29November2020

Agenda Daily

17 dan 18 Sept ini rayuan kes liwat Anwar

anwar-saiful-terbaru513Setelah tertangguh pada 22 Julai lalu,Mahkamah Rayuan di Putrajaya Khamis tetapkan 17 dan 18 September ini prosiding untuk dengar rayuan pihak pendakwaan terhadap keputusan bebaskan Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam kes liwat Saiful Bukhari Azlan.

Pada hari sama mahkamah juga akan dengar permohonan Anwar untuk gugurkan Muhammad Shafee Abdullah yang dilantik oleh pejabat Peguam Negara sebagai ketua team pendakwaan kes rayuan berkenaan.

Sepatutnya kes rayuan ini bermula pada 22 Julai lalu tetapi terpaksa ditangguhkan bila peguam utamanya,Karpal Singh sakit dan dimasukan ke hospital kerana sakit belakang.

Keputusan menetapkan tarikh berkenaan dibuat oleh Timbalan Pendaftar Mahkamah Rayuan, Darmafikri Abu Adam Khamis semasa pengurusan kes itu disebut di hadapannya.

Peguam Anwar, Sangeet Kaur Deo yang ditemui wartawan mengesahkan pihaknya akan memfailkan permohonan untuk membatalkan pelantikan Muhammad Shafee.

Namun Muhammad Shafee yang ditemui pula kata beliau tidak tahu samaada terdapat alasan mubasabah mereka hendak berbuat demikian.

Apapun katanya beliau akan memfailkan jawapan sebaik mereka failkan permohonan untuk gugurkannya.

Semasa prosiding yang ditangguhkan pada 22 Julai lalu pasukan peguam Anwar mempertikaikan lantikan Muhammad Shafee atas alasan ia mungkin tidak sesuai mewakili pihak pendakwa kerana pernah dilantik mewakili UMNO dalam beberapa kes mahkamah sebelum ini.

Anwar dibebaskan dan dilepaskan dari kes liwat Saiful pada Januari 2012- 1/8/2013




Shafee ketuai pasukan pendakwa dalam rayuan terhadap pembebasan Anwar


Peguam kanan Datuk Seri Muhammad Shafee Abdullah telah dilantik oleh Peguam Negara sebagai pendakwa untuk mengetuai pasukan pendakwa dalam rayuan terhadap pembebasan Datuk Seri Anwar Ibrahim daripada pertuduhan liwat.
Read More

Muhammad Shafee memaklumkan panel tiga hakim Mahkamah Rayuan hari ini bahawa beliau telah dilantik untuk bertindak sebagai pendakwa dalam rayuan, secara "fiat" mengikut Seksyen 376 (3) Kanun Prosedur Jenayah (CPC).

Selepas prosiding berakhir, Muhammad Shafee memberitahu pemberita surat pelantikannya ditandatangani Peguam Negara bertarikh 2 Julai tahun ini dan beliau menerima surat itu pada 11 Julai lepas.

Bernama melaporkan rayuan itu dijadual untuk pendengaran hari ini dan esok tetapi panel Mahkamah Rayuan dipengerusikan Hakim Datuk Ramly Ali menanggguhkannya dan menetapkan 1 Ogos untuk pengurusan kes bagi menetapkan tarikh pendengaran selepas peguam Ram Karpal Singh memaklumkan mahkamah peguam utama pasukan pembelaan Karpal Singh sedang dirawat di hospital.

Hakim Ramly bersidang bersama-sama Hakim Datuk Tengku Maimun Tuan Mat dan Hakim Datuk Mohd Zawawi Salleh.

Ram Karpal sebelum itu memohon kepada mahkamah untuk menangguhkan rayuan itu kerana Karpal Singh telah dimasukkan ke wad Ortopedik dan Traumatologi Hospital Kuala Lumpur pada Sabtu.

Beliau turut menyerahkan kepada mahkamah salinan surat pengesahan Karpal Singh, 73, dimasukkan ke hospital bagi rawatan sakit belakang.

Sementara itu, Ram Karpal memaklumkan mahkamah pihak pembelaan membantah pelantikan Muhammad Shafee sebagai pendakwa tetapi Hakim Ramly meminta beliau mengemukakan perkara itu pada tarikh pendengaran akan datang.

Ram Karpal kemudiannya memberitahu pemberita pihak pembelaan membantah atas alasan ia mungkin tidak sesuai bagi beliau (Muhammad Shafee) mewakili pihak pendakwa kerana kes Anwar bermotifkan politik dan beliau (Muhammad Shafee) pernah dilantik mewakili Umno dalam beberapa kes mahkamah sebelum ini.

Muhammad Shafee berkata berikutan keadaan kesihatan Karpal Singh, adalah tidak beretika untuknya membantah permohonan penangguhan itu.

Beliau bagaimanapun memohon mahkamah menetapkan tarikh baharu bagi pendengaran secepat mungkin kerana menurutnya beliau telah membaca 25 jilid rekod rayuan dan mahukannya segar dalam ingatannya.

Pihak pendakwa merayu terhadap keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 9 Jan tahun lepas yang melepaskan dan membebaskan Anwar, 64, daripada pertuduhan meliwat bekas pembantunya Mohd Saiful Bukhari Azlan, 26, di unit kondominium Desa Damansara di Bukit Damansara antara 3.10 petang dan 4.30 petang, 26 Jun 2008.

Hakim Mahkamah Tinggi Datuk Mohamad Zabidin Mohd Diah memutuskan berlaku penetrasi zakar tetapi tidak disokong bukti lain.

Beliau berkata mahkamah tidak boleh 100 peratus pasti mengenai kewibawaan sampel diambil untuk ujian DNA daripada Mohd Saiful kerana sampel itu mungkin telah diganggu sebelum sampai ke Jabatan Kimia untuk analisis.

Di luar mahkamah, Muhammad Shafee berkata pada ketika ini, pelantikan beliau hanya untuk rayuan itu di Mahkamah Rayuan.

Beliau berkata Peguam Negara melantik beliau sebagai Timbalan Pendakwa Raya mengikut Seksyen 376 (3) CPC dan secara teknikal beliau di bawah penggajian Peguam Negara secara ad hoc.

"Saya telah dibayar tetapi saya tidak akan dedahkan jumlahnya. Ia amaun yang amat kecil untuk memastikan kontrak ini sah," katanya.

"Pada amnya ia tidak membabitkan konflik kepentingan, ia tidak masuk akal.

Ia hanya berupa konflik kepentingan jika diandaikan, saya pernah mewakili Datuk Seri Anwar sebelum ini dalam kes yang ada kaitan dengan kes ini. Itu sebenarnya baru lah ada konflik kepentingan, sebaliknya tidak wujud konflik kepentingan," katanya.

Muhammad Shafee berkata ini bukan pertama kali peguam persendirian dilantik secara 'fiat', dan menurutnya peguam Tan Hock Chuan pernah dilantik untuk mewakili pihak pendakwa dalam inkues Teoh Beng Hock.

Anwar memberitahu pemberita beliau membantah pelantikan Muhammad Shafee kerana ia jelas prejudis dan boleh menimbulkan fitnah terhadapnya.-22/7/2013


Rayuan kes liwat Anwar tangguh...

Rayuan pembebasan Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam kes liwat Saiful Bukhari Azlan yang sepatutnya bermula di Mahkamah Rayuan di Putrajaya pagi Isnin ditangguhkan.

Ini kerana peguam utamanya,Karpal Singh sakit dan dimasukan ke hospital kerana sakit belakang.

Keputusan berkenaan dibuat oleh penal tiga hakim Ramly Ali, Tengku Maimun Tuan Mat dan Mohd Zawawi Salleh.

Mahkamah telah menetapkan 1 Ogos untuk pengurusan kes.Pada waktu itu nanti  akan ditetapkan tarikh baru kes.

Sementara itu peguam terkenal Datuk Mumammad Shafee Abdullah telah dilantik sebagai ketua team pendakwa dalam kes ini.

Pasukan peguam Anwar cuba membantah.Namun hakim suruh mereka bangkitkan masa prosiding nanti.

Anwar hadir di mahkamah.Beliau tiba dengan isteri  Datuk Seri Wan Azizah Ismail pada jam 9.04 pagi.-22/7/2013- OLEH NOOR HASILAH ISMAIL.

PERINGATAN: AgendaDaily tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.
AgendaDaily.com adalah sebuah portal surat khabar elektronik yang menyalurkan maklumat terus ke skrin komputer anda dalam bentuk berita, analisis berita, laporan khas, fokus, komentar, wawancara dan segala macam yang ingin diketahui mengenai berbagai-bagai perkembangan hal ehwal semasa negara dan juga luar negara.

Kami mempunyai 346  tetamu dalam talian