14Disember2019

Agenda Daily

PBB rayu derma AS$3 bilion

Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) semalam meminta penderma antarabangsa menyalurkan dana hampir AS$3 bilion (RM11.5 bilion) bagi membantu 13 juta orang yang memerlukan bantuan di negara bergolak, Yemen.

Setiausaha Agung PBB, Antonio Guterres merayu bantuan itu pada satu persidangan di Geneva, bertujuan untuk mengumpulkan derma berjumlah AS$2.9 bilion (RM11.4 bilion) untuk tahun 2018.

Tahun lalu, Yemen memohon bantuan AS$2.5 bilion (RM9.6 bilion) dan menerima 73 peratus daripada jumlah yang diminta, namun keperluan di negara bergolak itu meningkat sejak 2015 selepas tentera pakatan diketuai Arab Saudi melancarkan serangan untuk mengusir pemberontak Houthi yang menguasai ibu kota Yemen, Sanaa.

“Yemen merupakan krisis kemanusiaan terburuk dunia. Namun, kita boleh dan mesti menghalang negara itu daripada menjadi tragedi jangka panjang,” kata Guterres.

Menurut PBB, 8.4 juta penduduk Yemen kini di ambang kebuluran, manakala import makanan pula penting bagi meneruskan kelangsungan hidup rakyatnya.

Arab Saudi dan sekutunya menutup sempadan darat, laut dan udara Yemen tahun lalu sebagai membalas tindakan puak Houthi melancarkan peluru berpandu yang berjaya dipintas dekat Riyadh.

Walaupun pakatan Arab Saudi melonggarkan kepungan mereka, larangan penghantaran ke Yemen terus kekal.

“Bantuan kemanusiaan perlu tiba kepada orang yang paling memerlukan tanpa sebarang syarat,” kata Guterres.

“Semua pelabuhan mesti terus dibuka untuk bantuan kemanusiaan, kargo komersial, ubat-ubatan, makanan dan bahan api yang perlu dihantar kepada mereka,” tambahnya.

Kira-kira 10,000 penduduk Yemen terbunuh dan 53,000 lagi cedera sejak campur tangan tentera pakatan Arab Saudi di negara itu.-4/4/2018

PERINGATAN: AgendaDaily tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.
AgendaDaily.com adalah sebuah portal surat khabar elektronik yang menyalurkan maklumat terus ke skrin komputer anda dalam bentuk berita, analisis berita, laporan khas, fokus, komentar, wawancara dan segala macam yang ingin diketahui mengenai berbagai-bagai perkembangan hal ehwal semasa negara dan juga luar negara.

Kami mempunyai 498  tetamu dalam talian