30Oktober2020

Agenda Daily

Kemasukan Pelancong China Ke Malaysia terjejas insiden MH370 - Nazri

pelancong-china2xccxMenteri Pelancongan dan Kebudayaan Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz berkata kemasukan pelancong China ke Malaysia terjejas ekoran kehilangan pesawat Malaysia Airlines (MAS) MH370.

Beliau berkata setakat ini kebanyakan pelancong China telah membatalkan lawatan mereka ke Malaysia, malah tiada 'tempahan penerbangan' direkod bagi penerbangan dari China ke Malaysia.

Justeru Nazri berkata, pihaknya akan menangguh segala bentuk promosi dan kempen Tahun Melawat Malaysia 2014 di China bagi menghormati sensitiviti rakyat negara itu berikutan majoriti penumpang MH370 yang hilang sejak 8 Mac lepas adalah warga China.

"Semuanya baik (kedatangan pelancong China) bagi Januari hingga Februari, tetapi sudah tentu insiden MH370 pasti menjejaskan pelancongan, namun apa yang penting adalah kami bersimpati kepada keluarga penumpang MH370 dan persoalan sama ada kami nak teruskan kempen di negara China tidak berbangkit, ketika ini ditangguhkan, saya fikir kita perlu hormat isu sensitif.

"... selagi tidak berpenghujung (insiden) MH370 ini, saya tidak fikir kesesuaian untuk kita meneruskan kempen di negara China," katanya dalam sidang media sebelum membuka Sesi Komuniti Sosio-Budaya ASEAN di Kuala Lumpur Rabu.

Namun beliau tidak menyalahkan mana-mana pihak mengenai perkara itu dan menasihati orang ramai memahami situasi yang dihadapi rakyat China.

"Bagi saya ini reaksi semula jadi...kita tidak boleh menyalahkan mereka kerana bukan secara semula jadi rakyat negara China anti kita (Malaysia), kerana insiden MH370 adalah satu perkara yang abnormal," kata Nazri.

Sementara itu, katanya beliau akan melawat Kedutaan China di sini esok untuk bertemu Duta Besar China di Malaysia Dr Huang Huikang.

Katanya ia sebagai tanda penghormatan beliau kepada nasib rakyat China dalam insiden MH370.

Pelancong dari China merupakan penyumbang ketiga terbesar selepas Singapura dan Indonesia dengan rekod 1.6 juta orang tahun lepas.

Sempena Tahun Melawat Malaysia 2014, kerajaan menyasarkan 28 juta pelancong melawat Malaysia.-9/4/2014

PERINGATAN: AgendaDaily tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.
AgendaDaily.com adalah sebuah portal surat khabar elektronik yang menyalurkan maklumat terus ke skrin komputer anda dalam bentuk berita, analisis berita, laporan khas, fokus, komentar, wawancara dan segala macam yang ingin diketahui mengenai berbagai-bagai perkembangan hal ehwal semasa negara dan juga luar negara.

Kami mempunyai 435  tetamu dalam talian