16Jun2019

Kisah Awie nak masuk politik tapi ayah tak bagi...

Vokalis Wings, Awie mengakui terpaksa membatalkan niat untuk menceburi bidang politik setelah dinasihati oleh ayahnya.

Pemilik nama Datuk Azhar Othman ini berkata, beliau didedahkan dengan politik sejak kecil kerana ayahnya seorang yang aktif berpolitik.

"Beberapa tahun lalu, ada pihak menawarkan saya menjadi Ketua Pemuda Bahagian dan ketika itu, saya agak berminat.

"Tetapi selepas mendapat nasihat ayah, saya batalkan niat itu. Ayah beritahu, jika sayangkan kerjaya dan Wings, baik lupakan saja tawaran itu.

"Ayah berpesan, peminat kamu mesti ada yang berbeza fahaman politik, jadi usah cari musuh," katanya.

Awie turut berkongsi kenangan sepanjang membantu ayahnya dalam berpolitik seperti memasang bendera parti, membantu jentera kempen dan menjadi pemerhati pada hari mengundi.

"Saya didedahkan dengan dunia politik kerana ayah aktif berpolitik. Sebut apa saja sepanjang musim pilihan raya, semua kerja saya pernah buat.

"Daripada mengambil upah pasang bendera, tolong orang berkempen dan menjadi pemerhati ketika hari mengundi... Semua itu adalah pengalaman yang membuka mata saya," katanya.

Dalam perkembangan lain, Awie berkata, beliau kembali ke lokasi di Selatan Thailand berhampiran Sungai Golok, bagi menyelesaikan penggambaran drama bersiri Bila Tuhan Berbisik arahan Raja Mukhriz.

Awie memberitahu, drama 13 episod yang mengambil latar sebuah sekolah pondok di perkampungan kecil itu dijangka disiarkan, November depan.

Sebelum ini, Awie mengumumkan bakal mengadakan majlis Nostalgia Ramadan Bersama Kumpulan Gitar Rancak Wings di Hotel Premiera Kuala Lumpur di sini, pada 26 Mei depan.

Ini adalah persembahan kedua Wings di lokasi sama di mana mereka bakal mendendangkan lagu era 1970-an hinga 1990-an.-8/5/2018

PERINGATAN: AgendaDaily tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.
AgendaDaily.com adalah sebuah portal surat khabar elektronik yang menyalurkan maklumat terus ke skrin komputer anda dalam bentuk berita, analisis berita, laporan khas, fokus, komentar, wawancara dan segala macam yang ingin diketahui mengenai berbagai-bagai perkembangan hal ehwal semasa negara dan juga luar negara.

Kami mempunyai 386  tetamu dalam talian