17November2019

Agenda Daily

Banglo Lee Kuan Yew punya cerita...

Bergaduh besar anak beranak... adik maki abang, abang ugut adik, semuanya pasal rumah yang ditinggalkan oleh bekas perdana menteri Singapura, Lee Kuan Yew.

Berikutan perbalahan yang tak kunjung padam... kerajaan melalui satu Jawatankuasa Menteri membentangkan tiga pilihan berhubung rumah no 38 Oxley Road tersebut.

Bagaimanapun, jawatankuasa dipengerusikan oleh Timbalan Perdana Menteri, Teo Chee Hean, tidak membuat sebarang syor berhubung hartanah tersebut.

Tiga pilihan tersebut ialah mengekalkan rumah tersebut sebagai monumen negara atau mewartakannya untuk dipulihara; mengekalkan bilik makan dan merobohkan kawasan hartanah yang lain serta pilihan terakhir iaitu merobohkan sepenuhnya dan dibangunkan semula.

"Jawatankuasa ini telah mempertimbangkan pelbagai pilihan bagi hartanah ini serta implikasinya. Kami tidak membuat apa-apa cadangan kerana tiada keputusan diperlukan pada masa ini," kata Teo ketika mengeluarkan laporan penuh jawatankuasa itu pada Isnin.

Akhirnya, katanya, pada masa wajar, pemerintah di masa depan mempunyai tanggungjawab untuk mempertimbangkan aspek kepentingan awam bagi hartanah itu dengan mengambil kira keinginan mendiang Kuan Yew.

"Mereka perlu membuat keputusan mengenai apa yang dilakukan dengan hartanah itu dan mampu melaksanakan keputusan itu," kata Teo, yang mempengerusikan jawatankuasa itu yang dibentuk dua tahun lalu untuk mempertimbangkan pilihan bagi kediaman bekas perdana menteri itu.

Dalam merangka laporan itu, jawatankuasa itu menjemput wakil daripada anak-anak Kuan Yew iaitu Perdana Menteri, Lee Hsien Loon, Dr Lee Wei Ling dan Lee Hsien Yang untuk mendapatkan gambaran penuh tentang pemikiran dan hasrat bapa mereka mengenai kediaman tersebut.

"Dalam mencapai pandangan kami mengenai keinginan Lee Kuan Yew, kami bergantung terutamanya kepada bukti objektif yang diletakkan di hadapan kami dan langkah-langkah konkrit utama yang dilakukan oleh Lee Kuan Yew sendiri sepanjang hayatnya untuk melaksanakan hasratnya.

"Ini termasuk fasal perobohan dalam wasiat terakhir Kuan Yew, suratnya kepada Kabinet bertarikh 27 Disember 2011, serta rancangan pengubahsuaian/pembangunan semula untuk 38 Oxley Road yang diserahkannya kepada URA (Penguasa Pembangunan Semula Bandar) pada bulan Mac 2012, dan mendapat kelulusan," kata Teo.

Jawatankuasa itu turut dianggotai oleh menteri kabinet yang bertanggungjawab bagi hal ehwal warisan, tanah, perancangan bandar iaitu Menteri Kebudayaan, Komuniti dan Belia, Grace Fu, Menteri Undang-Undang, K. Shanmugam dan Menteri Pembangunan Nasional, Lawrence Wong.-3/4/2018

PERINGATAN: AgendaDaily tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.
AgendaDaily.com adalah sebuah portal surat khabar elektronik yang menyalurkan maklumat terus ke skrin komputer anda dalam bentuk berita, analisis berita, laporan khas, fokus, komentar, wawancara dan segala macam yang ingin diketahui mengenai berbagai-bagai perkembangan hal ehwal semasa negara dan juga luar negara.

Kami mempunyai 299  tetamu dalam talian