08Disember2019

Agenda Daily

RTM akan siarkan visual pencarian dasar laut MH370 di Lautan Hindi

Dua wartawan Radio Televisyen Malaysia (RTM) akan membuat liputan siasatan di dasar laut untuk mencari pesawat Malaysia Airlines (MAS) Penerbangan MH370 yang hilang, di sebuah kawasan terpencil di Lautan Hindi, 3,000 km dari Perth.

Wartawan kanan RTM Awaludin Abdul Ghani, 51, dan jurukamera Abdul Halim Mohd Yusof, 44, akan menaiki kapal, GO Phoenix, yang dilengkapi dengan kenderaan sonar ditunda Pro Synthetic Aperture Sonar atau Prosas, untuk memberikan liputan berita selama 30 hari.

Bernama melaporkan Ketua Pegawai Eksekutif Pertahanan dan Penerbangan DEFTECH DRB-HICOM Defence Technologies Sdn Bhd, Amril Samsudin berkata kapal sepanjang 90 meter itu akan bertolak dari pelabuhan Freemantle untuk operasi Khamis ini.

Prosas, kenderaan pengesan yang canggih itu, yang dilekatkan kepada kapal itu dengan kabel tunda, diprogramkan untuk mengesan bahagian terbesar pesawat mungkin dalam satu bahagian seperti enjin dan fiuslaj.

Kapal itu akan menyertai operasi mencari dengan kapal Fugro Discovery dan Fugro Equator yang disewa kontrak oleh Malaysia-Australia.

Penerbangan MH370, yang membawa 227 penumpang dan 12 anak kapal berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa KL pada 12.41 pagi pada 8 Mac dan hilang daripada imbasan radar kira-kira sejam kemudian ketika merentasi Laut China Selatan.

Ia sepatutnya tiba di Beijing pada 6.30 pagi hari sama.

Bagaimanapun, pesawat Boeing 777 itu masih belum ditemui, walaupun selepas usaha mencari secara besar-besaran melibatkan pelbagai negara dilancarkan di selatan Lautan Hindi di mana pesawat itu dipercayai berakhir selepas tersasar dari laluan asal.

Usaha mencari pesawat itu masih dijalankan tanpa sebarang bukti kukuh ditemui setakat ini.

Awaludin berkata beliau secara sukarela menawarkan diri untuk membuat liputan berita dan laporan dokumentari memandangkan beliau sedar ia merupakan peluang 'sekali dalam seumur hidup' untuk melaporkan mengenai kehilangan misteri pesawat itu.

"Ia merupakan pengalaman yang jarang sekali diperoleh dan saya amat teruja untuk berkongsi berita itu dengan rakyat Malaysia," kata bapa kepada empat orang anak itu.

Sementara itu, rakannya Abdul Halim, yang berpengalaman selama 20 tahun sebagai ahli videografi dengan RTM, berkata ini merupakan kali pertama beliau membuat dokumentari di laut lepas.

"Dengan ombak yang tinggi dan dengan keadaan kapal yang sentiasa terumbang ambing, ia akan menjadi satu tugas yang mencabar buat saya untuk merakamkan gambar bersejarah berhubung usaha Malaysia mencari pesawat yang hilang ini.

"Biasanya, saya terlibat dalam liputan berita sukan. Namun saya bersedia untuk tugasan ini," kata bapa kepada tiga orang anak itu.

Kedua-duanya telah merangka program dan aktiviti semasa tempoh usaha mencari ini memandangkan mereka memerlukan sesuatu untuk dilakukan dalam kawasan yang terhad tanpa daratan dan hanya pemandangan laut yang tidak bertepi.-21/10/2014

PERINGATAN: AgendaDaily tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.
AgendaDaily.com adalah sebuah portal surat khabar elektronik yang menyalurkan maklumat terus ke skrin komputer anda dalam bentuk berita, analisis berita, laporan khas, fokus, komentar, wawancara dan segala macam yang ingin diketahui mengenai berbagai-bagai perkembangan hal ehwal semasa negara dan juga luar negara.

Kami mempunyai 362  tetamu dalam talian