19Mac2019

Soffi Jikan cerita mengenai filem "Gangsterock: Kasi Sengat"

Filem sulung arahan pelakon Soffi Jikan "Gangsterock: Kasi Sengat" kini sedang ditayangkan di pawagam-pawagam.

Walaupun ini merupakan filem pertama arahannya, namun Soffi bukanlah baru dalam bidang pengarahan kerana sebelum ini dia pernah mengarah beberapa filem pendek dan telefilem.

"Gangsterock: Kasi Sengat" mengisahkan tentang Shake, seorang pemuzik yang ke Kuala Lumpur untuk mengejar impian menjadi seorang bintang rock. Di sana dia telah bertemu dengan Bromo yang juga seorang pemuzik dan mereka berdua bergabung untuk mengejar impian mereka.

Bagaimanapun, mereka berdepan kesukaran apabila gangster di Kuala Lumpur yang menguasai ekonimo menggunakan cetak rompak dan kekerasan untuk menghapuskan penentangan di kalangan Rockers. Hanya dengan semangat Rockers sejati, bersatu menentang kezaliman, Shake dan Bromo boleh mengecapi kejayaan sebagai bintang Rock.

Baru-baru ini ketika majlis pratonton filem "Gangstercok: Kasi Sengat" yang berlangsung di Cathay Cineplex, eCurve, kami sempat menemubual pengarah bagi berkongsi disebalik pembikinan filem ini.

Dari mana anda mendapat inspirasi untuk menghasilkan filem ini?
Jawapannya mudah kerana saya seorang yang dikenali selalu berlakon dalam filem gangster dan juga filem rock. Tetapi sebenarnya saya seorang rocker yang mempunyai sedikit gaya gangster. Jadi idea artis menentang cetak rompak diinspirasikan dari filem "Kembara Seniman Jalanan".

Bagaimana pula dengan pelakon-pelakon? Adakah anda sendiri yang memilih? Atau ada sesi uji bakat?
Sememangnya ada sesi ujibakat. Sebelum ini saya ada buat "KL Sengal" sebuah filem yang saya gunakan ketika sesi ujibakat. Jadi apa yang saya lakukan adalah menghubungi artis-artis dan meminta mereka bekerja dengan saya dalam "KL Sengal". Jadi kebanyakan 'footage' dari "KL Sengal" turut digunakan dalam "Gangsterock". Saya juga memilih artis-artis yang akan berlakon dalam filem saya.

Pada pandangan anda, apakah perbezaan filem ini dari filem tempatan lain?
Selalunya filem-filem tempatan mempunyai jalan penceritaan yang muda, tetapi disuntik dengan elemen gimik dan drama. Manakala filem saya pula rumit pada permulaan tetapi pada pengakhiran jalan cerita akan menjadi jelas.

Selain itu, ia juga mencabar mempunyai banyak pelakon, banyak pelakon utama dan beberapa sub-plot dalam filem. Saya ada tiga plot dalam filem ini; dendam gangster, ikatan hubungan silatulrahim dan juga cita-cita rocker. Malah, dalam filem ini juga mempunyai banyak sub-plot kerana setiap karakter mempunyai plot mereka tersendiri.

Jadi bagaimana saya gabungkan kesemuanya? Ia adalah satu cabaran besar buat saya. Tetapi InsyaAllah jika anda tonton dari mula sehingga habis, anda pasti akan memahami jalan cerita filem ini.

Jadi siapakah penonton sasaran anda?
Sudah semestinya semua peringkat usia. Filem ini mempunyai banyak mesej dan ia senang dihadam oleh penonton jika penonton menonton dari awal hingga penamat.

Tetapi terdapat beberapa babak dalam filem ini yang dilihat sedikit rumit dan tiba-tiba.
Jalan cerita filem ini sebenarnya mudah saja. Saya menggunakan beberapa trick untuk membuatkan ia tampak mengelirukan dan rumit, jadi ia akan menjadi lebih menarik. Jika anda tunjukkan segalanya dengan jelas dari mula, ia tidak akan menjadi menarik dan menjadi bosan. Tidak ada cabaran. Saya mahu penonton berfikir. Kami mengambil masa selama lima tahun untuk membuat kaji selidik, menyiapkan skrip dan melihat apa respon penonton.

Apa projek terbaru anda?
Ya, saya kini dalam proses pembikinan filem kedua arahan saya. Saya tidak mahu menunggu respon dari penonton mengenai filem pertama arahan saya.

Apakah genre filem terbaru anda kelak?
Ia adalah sebuah filem aksi-komedi yang diinspirasikan oleh telefilem popular saya iaitu "Taubat Seorang Samseng". Ia lebih kurang sama iaitu mengisahkan tentang seorang gangster yang ingin bersara dari dunia gelap.

Apakah judul filem ini dan siapakah yang akan membintanginya?
Saya tidak dapat mendedahkannya lagi buat masa ini kerana saya belum memutuskan lagi. Tetapi antara pelakon yang akan membintangi filem terbaru saya adalah Khir Rahman, Sobri Anuar dan Along Ezyendy.-23/7/2015

PERINGATAN: AgendaDaily tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.
AgendaDaily.com adalah sebuah portal surat khabar elektronik yang menyalurkan maklumat terus ke skrin komputer anda dalam bentuk berita, analisis berita, laporan khas, fokus, komentar, wawancara dan segala macam yang ingin diketahui mengenai berbagai-bagai perkembangan hal ehwal semasa negara dan juga luar negara.

Kami mempunyai 495  tetamu dalam talian