30Mei2020

Agenda Daily

Singapura ‘menunggu masa untuk berlaku’ serangan pengganas

Anggota-anggota pasukan ke­selamatan meronda di sebuah stesen kereta api di mana skrin televisyen dan poster gergasi memberi amaran mengenai ancaman militan.

Di kawasan berdekatan pula, lelaki-lelaki bersenjata palsu menyerbu sebuah pusat beli-belah dalam simulasi serangan pengganas yang diadakan baru-baru ini.

Semua ini berlaku bukan di rantau bergolak tetapi di Singapura, antara negara yang paling selamat di dunia.

Pulau itu memiliki rekod hampir sempurna dalam memastikan tanah airnya bebas daripada keganasan, namun ketika ia bersedia menerima kunjungan para menteri luar Asia Tenggara minggu ini, Singapura mempunyai alasan kukuh untuk memberi tumpuan bagi menghentikan penyebaran gerakan militan di rantau berkenaan.

Hab kewangan itu yang berada di tempat kedua di belakang Tokyo dalam Indeks Bandar Raya Paling Selamat oleh perbadanan The Economist Intelligence Unit pada 2017 berkata, ia sudah lama menjadi sasaran komplot pengganas dengan sesetengah ancaman berasal dari negara-negara jiran yang majo­riti rakyatnya beragama Islam.

Malah, serangan oleh militan dianggap ‘menunggu masa untuk berlaku’ dan bukan ‘sekiranya berlaku’.

“Singapura terus berdepan ancaman keselamatan serius dari kedua-dua individu radikal dalam negara dan pengganas asing yang berterusan melihat Singapura sebagai sasaran berharga,” kata Kementerian Hal Ehwal Dalam Negeri (MHA) dalam jawapan kepada soalan agensi berita Reuters.

Pihak berkuasa Singapura berkata, ia menjadi sasaran gerakan ekstrem sejak tahun 1990-an lagi tetapi usaha mencegah keganasan dipertingkatkan sejak beberapa tahun kebelaka­ngan ini terutamanya selepas lebih banyak serangan berlaku di negara-negara Barat dan setelah militan Daesh menawan Bandar Marawi di selatan Filipina selama beberapa bulan pada 2017.

Kebimbangan mengenai ancaman ke atas pulau itu terus memuncak selepas seorang askar Singapura muncul dalam beberapa video promosi Daesh, terbaharu pada Disember 2017 yang memaparkan dia melaksanakan hukuman bunuh terhadap beberapa lelaki.

Dalam Laporan Penilaian Ancaman Keganasan yang di­siarkan pada tahun lalu, MHA menyatakan bahawa Singapura berada dalam ‘radar’ Daesh dengan ancaman ke atas negara itu berada di tahap tertinggi sejak beberapa tahun lalu.

“Singapura dikenali sebagai negara selamat, menjadikannya sasaran berharga,” kata Dan Bould yang merupakan pengarah firma pengurusan bencana, Aon dan bekas Kapten tentera British.

“Sekiranya serangan berlaku di Filipina, ia mungkin mendapat liputan setengah jam dalam kitaran berita 24 jam, namun serangan di Singapura pula de­ngan individu berbilang budaya berada di pulau itu, akan menjadi tumpuan sekurang-kurangnya untuk beberapa hari,” tambahnya.-5/2/2018 *gambarfail

PERINGATAN: AgendaDaily tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.
AgendaDaily.com adalah sebuah portal surat khabar elektronik yang menyalurkan maklumat terus ke skrin komputer anda dalam bentuk berita, analisis berita, laporan khas, fokus, komentar, wawancara dan segala macam yang ingin diketahui mengenai berbagai-bagai perkembangan hal ehwal semasa negara dan juga luar negara.

Kami mempunyai 425  tetamu dalam talian