21Ogos2019

Polis Thailand gagalkan cubaan seludup 700kg dadah ke Malaysia

Pihak berkuasa di sempadan Malaysia-Thailand kini meningkatkan pemantauan terhadap kenderaan yang mengangkut buah-buahan.

Ini susulan kejayaan polis Thailand membongkar satu lagi cubaan sindiket dadah untuk menyeludup 700kg ‘Ice’ (Methaphetamine Kristal) bernilai jutaan ringgit ke Malaysia dengan sebuah lori yang sarat berisi dengan nanas dan tembikai.

Menurut ketua Biro Pencegahan Narkotik (NSB), Leftenan Jeneral Sommai Kongvisaisuk, lori menggunakan nombor pendaftaran Thailand itu ditahan di sebuah pusat pemeriksaan keselamatan di Chumphon, selatan Thailand , kira-kira 1.30 pagi semalam (waktu tempatan).

“Ketika melakukan pemeriksaan terhadap lori berkenaan, para pegawai terkejut apabila menjumpai 700kg ‘Ice’ yang disorok di celah beratus-ratus nanas dan tembikai yang dibawa lori itu,” katanya kepada Bernama di Bangkok Khamis.

Beliau berkata, polis menahan pemandu lori berkenaan untuk siasatan lanjut.

Menurutnya, ‘Ice’ berasal dari utara Thailand itu dirancang dibawa ke Malaysia dengan kemungkinan akan dihantar ke destinasi lain yang mempunyai harga lebih tinggi bagi dadah berkenaan.

Sementara itu dua rakyat Malaysia antara yang ditahan.

“Dua rakyat Malaysia ditahan ketika mereka memunggah dadah dari dalam lori ke dalam sebuah rumah di Hatyai,” katanya kepada Bernama sambil menambah bahawa polis turut menahan seorang lelaki Thailand berusia 45 tahun yang disyaki rakan jenayah tempatan sindiket itu.

Katanya, rakyat Malaysia itu dipercayai melakukan perjalanan ke Hatyai untuk mengambil dadah sebelum menyeludup merentasi sempadan masuk ke Malaysia.

Usaha untuk mengesan ahli sindiket dadah transnasional itu mula dilakukan selepas pihak berkuasa menahan lori tersebut di lokasi pemeriksaan ke­selamatan di Chumphon kira-kira pukul 1.30 pagi kelmarin dan menemui sejumlah dadah tersembunyi di sebalik buah-buahan.

Menurut Sommai, rentetan penemuan itu pihak berkuasa membenarkan pemandu lori terbabit meneruskan perjalanan ke Hatyai dengan anggota polis menyamar mengikuti mereka pada jarak yang selamat.

“Hasil penyamaran itu kita dapat menangkap anggota sindiket yang lain,” katanya.

Polis menahan dua lelaki dari Malaysia itu ketika mereka sibuk memindahkan dadah ke dalam rumah, kata Sommai sambil menambah bahawa rampasan 700kg Ice itu merupakan antara kejayaan terbesar agensinya tahun ini.

Katanya, sindiket tersebut merancang menyeludup dadah itu ke Malaysia melalui Sadao dan kes berkenaan telah dimaklumkan kepada pihak berkuasa Malaysia.

-30/3/2018

PERINGATAN: AgendaDaily tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.
AgendaDaily.com adalah sebuah portal surat khabar elektronik yang menyalurkan maklumat terus ke skrin komputer anda dalam bentuk berita, analisis berita, laporan khas, fokus, komentar, wawancara dan segala macam yang ingin diketahui mengenai berbagai-bagai perkembangan hal ehwal semasa negara dan juga luar negara.

Kami mempunyai 304  tetamu dalam talian