21Ogos2019

Kertas Penama: China miliki banyak akaun rahsia

Hampir satu pertiga pelanggan firma guaman yang terlibat dalam skandal ‘Kertas Panama’, Mossack Fonseca berasal dari cawangan pejabatnya di Hong Kong dan China, menurut beberapa laporan semalam dengan China didakwa dilanda skandal rasuah dan pengaliran keluar modal.

Lebih 16,300 syarikat luar pesisir Mossack Fonseca telah didaftarkan melalui pejabatnya di Hong Kong dan China, 29 peratus daripada keseluruhan syarikat berkenaan di seluruh dunia, menurut Konsortium Wartawan Penyiasatan Antarabangsa (ICIJ).

Siasatan selama setahun oleh ICIJ melibatkan 11.5 juta dokumen bocor itu mendapati sekurang-kurangnya lapan saudara-mara ahli atau bekas ahli badan tertinggi Parti Komunis, Jawatankuasa Tetap Politburo (PSC) terlibat dalam penggunaan akaun luar pesisir.

Menurut agensi pemantauan rasuah antarabangsa, Transparency International pula, kes rasuah dilihat semakin berleluasa di China apabila negara itu menduduki tempat ke-83 daripada 168 negara dalam Indeks Persepsi Rasuah terbaharunya.

Pada masa sama, pertumbuhan negara ekonomi kedua terbesar di dunia itu dilihat semakin perlahan, manakala hasil kekayaannya pula didakwa cuba dipindahkan ke luar negara.

Presiden China, Xi Jinping te­lah melancarkan pelbagai kempen antirasuah, namun beliau tidak mengisytiharkan asetnya kepada umum.

Ipar lelaki Jinping dan dua ahli keluarganya, Zhang Gaoli serta Liu Yunshan yang merupakan ahli PSC didapati mempunyai akaun luar pesisir, lapor ICIJ.

Iparnya, Deng Jiagui pernah memegang saham tiga buah syarikat iaitu Supreme Victory Enterprises, Wealth Ming International dan Best Effect Enterprises.

Bagaimanapun, kesemua syarikat itu ditutup sebelum Jinping menjadi Presiden China pada tahun 2012.

Turut disiasat ialah ahli-ahli PSC yang lain termasuk pe­mimpin keempat paling kanan di China, Jia Qinglin, bekas Perdana Menteri, Li Peng dan bekas Naib Presiden, Zeng Qinghong.

Dokumen itu juga menamakan bintang filem, Jackie Chan, anak jutawan tempatan, Kelly Zong Fuli dan jutawan pusat beli-belah, Shen Guojun sebagai mempunyai akaun rahsia di Panama.

Mossack Fonseca dikatakan mempunyai lapan pejabat di sekitar beberapa bandar di China seperti Shanghai, Shenzen, Qindao, Dalian, Hangzhou, Ningbo di samping cawangannya di Hong Kong.-8/4/2016

PERINGATAN: AgendaDaily tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.
AgendaDaily.com adalah sebuah portal surat khabar elektronik yang menyalurkan maklumat terus ke skrin komputer anda dalam bentuk berita, analisis berita, laporan khas, fokus, komentar, wawancara dan segala macam yang ingin diketahui mengenai berbagai-bagai perkembangan hal ehwal semasa negara dan juga luar negara.

Kami mempunyai 278  tetamu dalam talian