08Disember2019

Agenda Daily

PM menulis mengenai MH370 di Wall Street Journal

mh-najibumum513Dunia... terutamanya industri penerbangan perlu belajar daripada insiden kehilangan pesawat Penerbangan Malaysia (MAS) MH370, kata Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.

Dalam tulisan bertajuk Malaysia dan Pengajaran yang Diperoleh dengan Kehilangan Pesawat yang disiarkan akhbar perniagaan Wall Street Journal pada Rabu, Najib berkata bahawa beliau percaya walaupun negara berhadapan dengan pelbagai kritikan mengenai pencarian pesawat yang hilang, namun Malaysia telah menunjukkan negara ini telah melakukan yang terbaik dalam keadaan yang hampir mustahil dan tidak pernah berlaku sebelum ini.

"Ini bukan satu pencapaian yang kecil untuk sebuah negara bersaiz Malaysia, kami menangani sensitiviti diplomatik dan tentera, serta membawa 26 negara yang berbeza bersama-sama untuk menjalankan salah satu operasi mencari yang terbesar di dunia.

"Tetapi bukan semua keputusan yang kita ambil adalah betul. Dalam beberapa hari pertama selepas pesawat hilang , kita begitu memberi tumpuan kepada cubaan untuk mencari pesawat sehingga lupa untuk memberikan keutamaan kepada komunikasi ,"

Najib juga mengakui hakikat bahawa terdapat kekeliruan yang besar terutamanya apabila pesawat didapati  hilang serta-merta di ruangan udara dan  kawalan trafik udara dua negara dan ianya mengambil pengawal trafik udara empat jam untuk melancarkan operasi mencari dan menyelamat dan kelewatan ini perlu disiasat dengan terperinci.

"Kita juga akan terus melaksanakan penyiasatan bebas supaya kita boleh belajar daripada sebarang kesilapan.

"Kita telah memperketatkan keselamatan lapangan terbang, dan penyiasat mencari langkah-langkah lain untuk meningkatkan keselamatan," katanya.

Najib berkata, terdapat banyak pengajaran yang boleh dipelajari dari kejadian itu oleh pihak lain, termasuk industri penerbangan global.

"Salah satu perkara yang paling menakjubkan mengenai tragedi ini adalah pesawat bersaiz Boeing 777 boleh hilang, hampir tanpa dapat dikesan.

"Dalam era telefon pintar dan internet mudah alih, pengesanan masa pesawat komersial sudah ketinggalan zaman," katanya.

Najib menekankan bahawa pengalaman pahit ini yang dihadapi oleh Malaysia dalam era moden tidak boleh dipandang ringan dan Malaysia bukan satu-satunya pihak yang perlu belajar daripada MH370.

Beliau mengakhiri dengan mengatakan "Industri penerbangan global bukan sahaja perlu belajar dari kejadian MH370 tetapi melaksanakannya. Dunia belajar dari Air France tetapi tidak bertindak . Kesilapan yang sama tidak boleh diulangi"-14/5/2014

PERINGATAN: AgendaDaily tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.
AgendaDaily.com adalah sebuah portal surat khabar elektronik yang menyalurkan maklumat terus ke skrin komputer anda dalam bentuk berita, analisis berita, laporan khas, fokus, komentar, wawancara dan segala macam yang ingin diketahui mengenai berbagai-bagai perkembangan hal ehwal semasa negara dan juga luar negara.

Kami mempunyai 334  tetamu dalam talian