14Disember2019

Agenda Daily

Aset syarikat Malaysia bantu cari MH370

mh-pray4mh370513Beberapa syarikat tempatan, termasuk Petronas, menawarkan aset bagi membantu operasi di laut dalam fasa berikutnya untuk mencari pesawat milik Malaysia Airlines Penerbangan MH370, kata Timbalan Menteri Pertahanan Datuk Abdul Rahim Bakri.

Beliau berkata sebagai contoh, Petronas menawarkan satu penunda alat sonar laut dalam dan sebuah kenderaan kendalian jarak jauh manakala Sapura-Kenchana menawarkan penggunaan alat 'Multibeam Echosounder' miliknya.

"Bagaimanapun, keputusan belum lagi dibuat berhubung penggunaan semua aset ini," katanya dalam taklimat kepada media berkaitan perkembangan pencarian MH370 Khamis, yang dipengerusikan Pemangku Menteri Pengangkutan Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein.

Pada 5 Mei lepas, perbincangan tiga hala di Canberra membabitkan Malaysia, Australia dan China bersetuju bahawa aset spesifik, termasuk aset komersial, akan digerak dalam operasi pencarian fasa berikutnya di selatan Lautan Hindi.

Sementara itu, Hishammuddin berkata aset yang ditawar syarikat tempatan itu akan melengkapi aset komersial yang bakal diperoleh Australia.

Selain Petronas dan Sapura Kencana, Hishammuddin, yang juga Menteri Pertahanan, berkata kerajaan Malaysia kini berunding dengan DRB-HICOM Defence Technologies Sdn Bhd (Deftech) serta Boustead Holdings Bhd untuk mendapatkan beberapa aset.

Sebelum aset berkenaan digerak, Hishammuddin berkata satu kajian batimetrik menyeluruh akan dilakukan bagi membolehkan pakar memahami dengan lebih mendalam rupa bumi dasar laut yang terlibat.

Dalam pada itu, Hishammuddin berkata bajet AUD90 juta yang diperuntuk kerajaan Australia dalam meneruskan misi mencari MH370 merupakan anggaran siling dan tidak menggambarkan kos sebenar operasi.

Beliau berkata peruntukan kerajaan Australia itu juga merupakan sebahagian daripada keperluan undang-undang negara berkenaan.

Bagaimanapun, katanya, jumlah yang perlu dibiayai kerajaan Malaysia belum ditentukan kerana ia bergantung kepada lokasi dan aset yang diperlukan sama ada daripada pihak tentera atau komersial.

"Saya boleh sahkan ada pihak ketiga yang telah menunjukkan kesanggupan untuk membantu pencarian ini, jika ia perlu pembiayaan lebih daripada kemampuan kita.

"Dengan jumlah yang ada, kita akan teruskan pencarian kita. Kita harap kerjasama pihak ketiga yang kita lihat dalam fasa pertama dan kedua akan sama dalam fasa baharu ini," katanya yang enggan mendedahkan identiti pihak ketiga itu.

Media Australia semalam melaporkan kerajaan negara itu memperuntuk AUD89.9 juta bagi tempoh dua tahun sebagai sebahagian sumbangan dalam usaha antarabangsa mencari pesawat MH370.

Sementara itu, Hishammuddin menegaskan isyarat ping pertama yang dikesan dalam misi mencari pesawat malang berkenaan di selatan Lautan Hindi merupakan petunjuk terbaik setakat ini.

"Ping pertama bersandar kepada isyarat paling kuat ketika itu. Tapi dalam fasa baharu, penting bagi pakar di Canberra bersama-sama Inmarsat dan pakar lain menentukan lokasi sebenar supaya aset sedia ada dapat dikerah.

"Kalau lebih banyak aset dikumpul, lebih cepat gerakan boleh dilakukan. Ini sedang diatur sekarang," katanya.-15/5/2014

PERINGATAN: AgendaDaily tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.
AgendaDaily.com adalah sebuah portal surat khabar elektronik yang menyalurkan maklumat terus ke skrin komputer anda dalam bentuk berita, analisis berita, laporan khas, fokus, komentar, wawancara dan segala macam yang ingin diketahui mengenai berbagai-bagai perkembangan hal ehwal semasa negara dan juga luar negara.

Kami mempunyai 323  tetamu dalam talian