14Ogos2020

Agenda Daily

MH370: Tiada panggilan dibuat oleh Kapten Fariq

shabery3Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek berkata siasatannya menunjukkan tidak ada panggilan dibuat pembantu juruterbang pesawat MAS Penerbangan MH370 pada 8 Mac.

Menteri itu berkata beliau bersetuju dengan Pemangku Menteri Pengangkutan Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein yang menafikan laporan sebuah akhbar tempatan yang mendakwa pembantu juruterbang itu ada membuat panggilan.

Ahmad Shabery berkata beliau telah cuba mendapatkan maklumat dengan mereka berkenaan dan mereka mengesahkan tidak ada panggilan dibuat oleh sesiapa dari pesawat tersebut.

"Saya memohon supaya semua pihak lebih bertangungjawab mengeluarkan kenyataan kerana kenyataan yang tidak bertanggungjawab, boleh menyebabkan kekeliruan kepada masyarakat.

"Ia juga boleh menyulitkan lagi proses pencarian (pesawat yang hilang itu) yang sepatutnya diberi keutamaan kepada mereka yang bertanggungjawab," katanya kepada pemberita ketika ditemui pada program turun padang dan melawat warga uzur di Kampung Gong Cengal, Kemasik dekat Kemaman, Ahad.

Pada Sabtu, BERNAMA melaporkan Hishammuddin telah menafikan laporan sebuah akhbar tempatan mengenai perkara itu.

Panggilan telefon itu kononnya dibuat ketika pesawat itu terbang rendah berhampiran Pulau Pinang.

Hishammuddin berkata jika dakwaan akhbar itu benar, beliau sepatutnya mengetahui perkara itu dari awal lagi.

Sebelum ini, NST melaporkan salah seorang juruterbang pesawat MH370 cuba menghubungi seseorang menerusi panggilan telefon ketika pesawat tersebut terbang serendah 5000 kaki di ruang udara Pulau Pinang pada hari kehilangannya.

Laporan eksklusif akhbar itu pada 12 April lalu mendakwa panggilan tersebut datangnya dari telefon bimbit milik pembantu juruterbang, Fariq Abdul Hamid.

Sumber maklumat dari penyiasat kes itu memberitahu NST, setiap maklumat sedang dikumpulkan bagi merungkai apa yang sebenarnya berlaku kepada pesawat tersebut yang hilang dengan 239 penumpang dan anak kapal pada 8 Mac.

Difahamkan pesawat Boeing 777-200 ER itu terbang pada ketinggian yang cukup rendah bagi membolehkan isyarat telefon bimbit dikesan oleh pemancar telekomunikasi di darat.

Panggilan tersebut bagaimanapun terputus sebelum sambungan berjaya dilakukan, menurut laporan NST itu lagi, sambil menambah sumber tersebut enggan mendedahkan siapa yang dihubungi oleh Fariq.-13/4/2014

PERINGATAN: AgendaDaily tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.
AgendaDaily.com adalah sebuah portal surat khabar elektronik yang menyalurkan maklumat terus ke skrin komputer anda dalam bentuk berita, analisis berita, laporan khas, fokus, komentar, wawancara dan segala macam yang ingin diketahui mengenai berbagai-bagai perkembangan hal ehwal semasa negara dan juga luar negara.

Kami mempunyai 365  tetamu dalam talian