30Mei2020

Agenda Daily

Fail sulit kerajaan di kedai perabot terpakai

Agensi perisikan domestik Australia hari ini mengambil semula ribuan dokumen sulit yang ditinggalkan di sebuah kedai perabot terpakai.

Dokumen itu mendedahkan butiran rahsia lima kerajaan terdahulu, yang mana mengikut undang-undang Australia, perlu dilindungi untuk sekurang-kurangnya 20 tahun.

Ia ditinggalkan dalam kabinet fail yang kemudian dijual di kedai di Canberra yang menjual perabot lama milik kerajaan terdahulu.

Fail itu kemudian diserahkan kepada Australian Broadcasting Corporation (ABC) yang menyiarkan siri kisah itu.

Insiden itu memalukan bekas perdana menteri dan beberapa pembuat dasar yang masih menduduki kerusi penting kerajaan tengah-kanan Australia.

Menurut ABC, Pertubuhan Perisikan dan Keselamatan Australia bertindak mengambil fail itu selepas rundingan beberapa hari lalu.

ABC juga menyatakan sebagai sebahagian daripada terma perjanjian, ia masih mempunyai akses terhadap fail terbabit.

Antara lain, dokumen itu mendedahkan Menteri Kewangan terkini Australia, Scott Morrison, berusaha melambatkan pemeriksaan keselamatan ke atas pelarian bagi mengehadkan peluang ditempatkan semula; bekas Perdana Menteri Tony Abbott menimbang menghapuskan bantuan kewangan kepada penganggur muda Australia dan polis negara itu hilang ratusan fail sensitif.

Timbalan Perdana Menteri Australia, Barnaby Joyce, berkata wujud pelanggaran serius aspek keselamatan akibat kecuaian.

"Siasatan dibuat bagi meneliti bagaimana perkara ini berlaku. Dalam proses mengurus sesebuah negara, ada perkara yang tidak sepatutnya berlaku. Ini salah satu daripadanya," kata Joyce kepada radio ABC.

Mencari jalan meminimumkan kesilapan keselamatan itu, pembuat dasar konservatif kini memberi tumpuan terhadap keputusan ABC menerbitkan maklumat yang ditemui dalam fail sulit terbabit.

ABC mempertahankan hak penerbitan, menegaskan ia adalah demi kepentingan nasional, walaupun bekas Perdana Menteri, Kevin Rudd berkata di Twitter, beliau sudah melancarkan tindakan perundangan ke atas penyiar kebangsaan itu.

Rudd mendapat malu selepas ABC menyiarkan kisahnya yang tidak mengendahkan nasihat berkaitan bahaya pakej penebatan rumah pada 2008. Rudd kemudian dibebaskan daripada sebarang salah laku oleh penyiasat bebas.-01/02/2018

PERINGATAN: AgendaDaily tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.
AgendaDaily.com adalah sebuah portal surat khabar elektronik yang menyalurkan maklumat terus ke skrin komputer anda dalam bentuk berita, analisis berita, laporan khas, fokus, komentar, wawancara dan segala macam yang ingin diketahui mengenai berbagai-bagai perkembangan hal ehwal semasa negara dan juga luar negara.

Kami mempunyai 334  tetamu dalam talian