14November2019

Agenda Daily

Isa Khan kini tumpu bidang lakonan

Bekas peserta Akademi Fantasia 2016 (AF 2016), Isa Khan kini banyak tertumpu di bidang lakonan bagi mengukuhkan lagi namanya dalam industri seni tanah air selepas menyertai program realiti itu.

Isa Khan atau nama sebenarnya Mohammad Fara Aidid Ali Dad, 25, berkata sejak berlakon memegang watak utama dalam drama komedi 'Bimbi dan Bonni Misi 007', beliau kini menjalani penggambaraan untuk penampilan khas dalam drama 'Inai Yang Hilang' terbitan Padi Pictures Sdn Bhd.

Mengenai drama Bimbi dan Bonni Misi 007, adik kepada pelakon Miller Khan itu berasa bertuah diberi peluang melakonkan watak Ash, kekasih kepada Sharifah Sakinah dalam drama terbitan Hyper Pictures Sdn Bhd itu, katanya kepada Bernama selepas menjadi tetamu Nine11 terbitan Bernama News Channel di sini, hari ini.

"Watak ini amat mencabar buat pendatang baharu seperti saya kerana saya bukan seorang pelawak, dan watak ini memerlukan lebih santai dengan pelakon berbakat seperti Sharifah Sakinah," katanya.

Drama 24 episod arahan Michael Ang itu mengisahkan Bimbi lakonan Sharifah Sakinah, anak kepada seorang Datuk dan berkawan rapat dengan Bonni (Marsha Milan).

Drama itu sedang ditayangkan di slot Skrin Komedia saluran Astro Warna dan Mustika HD pada setiap Rabu hingga Jumaat, 9 malam sejak 14 Mac lepas.

Anak jati Kuala Lumpur itu juga pernah berlakon untuk teater Putera La Galigo arahan Dr Rosdeen Suboh yang dipentaskan di Stadium Malawati Shah Alam pada 2016, dan membuat penampilan khas dalam drama Mak Cun Raya pada tahun lepas.

Menyentuh mengenai single pertamanya, 'Syurga Yang Sempurna', lagu ciptaannya bersama Room None terbitan Music Valley Malaysia (MVM) yang dilancarkan empat bulan lepas, beliau berkata lagu berbentuk genre balada itu menjadi kekuatan dan pengenalan dirinya.

"Ia sesuai dengan suara saya selain lirik dalam lagu ini mempunyai makna tersendiri untuk saya, dan diharapkan lagu itu dapat menjadi pengenalan diri saya dalam industri muzik tanah air," katanya.

Beliau berkata lagu itu mengenai seorang lelaki yang jatuh cinta, dan akhirnya kekasihnya meninggal dunia.

"Harapan saya lagu ini diterima baik oleh peminat," katanya mengenai lagu yang dicipta tiga tahun lepas di Indonesia dan diperdengarkan di YouTube dan plaftform penstriman muzik seperti Spotify.-30/3/2018

PERINGATAN: AgendaDaily tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.
AgendaDaily.com adalah sebuah portal surat khabar elektronik yang menyalurkan maklumat terus ke skrin komputer anda dalam bentuk berita, analisis berita, laporan khas, fokus, komentar, wawancara dan segala macam yang ingin diketahui mengenai berbagai-bagai perkembangan hal ehwal semasa negara dan juga luar negara.

Kami mempunyai 1020  tetamu dalam talian