AS, Britain tuduh Rusia dalang serangan siber global
- Terakhir dikemaskini: 18 April 2018
- By REUTERS
Amerika Syarikat (AS) dan Britain kelmarin menuduh Rusia melancarkan serangan siber ke atas penghala komputer, firewall dan rangkaian peralatan lain yang digunakan oleh agensi kerajaan, perniagaan serta pengendali infrastruktur kritikal di seluruh dunia.
Washington dan London dalam satu amaran bersama menyatakan, kempen serangan siber oleh penggodam-penggodam yang disokong kerajaan Rusia itu antara lain mempunyai matlamat risikan lanjut, mencuri harta intelek dan aktiviti ‘jahat’ lain.
Amaran itu menyusuli tuduhan Barat sebelum ini bahawa Moscow ialah dalang di sebalik rentetan serangan siber global.
AS, Britain dan beberapa negara lain menuduh Rusia menyebarkan virus NotPetya pada Februari lalu.
Virus itu melumpuhkan sebahagian infrastruktur Ukraine dan merosakkan komputer di seluruh dunia pada 2017, mengakibatkan kerugian berbilion-bilion dolar.
Kremlin belum mengulas tuduhan tersebut, namun, pejabat kedutaan Rusia di London mengeluarkan kenyataan yang menyifatkan dakwaan Britain berhubung ancaman siber oleh Moscow itu sebagai ‘tuduhan melulu, provokatif dan tidak berasas ke atas Rusia’.
Moscow menafikan tuduhan sebelum ini bahawa ia melakukan serangan siber ke atas AS dan negara-negara lain.
Pada tahun lalu, agensi-agensi perisikan AS menuduh Rusia campur tangan dalam pilihan raya Presiden 2016 melalui aktiviti penggodaman dan kempen propaganda untuk menyokong Donald Trump sebagai Presiden AS.
Pentadbiran Trump pula menyalahkan Rusia pada bulan lalu berhubung kempen serangan siber yang menyasarkan grid elektrik AS.
Sementara itu, pegawai AS dan Britain berkata bahawa serangan siber yang didedahkan kelmarin menjejaskan pelbagai organisasi termasuk pembekal perkhidmatan internet, perniagaan swasta dan pembekal infrastruktur kritikal. Mereka tidak mendedahkan mangsa atau memberikan butiran impak serangan itu.-18/4/2018