KRU 'tutup buku' selepas Konsert Gergasi KRU25 4 Mei
- Terakhir dikemaskini: 19 April 2018
- By WARTAWAN AGENDADAILY
Setelah 25 tahun menempa nama di industri hiburan tanahair, kumpulan penyanyi tiga beradik popular negara, KRU membuat keputusan untuk membubarkan kumpulan itu selepas berlangsungnya Konsert Gergasi KRU25.
Konsert yang akan diadakan selama tiga malam di Panggung Sari, Istana Budaya bermula 4 Mei itu bakal menjadi konsert terakhir mereka dan pasti akan menjadi kenangan buat peminat kumpulan yang popular dengan lagu Ooh! La! La!, Mengerti, Awas, Jangan Lafazkan dan banyak lagi.
Menurut Datuk Norman Abdul Halim, pembubaran ini merupakan satu penutup (closure) buat mereka selepas berjaya mengecapi impian dalam industri hiburan sejak tahun 1992.
“Tiada perbalahan atau salah faham antara kami adik beradik, cuma ini merupakan satu titik noktah buat kami sebagai artis rakaman. Walapun sedih untuk mengumumkan perkara ini, tetapi ini adalah keputusan pasti dari kami adik beradik.
“Kami telah melalui perjalanan yang luar biasa dengan jutaan penjualan album, ratusan lagu serta pelbagai anugerah yang telah berjaya kami kecapi dan ini merupakan penutup bagi kerjaya kami agar kami dapat terus maju pada masa hadapan dengan nama Norman, Yusry, Edry Abdul Halim dan bukan lagi KRU.
“Walau bagaimanapun, kami tetap akan bersatu sebagai rakan perniagaan untuk terus mengukuhkan jenama KRU,” katanya.
Tambah Norman, konsert ini akan mengimbau kembali kenangan peminat mereka yang membesar dengan lagu-lagu KRU pada tahun 90-an.
“Konsert Gergasi KRU25 akan menjadi persembahan terakhir kami, dan kami akan mempersembahkan lagu single terakhir kami berjudul Tahan Lama dan akan berduet bersama Joe Flizzow.
“Pengumuman ini bukanlah satu gimik untuk kami melariskan penjualan tiket, malah tiket kami 80 peratus telah dijual. Apa yang kami janjikan adalah persembahan yang terbaik kepada peminat buat kali terkahir,” ujarnya.
Pasti peminat setia KRU tidak akan melepas kan peluang untuk melihat konsert tersebut tambahan pula ia merupakan persembahan terakhir untuk melihat kumpulan tiga beradik ini beraksi di pentas dan menyanyi lagu hit mereka.-19/4/2018