19November2019

Agenda Daily

China sedia 'berperang' dengan Amerika Syarikat

China memberi amaran kepada Amerika Syarikat (AS) bahawa negara itu ‘tidak gentar untuk perang perdagangan’ sewaktu mengancam mengenakan tarif bernilai AS$3 bilion (RM11.7 bi­lion) ke atas produk AS sebagai balasan terhadap barangan import China oleh Presiden Donald Trump.

Beijing mengumumkan satu senarai produk yang mungkin dikenakan duti import sehingga 25 peratus, termasuk buah-buah­an segar hingga daging babi dan wain.

Negara itu bagaimanapun menangguhkan seketika tindakan bagi menunjukkan kesediaan untuk berunding mengenai perkara berkenaan.

Tindakan terbaru itu menyebabkan beberapa pasaran saham merudum susulan pe­ningkatan kebimbangan bahawa AS yang menuduh China mencuri harta intelek secara besar-besaran dan amalan tidak adil lain boleh mengundang perang dagangan yang memudaratkan.

“China sebolehnya tidak mahu terbabit dalam perang perdagangan tetapi kita tidak gentar untuk melancarkan perang perdagangan,” menurut Kementerian Perdagangan China.

Beberapa jam sebelumnya, Trump telah menandatangani satu perintah bagi mengenakan sekatan ke atas pelaburan China di AS dengan menyatakan tindakan itu yang ‘pertama daripada banyak lagi’.

“Kami mempunyai satu si­tuasi kecurian harta intelek betul-betul hebat sedang berlaku,” kata Trump ketika beliau menandatangani perintah dagangan baharu yang mungkin menyaksikan pengenaan duti import setinggi 25 peratus.

Kementerian Perdagangan China memberi amaran bahawa tarif sebanyak 15 peratus ke atas 120 barangan bernilai hampir AS$1 bilion (RM3.9 bilion) termasuk buah-buahan segar, kacang dan arak akan dikenakan jika AS gagal mencapai satu ‘perjanjian ganti rugi dagangan’ dalam suatu rangka masa tidak ditetapkan secara spesifik.

Langkah kedua pula akan menyaksikan tarif sebanyak 25 peratus dikenakan ke atas lapan jenis barangan bernilai kira-kira AS$2 bilion (RM7.8 bilion) termasuk daging babi dan skrap aluminium, sebaik sahaja ‘melakukan penilaian lanjut berhubung impak tindakan AS terhadap China’, menurut ke­nyataan sama.

Senarai itu tidak termasuk kacang soya dengan akhbar rasmi milik kerajaan China, Global Times mencadangkan komoditi itu sepatutnya menjadi sasaran Beijing.

Sekiranya tindakan itu diambil, ia akan memberi tamparan hebat kepada petani-petani AS kerana satu pertiga bekalan kacang soya AS dieksport ke China dengan transaksi berjumlah AS$14 bilion (RM54.8 bilion) tahun lalu.-26/3/2018

PERINGATAN: AgendaDaily tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.
AgendaDaily.com adalah sebuah portal surat khabar elektronik yang menyalurkan maklumat terus ke skrin komputer anda dalam bentuk berita, analisis berita, laporan khas, fokus, komentar, wawancara dan segala macam yang ingin diketahui mengenai berbagai-bagai perkembangan hal ehwal semasa negara dan juga luar negara.

Kami mempunyai 1273  tetamu dalam talian