegasnya.
 
Beliau menyentuh soal itu ketika ditanya mengenai respon ahli akar UMNO pada kepimpinannya semasa siri jelajah ke negeri negeri yang diadakan setakat ini.
 
Zahid memberitahu dari siri jelajah itu jelas ahli-ahli UMNO mahukan parti kembali kukuh.
 
 
“Rakan-rakan saya Timbalan Presiden, Naib-naib Presiden, Setiausaha Agung, Ketua Penerangan berserta pergerakan sayap-sayap melihat sendiri bahawa di bawah mahu UMNO terus kuat, mahu UMNO memperkukuhkan dirinya sebagai sebahagian daripada gagasan pembangkang.
 
“Tidak perlu untuk kita mengetuk pintu atau pintu kita diketuk bagi mengadakan sebarang bentuk perbincangan dan sebagainya. Kita harus bergerak sebagai sebuah parti yang kuat dan kita harus bersama-sama,”katanya.
 
Pada sidang akhbar itu Zahid juga menjelaskan kenyataan Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia minta beliau bercuti hingga kes mahkamah selesai cuma satu cadangan untuk dipertimbangkan.
 
Katanya perkara itu tidak dibangkitkan oleh mana-mana ahli MT termasuk daripada Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki yang sebelum ini telah membuat gesaan tersebut.
 
 “Tiada perbincangan..ada pandangan (dan) kita raikan pandangan. Tetapi tiada seorangpun dari Majlis Tertinggi termasuk daripada Pemuda yang minta saya bercuti,” katanya.
 
Dalam pada itu Zahid menegaskan UMNO harus bergerak ke hadapan dengan memperkukuhkan perjalanan parti.
 
Katanya, perbezaan-perbezaan pendapat yang diraikan diletakkan titik noktah dan ahli-ahli UMNO harus bersama-sama untuk menterjemahkan kepemimpinan parti disemua peringkat.
 
“Kita harus bersama-sama untuk menterjemahkan kepemimpinan UMNO disemua peringkat dan menolak sebarang usaha-usaha untuk memecahkan parti dari luar atau dari dalam,” katanya.
 
Yang paling penting katanya, jelajah UMNO yang dilakukan bermula di Terengganu, diikuti dengan Perlis, Kedah, Pulau Pinang dan Negeri Sembilan akan diteruskan.
 
“Ini adalah bagi memberikan penjelasan mengenai hala tuju UMNO dan bagaimana kita bergerak sebagai sebuah gagasan pembangkang yang efektif dan konstruktif bersama-sama dengan rakan-rakan parti pembangkang yang lain.”
 
Mengenai kes Tan Sri Musa Aman,beliau bertitahu MT UMNO sokong keputusan bekas Ketua Menteri Sabah itu untuk membuat rayuan terhadap keputusan yang dibuat Mahkamah Tinggi Kota Kinabalu semalam berkenaan kedudukannya.
 
“Kita harap kepimpinan dan ahli UMNO Sabah akan kekal bersama di dalam sebuah pasukan UMNO yang kuat dan kita terus menyokong sebarang tindakan perundangan dan juga tindakan politik oleh UMNO Sabah,” katanya.- 9/11/2018
 
 
PERINGATAN: AgendaDaily tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.
AgendaDaily.com adalah sebuah portal surat khabar elektronik yang menyalurkan maklumat terus ke skrin komputer anda dalam bentuk berita, analisis berita, laporan khas, fokus, komentar, wawancara dan segala macam yang ingin diketahui mengenai berbagai-bagai perkembangan hal ehwal semasa negara dan juga luar negara.

Kami mempunyai 725  tetamu dalam talian