26Januari2020

Agenda Daily

MH370: Malaysia umum laporan awal minggu depan - Najib

najib-mh370-cnnSelepas hampir 50 hari atau enam minggu tanpa khabar berita, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dalam satu wawancara khas dengan rangkaian berita antarabangsa CNN malam tadi memberitahu Malaysia akan mengumumkan laporan awal berhubung kehilangan pesawat MH370 minggu depan.

"Saya sudah mengarahkan pasukan pakar yang menjalankan siasatan dalaman untuk meneliti laporan itu dan besar kemungkinan ia akan dikeluarkan minggu depan," katanya dalam temubual bersama CNN, malam Khamis.

Najib juga memaklumkan kerajaan akan mengeluarkan laporan awal berhubung kehilangan pesawat itu minggu depan. Laporan berkenaan minggu ini diserahkan kepada  Pertubuhan Penerbangan Awam Antarabangsa (ICAO) yang bernaung di bawah Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu.

Ditanya apakah Malaysia telah tersalah menangani usaha mencari pesawat berkenaan, Najib menekankan betapa pihak berkuasa yang terlibat berdepan dengan keadaan yang "belum pernah berlaku sebelumnya" dan mana-mana negara pun akan menghadapi kesukaran yang sama.

Beliau juga mengakui ada yang telah dilakukan oleh Malaysia dengan baik tetapi ada juga yang tersilap seperti aspek komunikasi seperti pada peringkat awal usaha mengesan pesawat itu.

Menurut beliau kerajaan belum bersedia untuk mengisytiharkan pesawat penerbangan MH370 sebagai hilang biarpun lebih enam minggu pesawat MH370 itu gagal dikesan dan tiada petunjuk yang jelas di mana ia berada.

Katanya buat masa ini kerajaan belum bersedia untuk berbuat demikian demi menghormati perasaan waris 239 penumpang dan anak kapal pesawat berkenaan.

"Pada suatu masa nanti mungkin tetapi pada masa ini saya rasa saya perlu mengambil kira perasaan waris dan sesetengah daripada mereka telah menyatakan secara terbuka bahawa mereka tidak dapat menerimanya sehingga ada bukti yang kukuh,"ujar beliau.

Biarpun begitu, tambah Najib, adalah sukar untuk membayangkan sebaliknya.

Setakat ini, ahli keluarga penumpang menolak cadangan kerajaan untuk mengeluarkan sijil kematian kerana sehingga kini tiada sebarang bukti kukuh ditemui berkaitan kehilangan pesawat itu.

Wawancara itu dikendalikan oleh koresponden penerbangan stesen berita itu, Richard Quest.

Sebulan yang lalu, pada 24 Mac, Najib mengumumkan pesawat Boeing 777-200 itu mengakhiri penerbangannya di selatan Lautan Hindi, di barat Perth  ?  "kawasan yang terpencil, jauh daripada tapak pendaratan." Rumusan itu dibuat berdasarkan kepada data satelit yang dimaklumkan oleh Inmarsat.

Malaysia Airlines kemudian mengumumkan bahawa pesawat itu dianggap hilang dan tiada yang terselamat. Pesawat yang dalam penerbangan dari Kuala Lumpur ke Beijing itu membawa 227 penumpang dan 12 anak kapal.

Dalam wawancara dengan CNN, Najib menyifatkan apa yang berlaku itu sebagai "ganjil" dan "tidak dapat difikirkan oleh sesiapa"  ?  bagaimana mungkin sebuah pesawat yang sepatutnya menuju ke Beijing kemudiannya boleh sampai "separuh jalan menuju ke Antartika?"

Menurut Najib, beliau bertanya berkali-kali kepada pasukan penyiasat apakah mereka yakin tentang kedudukan akhir pesawat itu dan mereka memberitahunya "kami yakin setakat yang termampu".

Sementara itu, Najib mengesahkan pada malam kejadian, radar tentera telah mengesan sebuah pesawat berpatah balik merentas Semenanjung Malaysia.

"Tidak ada pesawat tentera yang dikerah kerana pesawat berkenaan dianggap tidak berbahaya," kata Perdana Menteri, seraya menambah cara penerbangan pesawat itu sama seperti sebuah pesawat komersial yang berada pada laluannya yang biasa.

Usaha mencari pesawat penerbangan MH370 yang kini bertumpu di selatan Lautan Hindi hari ini masuk hari yang ke-49 tanpa sebarang petunjuk yang jelas dan belum ada sebarang serpihan yang ditemui.

Pesawat Penerbangan Malaysia Boeing 777 dengan 239 penumpang hilang selepas meninggalkan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) di Sepang untuk ke Beijing. Bagaimanapun, ia dipercayai terhempas di Lautan Hindi apabila gagal tiba ke destinasi.

Ketika ini, pelbagai negara membantu menjalankan operasi mencari yang diketuai Australia bagi mengesan data pesawat dan rakaman suara di kokpit.

Pemangku Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Hishammuddin Hussein memberi jaminan bahawa sebarang data yang ditemui daripada kotak hitam pesawat MH370 itu akan diumumkan kepada awam.-25/4/2014

PERINGATAN: AgendaDaily tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.
AgendaDaily.com adalah sebuah portal surat khabar elektronik yang menyalurkan maklumat terus ke skrin komputer anda dalam bentuk berita, analisis berita, laporan khas, fokus, komentar, wawancara dan segala macam yang ingin diketahui mengenai berbagai-bagai perkembangan hal ehwal semasa negara dan juga luar negara.

Kami mempunyai 255  tetamu dalam talian