Duterte bawa Filipina keluar dari ICC
- Terakhir dikemaskini: 15 Mac 2018
- By AFP
President Rodrigo Duterte berkata bahawa beliau mengeluarkan Filipina daripada Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC) yang meneliti perang dadah pemimpin berkenaan.
Tindakan itu dilakukan ketika Filipina menjadi negara pertama di Asia Tenggara berada di bawah siasatan awal pasukan pendakwa raya ICC.
ICC mengumumkan pada bulan lalu bahawa ia melancarkan satu kajian berhubung pembunuhan yang berlaku semasa perang dadah Duterte.
Polis Filipina menyatakan, 4,000 orang maut tetapi menurut kumpulan-kumpulan hak asasi, angka kematian sebenar adalah tiga kali ganda lebih tinggi.
Tindakan keluar dari mahkamah berkenaan memerlukan notis setahun, manakala pakar-pakar berkata, langkah itu tidak akan mengalang siasatan ICC.
“Adalah jelas bahawa ICC digunakan sebagai alat politik terhadap Filipina. Saya dengan ini mengisytiharkan dan memberikan notis bahawa Filipina mengundur diri daripada perjanjian Statut Rom berkuat kuasa serta-merta,” kata Duterte dalam satu kenyataan sambil menambah, siasatan ICC itu berniat jahat.
Dibuka pada 2002, ICC merupakan satu-satunya mahkamah jenayah perang di dunia dan bermatlamat mendakwa jenayah paling teruk yang gagal atau tidak sanggup dikendalikan oleh mahkamah sesebuah negara.
Filipina menyertai ICC dengan menanda tangani Statut Rom semasa pentadbiran Presiden Benigno Aquino pada 2011 sekali gus memberi kuasa kepada mahkamah antarabangsa itu menyiasat jenayah di buminya.-15/3/2018