17November2019

Agenda Daily

Kemarau jadi bencana kebangsaan di Afrika Selatan

Cape Town sedang menghitung hari berikutan bandar di Afrika Selatan itu dijangka kehabisan air pada 4 Jun depan.

Sebelum ini Cape Town turut mengisytiharkan 'bencana kebangsaan' selepas kemarau melanda bandar tersebut hingga menyebabkan penggunaan air penduduk dihadkan 50 liter sehari.

Cape Town dan kawasan sekitarnya mengalami kemarau yang teruk dengan taburan hujan rendah dan keadaan sejuk kering bukan pada musimnya selama tiga tahun yang menyebabkan purata paras air empangan berada pada paras suku.

Takungan air kawasan metro yang mempunyai populasi 3.7 juta penduduk itu hanya mempunyai tempoh kurang daripada 90 hari.

Kiraan detik Day Zero atau Hari Penutupan Paip Air telah bermula kerana paras takungan air tersebut akan menurun di bawah 13.5 peratus hingga memaksa bandar tersebut menutup semua paip.

Hari Penutupan Paip Air itu dijangka memberi kesan kepada kira-kira 3.7 juta penduduk di Cape Town.

Ketika itu, semua penduduk perlu mendapatkan bekalan air di 200 paip disediakan di beberapa jalan untuk mendapatkan bekalan air.

Jika taburan hujan tidak mencukupi apabila musim sejuk tiba, Cape Town hanya mempunyai tempoh singkat sebelum Day Zero tiba.

Menurut Perdana Menteri Western Cape, Helen Zille, perkara itu telah diramalkan saintis iklim, namun ia tiba lebih awal daripada yang dijangka.

"Perubahan iklim sepatutnya berlaku pada 2025. Perkhidmatan Cuaca Afrika Selatan mendakwa model mereka tidak lagi berfungsi," jelasnya.

Pakar meteorologi CNN, Derek Van Dam berkata, kawasan luas tekanan tinggi yang terletak di Lautan Atlantik bertindak kepada penghalang sistem cuaca.

"Sistem tekanan tinggi itu berkembang dan ia menolak taburan hujan dari Western Cape. Kawasan bertekanan tinggi itu telah menjadi sangat luar biasa sejak tiga tahun lalu. Ia menyebabkan kemarau selama tiga tahun termasuk dua tahun paling kering pada 2015 dan 2017.

"Peningkatan kekerapan kemarau itu adalah akibat daripada pemanasan global," jelasnya lagi.   

Menurut laporan penilaian kelima panel antara kerajaan mengenai Perubahan Iklim, model iklim jangka panjang menunjukkan aliran trend kekeringan ketara akan berterusan di bahagian barat Afrika Selatan yang akan mengurangkan taburan hujan tahunan sehingga 40 peratus.  

Di seluruh dunia, krisis air telah berkembang secara senyap selama beberapa dekad.

Kajian pada 2014 ke atas 500 bandar besar di seluruh dunia juga menganggarkan satu daripada empat mengalami masalah bekalan air.

Gabungan perubahan iklim, kegiatan manusia dan pertumbuhan penduduk dijangka menyebabkan masalah kekurangan bekalan air menjadi lebih umum di bandar utama serta kawasan luar bandar.     

Sejak 2015, Laporan Risiko Global yang dibentangkan di Forum Ekonomi Dunia secara konsisten menyenaraikan krisis air sebagai antara ancaman global dengan impak besar melangkaui bencana alam, migrasi besar-besaran dan serangan siber.-20/2/2018

PERINGATAN: AgendaDaily tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.
AgendaDaily.com adalah sebuah portal surat khabar elektronik yang menyalurkan maklumat terus ke skrin komputer anda dalam bentuk berita, analisis berita, laporan khas, fokus, komentar, wawancara dan segala macam yang ingin diketahui mengenai berbagai-bagai perkembangan hal ehwal semasa negara dan juga luar negara.

Kami mempunyai 372  tetamu dalam talian