08Disember2019

Agenda Daily

MH370: Kapal China akan buat pemetaan dasar laut

mh-ombaklautanhindiPihak berkuasa yang terlibat dalam usaha seterusnya untuk mencari pesawat Malaysia yang hilang bersetuju agar kapal ukur China "Zhu Kezhen" akan melakukan kerja ukur batimatri di Selatan Lautan Hindi.

Persetujuan ini dicapai pihak berkuasa Malaysia, Australia dan China yang bermesyuarat hujung minggu lepas, kata Pusat Penyelarasan Agensi Bersama (JACC) dalam kenyataan hari ini.

Menurut JACC, kerja ukur batimatri, yang membabitkan pemetaan dasar laut secara menyeluruh, akan dilakukan di kawasan yang dikenal pasti Biro Keselamatan Pengangkutan Australia (ATSB).

"Zhu Kezhen dijadual belayar ke kawasan mengukur pada Rabu, jika keadaan cuaca mengizinkan," katanya.

Kerja ukur batimatri adalah antara perkara yang menjadi keutamaan dalam usaha mencari pesawat Malaysia Airlines (MAS) MH370 malang itu, yang kini memasuki fasa transisi dan memberi keutamaan terhadap usaha mencari di dasar laut.

Keutamaan lain termasuk menganalisis kembali data berkenaan untuk mengenal pasti kawasan mencari lebih tepat serta mengenal pasti dan menggunakan kenderaan yang ditunda serta kenderaan atutonomi dalam air yang bersesuaian dengan keadaan rupa bumi di tempat pencarian.

Penerbangan MH370 ke Beijing bersama 239 penumpang dan anak kapal hilang daripada pengesanan radar pada 8 Mac ketika terbang di ruang udara Laut China Selatan, kira-kira sejam setelah berlepas dari Kuala Lumpur.

Usaha mencari melibatkan pelbagai negara dilancarkan, mula-mula di Laut China Selatan dan kemudian di Selat Melaka dan Laut Andaman, sebelum pasukan mencari mengalih tumpuan ke perairan Australia Barat di Selatan Lautan Hindi.

Sementara itu, menurut JACC, Kapal Pertahanan Australia (ADV) Ocean Shield tiba di Geraldton, Australia Barat semalam untuk membuat persiapan menerima alat ganti bagi transponder yang dipasang pada kapal itu dan Kenderaan Autonomi Dalam Air Bluefin-21.

"Kerja membaiki perlu dilakukan untuk membetulkan keadaan perkakasan yang menjejaskan kemampuan transponder berkomunikasi antara satu dengan lain ketika menyelam. Masalah ini menjadi ketara dalam misi Bluefin-21 pada Selasa," katanya.

Alat ganti berkenaan dijangka tiba di Geraldton lewat hari ini.

JACC berkata sebaik sahaja alat ganti itu dipasang, ujian akan dilakukan di Geraldton sebelum Ocean Shield belayar semula ke kawasan mencari.-19/5/2014

PERINGATAN: AgendaDaily tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.
AgendaDaily.com adalah sebuah portal surat khabar elektronik yang menyalurkan maklumat terus ke skrin komputer anda dalam bentuk berita, analisis berita, laporan khas, fokus, komentar, wawancara dan segala macam yang ingin diketahui mengenai berbagai-bagai perkembangan hal ehwal semasa negara dan juga luar negara.

Kami mempunyai 371  tetamu dalam talian