05Disember2019

Agenda Daily

Laporan interim siasatan MH370 diedarkan 7 Mac ini....

7 Mac depan genap setahun kehilangan pesawat malang MH370 dan hari itu juga dipilih Kementerian Pengangkutan akan mengumumkan laporan interim oleh Jabatan Penerbangan Awam (DCA) berhubung siasatan selama setahun misteri kehilangan pesawat tersebut.

Timbalan Menterinya, Datuk Abdul Aziz Kaprawi berkata beliau tidak boleh mendedahkan lebih lanjut mengenai perkara itu ketika ini kerana pengumuman mengenainya akan dibuat Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Liow Tiong Lai.

"Laporan interim mengenai siasatan pesawat tersebut akan diumumkan pada 7 Mac ini. Saya tak boleh dedahkan lebih lanjut... menteri yang akan buat pengumuman nanti," katanya.

Beliau berkata laporan interim tersebut akan turut disiarkan di dalam laman web DCA sejurus selepas pengumuman tersebut.

“Kami akan mengeluarkan laporan interim pada 7 Mac dan kami bersedia dengannya,” katanya selepas melancarkan program Bengkel Keselamatan Penerbangan Rantau Asia Tenggara Rabu.

“Laporan interim itu ada kaitan dengan apa yang telah kami peroleh, dapatan daripada siasatan itu,” katanya.

Pesawat MH370 didapati hilang bersama 239 penumpang dan anak kapal dalam perjalanan dari Kuala Lumpur ke Beijing.

Usaha mencari pesawat jenis Boeing 777 itu dilakukan di selatan Lautan Hindi, lokasi penerbangan itu dipercayai berakhir selepas tersasar daripada laluan asal ke Beijing.

Ditanya sama ada kerajaan akan memuktamadkan status pesawat itu selepas mengeluarkan laporan interim berkenaan, Ab Aziz berkata perkara itu jika ada, akan diumumkan kelak.

“Soal pampasan kepada waris penumpang dan anak kapal juga akan ditentukan selepas status pesawat itu diumumkan,” katanya.

Pesawat itu membawa 12 anak kapal serta 227 penumpang, termasuk dua bayi itu, hilang daripada radar ketika dalam penerbangan dari Kuala Lumpur ke Beijing, kira-kira sejam setelah berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).

Ia dijadual tiba di Beijing pada 6.30 pagi hari sama.-28/1/2015

PERINGATAN: AgendaDaily tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.
AgendaDaily.com adalah sebuah portal surat khabar elektronik yang menyalurkan maklumat terus ke skrin komputer anda dalam bentuk berita, analisis berita, laporan khas, fokus, komentar, wawancara dan segala macam yang ingin diketahui mengenai berbagai-bagai perkembangan hal ehwal semasa negara dan juga luar negara.

Kami mempunyai 335  tetamu dalam talian