08Disember2019

Agenda Daily

Deklarasi MH370 hilang pendapat peribadi, kata MAS

Spekulasi media baru-baru ini berhubung dengan deklarasi bahawa MH370 telah hilang cuma luahan pendapat peribadi, kata Malaysia Airlines (MAS).

Dalam satu kenyataan pada Selasa, syarikat penerbangan itu berkata, sebarang tindakan sentiasa berpandukan nasihat pasukan teknikal yang bertanggungjawab bagi operasi pencarian.

"Jaminan yang diberikan kepada kita ialah bahawa operasi pencarian,dan menyelamat akan diteruskan dan tidak akan dihentikan.

"Apa-apa maklumat mengenai MH370, operasi dan perkara berkaitan pesawat yang hilang hanya akan dimaklumkan oleh Pusat Penyelarasan Agensi Bersama (JACC)," kata syarikat penerbangan itu.

Pengarah MAS Airlines, Hugh Dunleavy baru-baru ini dipetik sebagai berkata bahawa MAS sedang menunggu bagi Penerbangan MH370 diisytiharkan secara rasmi hilang supaya  pampasan boleh diuruskan bagi waris penumpang.

"Malaysia Airlines berharap kami dapat merungkaikan tragedi ini dan kami menyokong dan mengucapkan terima kasih kepada kerajaan kami serta kerajaan Australia dan China atas  bantuan yang sangat berharga semasa krisis," katanya.

Syarikat penerbangan itu turut berkongsi kesedihan dan kesengsaraan anggota keluarga dalam menangani dan melalui situasi ini, "oleh itu kami memberi jaminan kepada mereka  bahawa usaha menjejaki pesawat dan mendapatkan rakaman data penerbangan tetap menjadi keutamaan."

"Setiap pihak yang terlibat dalam operasi yang kompleks ini menaruh keazaman yang sama seperti keluarga penumpang untuk mencari jawapan terhadap banyak persoalan.    

"Berhubung dengan tahap pampasan yang disediakan selaras dengan Konvensyen Montreal, atau rejim perundangan yang serupa, syarikat penerbangan itu telah menjelaskan bahawa pembayaran ditentukan oleh undang-undang untuk mengambil kira penumpang yang terbukti sahih dan keadaan keluarga dan akan dinilai dengan sewajarnya," kata MAS.

MAS dan syarikat insurans tetap akan memastikan bahawa pampasan yang adil dan munasabah akan dibayar kepada keluarga semua penumpang MH370 selaras dengan undang-undang apabila anggota keluarga bersedia untuk membincangkan isu itu.

Kami mengulangi bahawa syarikat penerbangan akan mematuhi komitmen yang telah kami buat, kesejahteraan ahli-ahli keluarga sentiasa menjadi keutamaan kami dan kami akan terus berkomunikasi mengenai maklumat terkini apabila kami memperolehnya," kata MAS

Penerbangan MH370 berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa KL (KLIA) pada 12.41 tengah malam pada 8 Mac bersama 227 penumpang dan 14 anak kapal.

Pesawat itu terputus hubungan dengan menara kawalan trafik udara ketika berada di ruang udara antara Malaysia dan Viernam pada 1.20 pagi.

Pesawat Boeing 777 itu kemudian berpatah balik ke arah Selat Melaka dan dipercayai penerbangan MH370 telah "berakhir di selatan Lautan Hindi".-11/11/2014

PERINGATAN: AgendaDaily tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.
AgendaDaily.com adalah sebuah portal surat khabar elektronik yang menyalurkan maklumat terus ke skrin komputer anda dalam bentuk berita, analisis berita, laporan khas, fokus, komentar, wawancara dan segala macam yang ingin diketahui mengenai berbagai-bagai perkembangan hal ehwal semasa negara dan juga luar negara.

Kami mempunyai 355  tetamu dalam talian