12Disember2019

Agenda Daily

Akhirnya... pakar satelit 'bersihkan' nama Kapten Zaharie kononnya bunuh diri

Ingat lagi ketika awal-awal kes kehilangan pesawat Penerbangan Malaysia (MAS) MH370... nama Kapten Zaharie Ahmad Shah menjadi sensasi di seluruh dunia berikutan ada teori nakal kononnya beliau sengaja membawa pesawat itu ke selatan Lautan Hindi untuk bunuh diri.

Media asing paling 'seronok' main isu ini sebab segara logik, jika Kapten Zaharie yang buat maka, banyak pihak boleh 'cuci tangan'.

Pembuat pesawat Boeing, pembuat enjin Rolls Royce... boleh relaks-relaks salahkan hanya satu orang iaitu kapten pesawat. Kata mudahnya teknologi mereka tidak ada masalah... masalahnya juruterbang.

Tekanan yang diterima oleh keluarga kapten Zaharie cukup kuat sehingga anaknya yang belajar di luar negara terpaksa balik ke Malaysia untuk mengelak menjadi sasaran orang ramai dan media.

Selepas lapan bulan kehilangan pesawat MH370, Kapten Zaharie dianggap tidak bersalah oleh pakar satelit dalam kes kehilangan pesawat itu pada Mac lalu.

Pakar satelit Michale Exner berkata, dalang di sebalik kehilangan pesawat MH370 adalah seorang genius teknikal yang mempunyai kemahiran menggodam yang sangat canggih selain mempunyai pengetahuan mendalam bagaimana pesawat Boeing 777 digerakkan.

Kenyataannya disiarkan melalui portal berita International Business Times Selasa mendakwa Kapten Zaharie tidak mungkin menyebabkan kehilangan pesawat itu berdasarkan siasatan dan kesimpulan dilakukan.

Exner yang menyiasat kehilangan pesawat MH370 secara sukarela percaya wujud peluang untuk menerbangkan Boeing 777 dengan simulator penerbangan.

Berdasarkan laporan awal, semua sistem komunikasi pesawat - komunikasi satelit dan sistem lain dipadamkan seseorang kira-kira 40 minit selepas pesawat itu meninggalkan Kuala Lumpur menuju ke Beijing, China.

“Hampir serentak dengan itu, pesawat MH370 menyimpang jauh dari landasan asalnya. Memusing tajam ke kiri dan dilaporkan terbang kembali ke Semenanjung Malaysia tanpa diawasi zon kawalan trafik udara.

“Bagaimanapun Unit Data Satelit atau SDU mampu untuk menghantar mesej elektronik jelas kepada 3F-1 Inmarsat satelit terletak di orbit geosynchronous di atas Lautan Hindi,” katanya.

Exner menyatakan semua sistem komunikasi dimatikan suspek bagi mengelak sebarang bentuk pengesanan.

“Selain itu suspek juga dinyatakan mempunyai pengetahuan yang mendalam tentang protokol laluan lintas udara antarabangsa.

“Sesiapapun dalang di sebalik kejadian ini menggunakan kemahiran rampasan pesawat yang maju dan dia tahu apabila SDU dihidupkan, semua sistem komputer di dalam pesawat itu akan terus menghasilkan maklumat,” katanya.

Kapten Zaharie menjadi fokus pada awal kejadian kehilangan pesawat itu apabila simulator penerbangan ditemui di rumahnya yang mengandungi “rehearsal” pesawat sejauh Lautan Hindi atau mendarat di sebuah pulau dengan landasan yang pendek.

Fail simulator tersebut didapati dipadamkan, namun berjaya ditemui kembali oleh pakar-pakar yang menyiasatnya.

Juruterbang tersebut juga tiada rahsia dengan hobi luar biasanya, mencipta video penerbangan yang dimuat naik di internet.

Bekas rakan sekerjanya berkata, Zaharie gembira menerbangkan Boeing 777 sehingga beliau sanggup menghabiskan masa cutinya dengan membina simulator penerbangan pesawat itu di rumah.

"Beliau adalah seorang juruterbang yang sangat mahir dengan teknologi penerbangan. Sesiapa saja boleh tanya dan dia pasti akan membantu,” kata seorang pembantu juruterbang Malaysia Airlines (MAS) yang pernah terbang bersama Zaharie sebelum ini.

Saudara-mara dan rakan-rakan juruterbang tersebut menegaskan mempertahankan beliau daripada sebarang spekulasi dan khabar angin itu.

"Dia mempunyai segala-galanya dalam hidup. Beliau adalah seorang lelaki periang, ceria, profesional lengkap yang akan tahu apa yang perlu dilakukan dalam krisis,” kata Nasir Osman, yang pernah bersekolah sama dengan Zaharie ketika di Pulau Pinang.

Sementara itu, anak perempuan Zaharie, Aishah, mengutuk spekulasi mengenai bapanya dan menyifatkannya sebagai ‘pembohongan’.

Manakala abang iparnya, Asuad Khan pula berkata, Zaharie sering bermain dengan cucunya.

Asuad dalam sebuah program televisyen Australia berkata, dakwaan yang dilemparkan terhadap Zaharie mengenai kehidupan peribadi dan aktiviti-aktiviti profesional adalah tidak benar.

Asuad juga menafikan bahawa kapten itu boleh menjalankan misi membunuh diri dan mendakwa pihak berkuasa mungkin menggunakan Zaharie sebagai kambing hitam.

“Beginilah, jika mereka salahkan dia, saya akan berjuang. Saya tidak akan duduk diam.

“Jika dia mengatakan bahawa Zaharie mahu (melakukan) membunuh diri di Lautan Hindi, saya akan kata, sila buktikannya.

"Jika dia mahu (melakukan) bunuh diri, itu mungkin. Tetapi mengapa dia mahu membunuh 238 orang dengan dia? Mengapa dia mahu jadi bodoh? Tak mungkin dia buat begitu,” katanya.-12/11/2014

PERINGATAN: AgendaDaily tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.
AgendaDaily.com adalah sebuah portal surat khabar elektronik yang menyalurkan maklumat terus ke skrin komputer anda dalam bentuk berita, analisis berita, laporan khas, fokus, komentar, wawancara dan segala macam yang ingin diketahui mengenai berbagai-bagai perkembangan hal ehwal semasa negara dan juga luar negara.

Kami mempunyai 241  tetamu dalam talian