26September2020

Agenda Daily

Sara Ali tak mahu berbaik semula dengan Fazura

Selepas Nur Fazura mendedahkan persahabatannya dengan Sara Ali semakin renggang dalam episod kedua program televisyen realitinya, "Facing Up To Fazura" terbitan E! Asia yang bersiaran pada Ahad lalu, Sara tampil memberikan penjelasan dan memberitahu dia tidak berhasrat untuk berbaik semula dengan aktres filem "Manisnya Cinta Di Cappadocia" itu.

Memetik laporan BH Online, Sara berkata, apa yang berlaku adalah sesuatu yang remeh dan dia tidak mahu memperbesarkan perkara tersebut.

"Dia (Fazura) macam nak isytihar perang dengan saya dan pada masa yang sama nak nampak baik. Bagi saya apa yang dia cuba bangkitkan semula ini hal remeh. Apa-apa soalan berkaitan saya patut diajukan kepadanya. Itu lebih Afdal.

"Bagi saya kalau orang tanya hubungan kami okey atau tidak, jawapan saya tidak okey dan saya tak berhasrat nak okey balik dengannya. Saya tak pernah menyesal dengan apa yang dibuat atau dipilih. Begitu juga perkenalan dengannya yang pernah terjadi.

"Bagi saya semua itu pengalaman yang mematangkan hidup. Ia bukan penyesalan. Saya lebih suka melihatnya sebagai sudut memori indah atau sebaliknya. Selama ini pun saya hanya berdiam diri dan tak mahu memperbesarkan perkara ini," ujarnya.

Malah bagi aktres drama "Maaf Jika Aku Tak Sempurna" ini lagi, Fazura cuba memperbesarkan isu ini dan keputusannya untuk tidak terbabit dalam program tersebut adalah haknya dan ia tidak perlu dipaksa.

"Dia yang besarkan isu ini dan apa saja terjadi antaranya dengan saluran berkenaan, tu masalah mereka. Memang asalnya saya setuju untuk berjumpa dengan dia tapi selepas dapat tahu ada perkara yang saya tak suka.. maka saya ubah fikiran.

"Bagi saya hanya kerana program ini, saya simpulkan publisiti baik atau buruk, saya terima. Saya tak rugi apa-apa. Tak fasal satu Malaysia kenal saya yang tak popular ini. Saya tak rasa malu pun, dia yang patut sedar. Lepas ini saya nak tutup isu ini dan tak perlu dipanjangkan lagi," katanya lagi.

Terdahulu Fazura atau nama sebenarnya Nur Fazura Sharifuddin dalam kenyataannya menjelaskan dia tidak berniat untuk memburukkan Sara dalam program tersebut, sebaliknya hanya bersikap jujur agar tidak lari daripada konsep program realiti televisyen.

Dalam perkembangan lain, Sara kini sedang sibuk dengan pementasan teater kompilasi Namron Volume 2, "Mat Derih Kola Perlih" yang sedang dipentaskan di Damansara Performing Arts Centre bermula 24 hingga 28 Disember ini.

Tiket berharga RM55 dan RM40 boleh didapati menerusi akaun Instagram @ayaqhangatstudio.-26/12/2014

PERINGATAN: AgendaDaily tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.
AgendaDaily.com adalah sebuah portal surat khabar elektronik yang menyalurkan maklumat terus ke skrin komputer anda dalam bentuk berita, analisis berita, laporan khas, fokus, komentar, wawancara dan segala macam yang ingin diketahui mengenai berbagai-bagai perkembangan hal ehwal semasa negara dan juga luar negara.

Kami mempunyai 314  tetamu dalam talian