26Ogos2019

Hadiah buat peminat daripada Man Bai

Usia separuh abad bukan menjadi halangan bagi penyanyi Man Bai menyerlahkan aura dan sisi semangat luar biasanya menerusi penganjuran Showcase Man Bai: Kau Ilhamku yang berlangsung di Hotel Royale Chulan Damansara, Mutiara Damansara, Petaling Jaya, Selangor baru-baru ini.

Manakan tidak, dalam tempoh dua jam persembahan berlangsung, Man Bai kekal bertenaga hingga ke minit terakhir menerusi untaian 10 buah lagu seperti Gadis Cheingmai, Positif, Sunyi, Jump, Tolol, Masih Aku Terasa dan Suratan Takdir.

Jika disentuh dari segi vokal, tidak sedikit pun kelunakan suara milik lelaki berusia 51 tahun itu berubah, malah sisi humor yang ada pada dirinya dilihat menjadi daya tarikan untuk peminat menikmati keseluruhan persembahan dengan sepenuh hati.

Lebih menarik, persembahan pada malam tersebut turut diserikan dengan penampilan istimewa daripada dua penyanyi popular era 1990-an iaitu Rahim Maarof dan Zamani Slam.

Rahim mendendangkan lagu popularnya berjudul Cinta Kristal, manakala Zamani pula tampil dengan lagu Gerimis Mengundang.

Suasana yang sedia gamat bertambah meriah apabila penonton menyaksikan ketiga-tiga penyanyi yang memiliki vokal mantap itu bergabung menerusi lagu popular Man Bai, Kau Ilhamku tirai dilabuhkan.

“Kemunculan mereka bukan sekadar menyerikan persembahan pada malam ini tetapi kami merancang untuk tampil dengan sebuah persembahan yang diberi nama Konsert 3V selepas sambutan Hari Raya Aidilfitri nanti.

“Tetapi lokasi tidak dapat diputuskan lagi buat masa sekarang sama ada masih mengekalkan tempat sama seperti malam ini atau ia dilakukan di cawangan hotel di Kuala Lumpur. Selepas itu, konsert ini akan dibawa ke cawangan lain di seluruh negara,” jelas Man Bai ketika ditemui sejurus persembahan berlangsung.

Ditanya tentang perkembangan terkininya, lelaki kelahiran Johor itu bersyukur kerana sehingga kini undangan nyanyian tidak pernah putus datang.

“Beginilah saya, masih aktif memenuhi undangan nyanyian di merata tempat. Untuk perkembangan terkini, memang ada hasrat mengeluarkan lagu baharu tetapi semuanya masih dalam perancangan.

“Sekarang dalam proses mencari melodi terbaik dan insya-Allah jika tiada apa-apa aral melintang kemungkinan saya akan masuk studio pada bulan puasa nanti,” katanya.-30/4/2018 -Kosmo!!!

PERINGATAN: AgendaDaily tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.
AgendaDaily.com adalah sebuah portal surat khabar elektronik yang menyalurkan maklumat terus ke skrin komputer anda dalam bentuk berita, analisis berita, laporan khas, fokus, komentar, wawancara dan segala macam yang ingin diketahui mengenai berbagai-bagai perkembangan hal ehwal semasa negara dan juga luar negara.

Kami mempunyai 294  tetamu dalam talian