20November2019

Agenda Daily

Betulkan logik sebelum persoal dasar sekolah agama bantuan kerajaan

Kenyataan yang dibuat Naib Presiden Gerakan, Datuk Dr Dominic Lau Hoe Chai supaya kerajaan mengkaji semula dasar-dasar sekolah agama yang dibiayai oleh kerajaan (SABK) kerana kononnya SABK adalah ancaman sebenar perpaduan negara adalah kenyataan dangkal, nakal, tanpa berasaskan fakta dan angka.

Menurut Perangkaan Pendidikan Negara 2016 yang dikeluarkan Kementerian Pendidikan, jumlah bilangan Sekolah Agama Bantuan Kerajaan seluruh Malaysia hanyalah 36 buah sahaja* berbanding Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) dan Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT) berjumlah *1,297 buah dan 524 buah* masing-masing.

*Jumlah pelajar di SABK pula hanyalah kurang daripada 1%* daripada keseluruhan jumlah pelajar peringkat rendah di Malaysia iaitu 15,738 pelajar daripada 2,039,299 keseluruhan jumlah pelajar.

Bilangan jumlah pelajar di SABK amat kecil jika dibandingkan dengan 542,406 pelajar di SJKC dan 83,343 di SJKT yang jumlah kedua-duanya *melebihi 30%* jumlah pelajar di Malaysia.

Bagaimanakah jumlah pelajar yang sedikit di SABK ini dianggap sebagai ancaman sebenar kepada perpaduan negara berbanding 30% pelajar di SJKC dan SJKT?

Dominic gah mengatakan bahawa SJKC bukan ancaman kepada perpaduan kerana setidak-tidaknya 12% pelajar di SJKC adalah dari kaum selain kaum Cina.

Tidak ada apa yang perlu didabik dada dengan adanya 12% pelajar bukan Cina di SJKC kerana itu bukan kayu pengukur yang tepat dalam mengadili sama ada SJK membantu atau melemah perpaduan.

Sebaliknya, kita perlu menyedari bahawa kewujudan SJK pada skala yang besar-lah yang menyebabkan semua sekolah SK dan SJK tidak mempunyai komposisi kaum yang sebaiknya.

Dalam erti kata lain, tidak hebat pun jika SJKC mempunyai komposisi kaum yang lebih baik dari sesetengah SK kerana majoriti besar ibu bapa Cina tidak menghantar anak mereka ke SK.

Ini logiknya untuk Dr. Dominic: anda tidak boleh membanggakan pencapaian komposisi kaum di SJKC sedangkan SJKC itu sendiri yang mendatangkan masalah dengan memecah dominasi SK sebagai pilihan arus perdana dikalangan kaum Cina.

Kenyataaan Dr. Dominic juga mendedahkan hipokrasi beliau apabila tidak mempertikaikan peruntukan RM50 juta yang diberikan oleh kerajaan kepada sekolah-sekolah mubaligh Kristian melalui Tabung Penyelengaraan Sekolah-Sekolah Bantuan Kerajaan seperti diumumkan dalam bajet setiap tahun.

Lebih baik mereka fokus menguatkan jentera dan menambahbaik sentuhan kepada rakyat supaya boleh meningkatkan prestasi mereka menjelang PRU 14, daripada bermain sentimen perkauman yang lapuk melalui isu sekolah vernakular - yang mana telah pun terbukti sebuah taktik gagal di dalam dua pilihanraya yang lepas.

SHAHRIL HAMDAN

EXCO PERGERAKAN PEMUDA UMNO MALAYSIA
PENGERUSI SISTEM SEKOLAH SATU ALIRAN DEMI PERPADUAN (SERAP)

PERINGATAN: AgendaDaily tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.
AgendaDaily.com adalah sebuah portal surat khabar elektronik yang menyalurkan maklumat terus ke skrin komputer anda dalam bentuk berita, analisis berita, laporan khas, fokus, komentar, wawancara dan segala macam yang ingin diketahui mengenai berbagai-bagai perkembangan hal ehwal semasa negara dan juga luar negara.

Kami mempunyai 213  tetamu dalam talian