22November2019

Agenda Daily

"Saya tak tolak poligami tapi...." - Rozita Che Wan

Ada satu hal tentang poligami yang sedikit menjentik jiwa Rozita Che Wan sebagai seorang isteri dan ibu kepada tiga anak.

Biarpun tidak menolak hukum bahawa lelaki boleh berkahwin lebih daripada satu, namun menurut pelakon berusia 45 tahun itu, seseorang wanita perlu lebih berhati-hati dalam bercinta dan tidak sewenang-wenangnya menghancurkan mahligai yang sedang dibina oleh wanita lain untuk kepentingan sendiri.

“Saya tidak tolak poligami, apatah lagi menafikan hukum agama. Namun, saya tidak suka melihat wanita mengambil suami orang lain.

“Jika lelaki mahu berkahwin lain, itu hak mereka tetapi seorang wanita itu boleh mengelak daripada merampas suami orang dengan memilih untuk bercinta dengan lelaki bujang,” katanya ketika ditemui pada majlis memperkenalkannya sebagai duta projek perumahan Tunas Homes & Tunas Boulevard di Hotel Royale Chulan Kuala Lumpur baru-baru ini.

Kosmo melaporkan pelakon yang popular dengan drama komedi Kiah Pekasam itu bagaimanapun menetapkan pendirian, wanita yang dimadukan tanpa rela perlu meneruskan kehidupan tanpa menghiraukan apa yang telah terjadi pada masa lampau.

“Jika kita reda dengan ketentuan dan ujian Tuhan, berhentilah menangis untuk lelaki yang tinggalkan kita.

“Ada sebab mengapa Allah menjauhkan orang sebegitu daripada kita. Hal ini kerana, Dia mahu kita mendapatkan perkara yang lebih baik untuk masa depan,” katanya.

Meletakkan pengalamannya sebagai contoh terdekat, Rozita yang diceraikan menerusi perkahwinan pertama bersama bekas suami, Azuar Effendy Zulkaply pada 2003 sentiasa positif dengan suratan takdir yang telah tertulis buatnya.

“Ketika saya diceraikan, saya hanya ada dua orang anak. Selama 10 tahun saya duduk di rumah dan tidak berbuat apa-apa. Namun, saya tidak mengeluh kerana tahu Allah ada di sisi.

“Dugaan seperti itu yang membuatkan saya menjadi individu lebih kuat untuk terus mengharungi hidup,” katanya yang kini bahagia dengan perkahwinan kedua bersama pelakon Zain Saidin.

Sedar isu merampas suami orang banyak terjadi dalam kalangan artis, Rozita berkata, dia menyedari bahawa perkara tersebut mungkin boleh berlaku ke atas dirinya.

Ditanya apakah yang akan dilakukan jika ada wanita cuba merampas suaminya, ini jawapan Rozita: “Sebelum dia rampas, saya koyakkan mulut dia dulu.”

Bercakap tentang sikap romantis suaminya, Rozita sempat berkongsi bahawa Zain seorang yang pandai mengambil hati. Sempena ulang tahunnya pada 9 Mac lalu, pelakon Oh My English! itu ada menghadiahkan tas tangan jenama Dior kepadanya.

“Macam biasalah, Zain akan hadiahkan beg jenama kegemaran saya iaitu Dior.

“Selain itu, Zain turut membenarkan saya pergi bercuti ke London, England bersama-sama keluarga memandangkan dia sibuk menguruskan perniagaan di China,” katanya.

Wanita yang mesra dibahasakan Che Ta itu memberitahu, London bukanlah lokasi asal seperti yang dirancang sebelum ini.

Katanya, dia memilih Hong Kong dan Macau sebagai destinasi percutian.

Namun, ahli keluarganya kurang bersetuju kerana sukar untuk mendapatkan makanan halal di dua lokasi tersebut.

“Sengaja saya memilih Hong Kong dan Macau kerana Zain boleh singgah sebentar untuk makan malam.

“Namun, disebabkan adik-beradik yang lain kurang bersetuju, saya memilih London sebagai destinasi percutian sempena hari lahir,” katanya jujur.-28/3/2018

PERINGATAN: AgendaDaily tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.
AgendaDaily.com adalah sebuah portal surat khabar elektronik yang menyalurkan maklumat terus ke skrin komputer anda dalam bentuk berita, analisis berita, laporan khas, fokus, komentar, wawancara dan segala macam yang ingin diketahui mengenai berbagai-bagai perkembangan hal ehwal semasa negara dan juga luar negara.

Kami mempunyai 257  tetamu dalam talian