17Jun2019

Mesir sumbang berbilion pada Israel beli gas asli

Israel memeterai perjanjian ‘bersejarah’ untuk membekalkan gas asli kepada Mesir, kata Perdana Menteri, Benjamin Netanyahu kelmarin berhubung kontrak selama 10 tahun tersebut yang bernilai sekitar AS$15 bilion (RM58.4 bilion).

“Ia menyumbang berbilion-bilion dolar kepada pendapatan negara,” kata Netanyahu dalam satu kenyataan semasa mengumumkan kontrak tersebut.

Mesir menjadi negara Arab yang pertama menandatangani perjanjian damai dengan Israel pada tahun 1979.

Firma tenaga Israel, kumpulan Delek mengesahkan kontrak itu bernilai AS$15 bilion.

Menurutnya, persetujuan dicapai antara Delek dan rakan niaganya, Noble Energy dari Amerika Syarikat untuk membekalkan 64 bilion kubik meter gas asli dari telaga minyak luar pesisir Rejim Zionis, Leviathan serta Tamar kepada firma Mesir, Dolphinus selama 10 tahun.

Menteri Tenaga Israel, Yuval Steinitz turut menyambut baik perjanjian itu.

“Persetujuan ini akan membantu mengukuhkan kedudukan Israel sebagai pemain utama dalam pasaran tenaga serantau,” kata Steinitz.

Sementara itu, Menteri Minyak Mesir, Tarek Al-Molla berkata, kerajaan Mesir tidak menerima sebarang permintaan rasmi untuk mengimport gas dari Israel, ketika ditemu bual saluran televisyen swasta, DMC.

Menurutnya, kebenaran awal untuk mengimport gas dari Israel sudah diberikan tetapi kelulusan akhir ditangguhkan sehingga beberapa syarat dipatuhi termasuk jaminan bahawa sebarang perjanjian hendaklah membawa manfaat kepada ekonomi Mesir.

Israel mempunyai sumber asli terhad tetapi menemui beberapa telaga gas utama di perairan utaranya dan membina infrastruktur sejak beberapa tahun lalu untuk mengeksploitasi sumber itu.

Tamar yang memulakan pengeluaran dalam tahun 2013, mempunyai simpanan gas asli sehingga 238 trilion kubik meter.

Leviathan yang ditemui pada 2010 dan akan memulakan pengeluaran dalam tahun 2019 pula menyimpan 18.9 trilion gas asli serta 34.1 juta tong gas mampat.

Pada September 2016, Jordan memeterai perjanjian untuk membeli 300 juta kubik meter gas asli Israel pada setiap hari selama 15 tahun dalam kontrak bernilai AS$10 bilion (RM38.9 bilion).

Jordan merupakan negara Arab kedua yang memeterai perjanjian damai dengan Rejim Zionis selepas Mesir. -21/2/2018

PERINGATAN: AgendaDaily tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.
AgendaDaily.com adalah sebuah portal surat khabar elektronik yang menyalurkan maklumat terus ke skrin komputer anda dalam bentuk berita, analisis berita, laporan khas, fokus, komentar, wawancara dan segala macam yang ingin diketahui mengenai berbagai-bagai perkembangan hal ehwal semasa negara dan juga luar negara.

Kami mempunyai 450  tetamu dalam talian