21September2020

Agenda Daily

MH370: Al kisah... Jagjit Singh

mh-jagjitBagi wartawan tempatan, kelibat lelaki punjabi yang berserban bernama Jagjit Singh Sarjit Singh bukan sesuatu yang asing lagi. Penolong Pegawai Penerangan Kementerian Komunikasi dan Multimedia Malaysia ini cukup popular apabila ada Pilihanraya Kecil kerana biasanya beliau bertugas di Pusat Media jabatan tersebut.

Kerjanya adalah memudahkan kerja para wartawan.

Selepas misteri kehilangan pesawat MH370, Jargit menjadi popular dikalangan media asing selepas dilantik jadi moderator untuk sesi sidang media MH370.

Mengendalikan sidang media membabitkan kira-kira 600 wakil media tempatan dan asing menuntut Jagjit menggunakan segala kemahiran yang dimiliki untuk memastikan persidangan

mengenai perkembangan terkini tragedi MH370 itu berjalan lancar dan memenuhi tujuannya.

Menyifatkan pembabitannya berlaku secara 'bidan terjun', Jagjit berkata beliau bukan sahaja perlu bersedia dengan segala maklumat yang perlu tetapi juga harus bijak menangani wartawan, terutama media asing yang adakala bertanyakan soalan berbentuk provokasi.

"Tidak ada ruang untuk saya lakukakan kesalahan. Sebelum sidang media berlangsung banyak persediaan perlu saya lakukan," katanya dipetik dari laporan Bernama.

mh-jagkit1Jagjit Singh yang mengendalikan sidang media mengenai MH370 itu sejak 10 Mac lepas, mengakui agak gementar apabila mengetahui dipilih menggantikan seorang pegawai lain menjadi moderator sidang media tersebut.

"Saya seakan tak percaya. Pelbagai perkara bermain di fikiran saya memandangkan ini adalah kali pertama saya menjadi moderator sidang media terbesar dan membabitkan isu besar negara," katanya yang berdepan wakil media daripada 281 agensi dari 33 negara hampir setiap hari sejak tarikh itu.

Menurut Jagjit beliau belajar daripada setiap sesi dan berusaha memperbaiki sebarang kelemahan pada hari berikutnya.

"Ada yang memuji cara saya mengendalikan sesi sidang media itu, namun tidak kurang juga mengkritik terutamanya media luar yang bertanyakan kepada saya kenapa tempoh sidang media amat singkat sehingga banyak soalan tidak dapat diutarakan," katanya.

Bagaimanapun dengan penjelasan yang diberikannya, selain pelbagai bantuan lain termasuk mengatur temu ramah khas untuk media asing dengan pihak yang berkenaan dapat meredakan rasa tidak puas hati mereka, sekali gus memberi imej positif kepada negara, katanya.

"Saya belajar sesuatu daripada tanggungjawab yang diamanahkan kepada saya itu iaitu erti sabar," katanya sambil menambah media tempatan dilihat amat disiplin, tenang dan sopan ketika bertanyakan soalan berbanding media antarabangsa yang agak agresif dalam mendapatkan maklumat terkini.-8/4/2014

PERINGATAN: AgendaDaily tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.
AgendaDaily.com adalah sebuah portal surat khabar elektronik yang menyalurkan maklumat terus ke skrin komputer anda dalam bentuk berita, analisis berita, laporan khas, fokus, komentar, wawancara dan segala macam yang ingin diketahui mengenai berbagai-bagai perkembangan hal ehwal semasa negara dan juga luar negara.

Kami mempunyai 389  tetamu dalam talian