17Januari2021

Agenda Daily

Raja Nazrin hiba dan sebak tragedi kehilangan MH370

rajanazrin-dunxxSelain rakyat jelata serta masyarakat antarabangsa, pihak Istana Perak juga turut merasa hiba dengan trajedi yang menimpa pesawat malang MH370 kira-kira tiga minggu lalu.

Ini digambarkan Pemangku Raja Perak Raja Dr.Nazrin Shah ketika menyentoh isu ini dalam ucapannya semasa merasmikan mesyuarat pertama, Penggal ke2, DUN Perak ke13 di Bangunan Perak darul ridzwan, Ipoh pada hari Isnin.

Sebaik selesai menyampaikan ucapan, Raja Dr.Nazrin mengetuai majlis bertafakkur selama seminit. Terdahulu baginda menggunakan beberapa rangkap ayat dan perkataan bagi menggambarkan betapa sedihnya baginda mengenai trajedi berkenaan.

Ianya dapat dilihat melalui gambaran mengenai nasib yang menimpa keluarga penumpang dan anak-anak kapal MH370 itu yang mana baginda mengguna pakai rangkap ayat seperti ”meluluh hati”, dan “berat untuk diterima”, serta amat “menyayat hati . . . . dan mendung kedukaan.”

Ayat-ayat ini saja sudah cukup meruntun hati mereka yang berada didalam dewan pada hari pertama persidangan.

Di hujung ucapan hampir sejam, Raja Dr.Nazrin berdoa agar Allah meringankan penanggungan yang menimpa keluarga dan anak-anak kapal MH370. Untuk rekod,150 adalah terdiri dari warga China manakala bakinya rakyat Malaysia dan lain-lain.

Dewan pada satu ketika menjadi sunyi apabila dipertengahan ucapan, seolah-olah gagal menahan kesedihan, baginda memperlihatkan kehibaan dengan terpaksa menahan suara sebak, berhenti sekejap sebelum meneruskan semula ucapan.

Menteri Besar Dato Seri Dr.Zambry Abd Kadir kelihatan tunduk manakala ramai wakil-wakil rakyat seolah-olah ikut berkongsi kesedihan.

Bagi mereka yang tidak hadir dalam sidang DUN elok kita perturunkan secara komprehensif ucapan baginda khusus mengenai segmen kehilangan pesawat MH370 yang diulas baginda itu.

rajanazrin-dun2xx

Baginda bertitah:“ Pada pagi Sabtu, 8 Mac 2014, negara digemparkan berita kehilangan pesawat (Boeing 777-200ER); MH 370 milik Malaysian Airline System (MAS), dalam penerbangan dari Kuala Lumpur menuju Beijing”

“ Pesawat tersebut membawa dua belas (12) anak kapal dan dua ratus dua puluh tujuh (227) penumpang terdiri daripada empat belas warga negara.

Operasi mengesan pesawat yang hilang, tidak ada contoh duluannya (precedent); memperlihatkan berlakunya kerjasama di kalangan dua puluh enam (26) negara, menggunakan instrumen peperangan bagi tujuan murni keamanan.

“Langit negara diselubungi mendung kedukaan sejak berlakunya tragedi malang MH370. Pahit penantian tentunya lebih dirasai oleh anggota keluarga dan sanak saudara kepada dua ratus tiga puluh sembilan anak kapal dan penumpang.

“Mereka terus berdoa – mereka terus meletakkan harapan; kita juga sama berdoa – kita juga meletakkan harapan agar operasi mengesan pesawat yang hilang menemui kejayaan.

“Manusia dianjurkan berusaha; ALLAH juga penentu kepada segalanya. Dalam sidang akhbar pada malam 24 Mac 2014, Yang Amat Berhormat Perdana Menteri mengumumkan rumusan daripada pelbagai analisis yang dilakukan; bahawa pesawat MH370 dipercayai berakhir di Lautan Hindi.

“Yang Amat Berhormat Perdana Menteri selanjutnya membentangkan usul khas berkaitan tragedi MH370 di Dewan Rakyat pada 25 Mac 2014. Ia pengumuman yang amat berat untuk diucapkan oleh lidah; ia pengumuman yang lebih berat untuk dapat diterima oleh gendang telinga para anggota keluarga dan sanak saudara.

“Ia pengumuman yang amat meluluhkan hati - menghiris perasaan. Atas tanda simpati, atas rasa sama-sama berdukacita dan hiba dengan pengumuman sedih tersebut, Beta telah menitahkan untuk bendera di negeri Perak Darul Ridzuan dikibarkan separuh tiang pada 26 Mac 2014.

“MH370, tragedi amat menyayat hati; diselubungi pelbagai misteri. YA ALLAH,Tuhan yang Maha Mengetahui, makbulkan doa kami – jayakan operasi kami, agar terungkai kekusutan yang sedang kami hadapi; semoga terhenti segala spekulasi.

“Dewan Undangan Negeri Perak Darul Ridzuan yang bersidang kali ini,merakamkan penghargaan kepada segala usaha yang sedang dirintis oleh Kerajaan Persekutuan dengan pelbagai negara dan pelbagai pihak. Dewan Undangan Negeri yang bersidang pagi ini, merakamkan rasa simpati, hiba dan dukacita kepada keluarga anak kapal dan para penumpang pesawat MH370.

“ Ya ALLAH, Engkau ringankan tanggungan kepiluan mereka, Engkau anugerahkan mereka kekuatan menghadapi dugaan berat Mu ini, Engkau kurniakan sebaik-baik ganti kepada apa yang telah Engkau ambil kembali.

Sebagai tanda simpati kita kepada mereka, marilah kita berdiri tanda menghormati, sambil bertafakur selama satu minit, memohon sebaik-baik doa dari Yang Maha Mencipta,”titah baginda lagi.- 31/3/2014 OLEH YUSOF HARUN

PERINGATAN: AgendaDaily tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.
AgendaDaily.com adalah sebuah portal surat khabar elektronik yang menyalurkan maklumat terus ke skrin komputer anda dalam bentuk berita, analisis berita, laporan khas, fokus, komentar, wawancara dan segala macam yang ingin diketahui mengenai berbagai-bagai perkembangan hal ehwal semasa negara dan juga luar negara.

Kami mempunyai 508  tetamu dalam talian