08Disember2019

Agenda Daily

MH370: Waris tak mahu terima duit selagi jasad tidak dijumpai

"Kami sekeluarga nekad tidak mahu menerima wang pampasan berjumlah AS$50,000 (RM165,000) diberikan Syarikat Penerbangan, selagi jasad Chew Kar Moi, 31, tidak ditemui.”

Begitu kata Tan Tuan Lay, 53, (gambar) ibu kepada salah seorang penumpang pesawat MH370 yang dilaporkan hilang daripada radar penerbangan sejak Mac lalu.

Tan yang menetap di Kampung Simpang Empat, Alor Setar Kedah, berkata, meskipun sudah sembilan bulan berlalu, dia sekeluarga tidak pernah berputus asa untuk melihat jasad anak keduanya itu dihantar pulang ke kampung halaman walaupun dalam keadaan sudah tidak bernyawa.

Ibu kepada empat cahaya mata itu berkata, perasaannya hanya akan tenang selain menerima wang pampasan dengan hati terbuka selepas melihat jasad anaknya berada di depan mata.

“Sejujurnya, sekiranya saya menerima wang pampasan itu sekarang, hati seolah-olah tidak ikhlas untuk merelakan pemergian anak kedua itu. Nyawa anak saya tidak boleh dinilai dengan wang ringgit.

Khamis lalu, Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Liow Tiong Lai membaritahu kebanyakan keluarga mangsa tragedi MH370 masih enggan menerima wang pendahuluan yang disediakan syarikat penerbangan itu.

Menurutnya, masalah itu timbul kerana ahli keluarga mangsa masih mengharapkan penumpang MH370 ditemui dengan selamat.

Katanya, MAS telah menawarkan wang pendahuluan pampasan itu sebagai sebahagian daripada bayaran pampasan penuh kepada setiap keluarga mangsa.

“Kita telah pun menghulurkan pampasan pendahuluan sebanyak AS$50,000 kepada ahli keluarga tapi malangnya ramai yang belum mahu mengambilnya.

“Ini kerana mereka masih menganggap bahawa ahli keluarga mereka masih hidup kerana kita tidak temui lagi pesawat mahupun mayat,” katanya ketika menjawab soalan Datuk Raja Ropiaah Raja Abdullah berhubung pampasan ahli keluarga mangsa MH370.

Dalam pada itu, Liow turut menyatakan komitmen kerajaan untuk meneruskan pencarian pesawat MH370 dengan kerjasama kerajaan Australia dan China.

Jelasnya, pencarian kini melibatkan penerokaan menyeluruh kawasan dasar laut yang dipetakan meliputi lebih daripada 9,600 kilometer persegi.

Penerbangan MH370 ke Beijing hilang daripada imbasan radar ketika terbang di ruang udara Laut China Selatan setelah berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pada jam 12.41 tengah malam, 8 Mac lalu.

Pesawat Boeing 777 itu membawa 227 penumpang dan 12 orang anak kapal.-13/12/2014

PERINGATAN: AgendaDaily tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.
AgendaDaily.com adalah sebuah portal surat khabar elektronik yang menyalurkan maklumat terus ke skrin komputer anda dalam bentuk berita, analisis berita, laporan khas, fokus, komentar, wawancara dan segala macam yang ingin diketahui mengenai berbagai-bagai perkembangan hal ehwal semasa negara dan juga luar negara.

Kami mempunyai 265  tetamu dalam talian